Wujudkan Tribunal Untuk Menyiasat Hakim Nazlan

No one is above the law, Hakim adalah seorang penjawat awam dan tertakluk kepada sistem perundangan dan kehakiman negara.

Perlembagaan adalah merupakan undang-undang tertinggi negara yang mesti dipatuhi oleh semua pihak termasuk mereka (Hakim dan Peguam) sebagai pengamal perundangan. Doktrin pengasingan kuasa sangat relevan di negara ini, sebagai elemen semak dan imbang bagi mengangkat keadilan bersama.

Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Montesquieu di dalam tulisannya The Spirit Of The Laws yang mana pemerintahan mempunyai tiga badan utama yang perlu diasingkan bagi mengelak campur tangan politik.

Kebebasan politik boleh diperolehi jika tiada penyalahgunaan kuasa, tetapi setiap orang yang mempunyai kuasa berkemungkinan untuk menyalahgunakannya. Untuk itu, adalah tanggungjawab ketiga-tiga pihak itu memeriksa antara satu sama lain, apabila kuasa legislatif dan eksekutif berada di tangan orang yang sama, kebebasan politik tidak mungkin dapat dicapai. Begitu juga jika kuasa kehakiman tidak dipisahkan daripada kuasa legislatif dan eksekutif.

Rujukan

Doktrin ini perlu menjadi rujukan untuk mengelakkan pertindihan kuasa dan salah guna kuasa di antara badan Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman. Undang-undang dan sistem kehakiman negara perlu ditegakkan tanpa campur tangan mana-mana pihak. Ini adalah bagi membela sistem keadilan negara. Kegagalan pihak yang berkuasa bagi mencapai matlamat ini akan membawa Malaysia ke krisis politik, ekonomi dan sosial yang akan memundurkan kemajuan sesebuah negara.

Di dalam kes SRC yang melibatkan mantan Perdana Menteri Najib Razak, adalah jelas Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali kehilangan kelayakkannya untuk membicarakan kes terbabit ekoran dakwaan Conflict Of Interest (Konflik Kepentingan). Merujuk kepada kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 21 Mei 2022 yang menyatakan bahawa pihak SPRM telah selesai melakukan siasatan dan kertas siasatan telah dikemukakan kepada Peguam Negara pada 18 Mei 2022 untuk tindakan selanjutnya.

Namun, adalah sangat mencurigakan apabila Peguam Negara memaklumkan bahawa kertas laporan SPRM tersebut tiada dalam simpanan Pejabat Peguam Negara. Sedangkan pada 23 Mei 2022, pihak AGC dilaporkan sudah menerima dan meneliti laporan SPRM tersebut, ini menimbulkan kemusykilan kepada masyarakat awam tentang tahap keselamatan dan integriti pejabat AGC.

Harus Didedahkan Kepada Awam

Oleh itu, kita mendesak agar hasil siasatan perkara ini didedahkan kepada awam. Ini bagi menegakkan keadilan bersama dan melindungi kepentingan awam. Kerana jika dakwaan ini benar, kes melibatkan Najib boleh dibubarkan dan dibicarakan semula dengan mengikut lunas perlembagaan yang adil tanpa campur tangan mana-mana pihak yang berkepentingan.

Seseorang Hakim adalah terikat dengan kod etika Hakim bagi mendukung integriti dan kebebasan badan kehakiman. Sekiranya Mohd Nazlan didapati melanggari mana-mana peruntukan kod etika yang ditetapkan di bawah Fasal (3A), sebuah tribunal perlu diwujudkan mengikut Perkara 125 (4) yang diadili oleh lima orang hakim bagi mengesahkan perkara ini dan untuk mengelakkan kesangsian orang awam terhadap badan kehakiman negara bagi mencapai keadilan semua pihak. Dan jika terbukti bersalah boleh dihukum mengikut seksyen 220 Kanun Keseksaan.

Dakwaan mengatakan pihak SPRM tidak boleh menyiasat kes berhubung seorang hakim kerana melampaui batas pengasingan kuasa adalah sangat tidak berasas. “No one is Above the law”, Hakim adalah seorang pegawai awam dan tertakluk kepada sistem perundangan dan kehakiman negara. Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad pernah menyatakan “Kebebasan Badan Kehakiman tidak termasuk kebebasan untuk melakukan jenayah dan daripada disiasat mengenainya.”

Pihak SPRM (sebagai agensi di bawah kuasa Eksekutif) bertanggungjawab dan mempunyai kuasa untuk menyiasat pegawai badan awam sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta SPRM 2009 Seksyen 3.

Hakim Kebal?

Secara logik akalnya jika seseorang Hakim itu tidak boleh disiasat mahupun dibicarakan, adakah seorang hakim kebal di sisi undang-undang? Jika seorang hakim terlibat dalam kes membunuh, adakah hakim itu tidak boleh disiasat dan dihukum? Seseorang hakim seharusnya menggelakkan keraguan yang akan menimbulkan prasangka buruk terhadap imej seorang hakim, walau sekecil zarah sekalipun. Integriti seorang hakim perlu diletakkan di tempat yang tinggi kerana mereka dipertanggungjawab menjaga keadilan, menuntut keadilan dan memberi keadilan, ini adalah tangggungjawab yang berat.

Daripada sudut integriti seorang hakim, Nazlan seharusnya menarik diri daripada menghakimi perbicaraan. Nazlan jelas bias kerana pernah berurusan dengan 1MDB dan mencadangkan penubuhan SRC ketika bersama Maybank sebagai Setiausaha Syarikat dan General Counsel.

Sebagai contoh hakim sebelum ini Hakim Mohd Sofian Abd Razak telah ditukar kerana adik beliau Mohd Soffi Abd Razak, adalah EXCO Kerajaan Negeri Pahang dan Ahli Undangan Negeri (ADUN) Benta daripada parti UMNO.

Wan Ahmad Farid Wan Salleh menarik diri di dalam membicarakan kes ini, atas alasan beliau pernah bersama UMNO dan berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri di bawah pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Beliau juga pernah menjadi senator sebelum meletakkan semua jawatan politik sebelum berkhidmat sebagai Hakim.

Pesuruhjaya Kehakiman Liza Chan Sow Keng juga menarik diri dari mendengar kes saman 1MDB dan SRC terhadap Najib kerana beliau adalah rakan kepada mantan PM.

Hakim Harus Mematuhi Sistem Perundangan

Ini menunjukkan seseorang hakim perlu mematuhi sistem perundangan dan kehakiman negara demi menjaga imej badan kehakiman dan mengelakkan kecurigaan semua pihak. Nazlan bukan sahaja mempunyai konflik kepentingan di dalam kes ini, tetapi juga tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam membicarakan kes jenayah.

Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak Najib Razak di peringkat Mahkamah Persekutuan sebagai medan terakhir perjuangan beliau, iaitu dengan memohon untuk memasukkan bukti-bukti baru namun ditolak walaupun menurut Seksyen 93 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 di dalam kes jenayah, Mahkamah Persekutuan boleh mempertimbangkan bukti baharu untuk dibentangkan. Permohonan penangguhan kes untuk persediaan peguam baru Najib Razak juga ditolak oleh panel lima Hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara. Adakah ini yang dimaksudkan dengan proses kehakiman yang adil?

Jika orang biasa boleh menilai Nazlan gagal menunjukkan integriti dan bias, saya percaya panel lima hakim lebih jelas akan perkara ini.

Menuntut :

1. Siasatan ke atas Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali perlu didedahkan demi kepentingan awam. Kenyataan yang dibuat oleh Peguam Negara menimbulkan kecurigaan yang tinggi terhadap sistem perundangan negara tentang kehilangan kertas siasatan SPRM terhadap Hakim Nazlan, pada saat-saat akhir kes Najib Razak untuk menuntut keadilan. Jika kertas siasatan sahaja boleh hilang daripada Pejabat Peguam Negara, sejauh manakah tahap keyakinan orang awam boleh dicapai?

2. Siasatan segera perlu dibuat terhadap dakwaan mantan Peguam Negara Tommy Thomas di dalam bukunya mengenai “Wujud penyalahgunaan kuasa dalam isu pelantikan hakim, campur tangan melampau badan Eksekutif dalam badan kehakiman, pendakwaan terpilih dan bersifat politik serta pelanggaran sumpah rahsia.” Perkara ini sangat menimbulkan syak wasangka terhadap sistem kehakiman.

3. Ketua Peguam Negara perlu ditukar sekiranya wujud penyalahgunaan kuasa. Telah tular surat daripada Jabatan Peguam Negara kepada Collin Lawrence Sequerah yang mengarahkan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mempercepatkan prosiding kes melibatkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi. Tindakan ini adalah sangat tidak berperlembagaan. Seharusnya Peguam Negara sebagai badan Eksekutif tidak mencampuri urusan badan Kehakiman. Ini satu pencabulan keatas sistem Pengasingan Kuasa di Malaysia.

4. Wujudkan Tribunal yang terdiri oleh panel lima orang Hakim yang dilantik oleh YDPA yang pada hemat Baginda lantikan layak dibuat. Jika Hakim berkenaan didapati melanggar Etika Hakim sebagaimana yang telah ditetapkan pada Perkara 125 Fasal (3A) DAN menurut Fasal 4 Perdana Menteri sebagai penasihat utama YDPA boleh menasihati Baginda bagi mewujudkan Tribunal sebagai jawatankuasa bagi menyiasat pelanggaran etika sebagai Hakim. – NMH

Mengenai penulis: Rosnah Shirlin adalah ahli Majlis Tertinggi UMNO, Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia dan juga Ketua Wanita Umno Bahagian Papar

Pendapat dalam penulisan ini adalah bersifat peribadi dan ia tidak semestinya mencerminkan pendapat New Malaysia Herald.

Facebook Comments

Latest articles

Related articles