Impian Tercapai Kerana Azam Yang Kental

Walaupun tewas untuk mencapai impian pada suatu ketika, memberanikan diri untuk terus pandang ke hadapan telah membawa hasil kepada usahawan ini

Halida Mohd Daud, yang lebih mesra dipanggil Ida, adalah seorang wanita besi yang tidak mengenal erti tewas dan mengalah dalam kehidupan, demi mencapai impian.

Walaupun susah dan dalam kesedihan, beliau tetap bertongkat paruh demi mengejar cita-cita menghasilkan produk jenama sendiri.

Berkat kesabaran dan ketabahan beliau mengharungi keperitan akibat kehilangan pendapatan dan anak sulung akibat kanser ovari, beliau bangkit dan kini adalah seorang pengasas produk berjenama HMD Wellness & Care, produk kesihatan berasaskan alam semulajadi iaitu HMD Magnesium Pure Oil, HMD Advance Lotion & HMD URUBA Essential Therapy Lotion.

Namun beliau tidak pernah lupa akan cabaran dan dugaan yang terpaksa ditempuhi sebelum sampai ke tahap sekarang. Setelah lebih lapan tahun, usaha beliau semakin mendatangkan hasil dan jenama HMD Wellness & Care semakin kukuh di arena tempatan.

Bermulanya Daripada Penjual Kepada Pengasas

“Minat saya untuk menjadi pengasas produk kesihatan jenama sendiri bermula apabila saya dilantik sebagai penjual produk kesihatan berbekalkan pengalaman saya selama 10 tahun dalam bidang ‘hospitaliti’ dan pelancongan. Kedua-dua pekerjaan tersebut banyak membantu saya dari segi kefahaman saya tentang pemasaran dan perhubungan awam (marketing & public relations). Pada awalnya, saya menjual kepada rakan dan saudara-mara terdekat, tetapi tak sangka pula produk jualan saya semakin mendapat tempat.

Bagi saya, produk tersebut adalah sangat bagus, bukan hanya kerana ia dibangunkan di sebuah kilang yang berstatus BIOTECH, tetapi juga kerana produk ini diaktifkan dengan ‘Bio-Energy + Therapeutic’ membantu melega serta mengurangkan kesakitan.

Ianya terhasil dari gabungan pakar biofizik dan quantum fizik menjadikan produk itu unik dari produk lain yang berada di pasaran.

Dengan hasil teknologi tersebut bersama bahan bergred terapeutik menjadikan setiap produk memberi kesan kebaikan kepada individu selepas menggunakannya,” cerita Ida lagi mengenai produk kesihatan yang pernah dijual.

Menurut Ida, atas dasar kepercayaan dan hubungan rapat dengan pengasas produk tersebut, Ida diberikan kepercayaan memasarkan terus produk tersebut secara kecil-kecilan. Dengan semangat dan sokongan rakan taulan dan pelanggan setia, penjualan produk ini telah menampakkan hasilnya.

Hari Tidak Selalunya Cerah

“Hari tidak selalunya cerah, tiba-tiba mendung berarak datang. Dalam masa saya seronok berniaga, saya sekeluarga telah ditimpa musibah, di mana tanpa disangka, anak kedua saya yang ketika itu berumur 18 tahun disahkan mengidap kanser ovari.

Segala keuntungan dan modal ketika itu telah saya gunakan untuk kos perubatannya sehinggalah anak saya meninggal dunia. Ketika itu kos rawatan kanser ovari sangat mahal.

Setahun selepas anak saya meninggal dunia, saya mula bangkit secara perlahan-lahan, namun sekali lagi saya jatuh terduduk apabila pengasas produk yang saya jual mengalami masalah kewangan dan terpaksa menghentikan pengeluaran produk tersebut. Walaupun begitu, hasrat saya menjadi usahawan berjaya suatu hari nanti tidak pernah padam.” katanya lagi.

Dari Hobi Menjadi Pendapatan

Sebagai seorang ibu, Ida sentiasa berfikir untuk mencukupkan keperluan anak-anak yang semakin membesar.

Apabila kehilangan punca pendapatan yang agak lumayan, agak merisaukan juga, maklumlah keadaan ekonomi yang semakin gawat ditambah pula pada ketika itu negara sedang menghadapi gelombang Covid teruk.

Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, timbul idea untuk berniaga kasut bundle.

“Saya mempunyai minat terhadap kasut, setiap pakaian mesti sesuai dengan warna dan stail kasut,” beliau tegaskan.

Memandangkan pilihan kasut berjenama dengan warna dan reka corak tertentu serta “up-to-date” sukar didapati dan harga agak mahal, saya bertekad untuk menjual kasut bundle berkualiti tinggi dengan harga mampu milik bagi rakyat golongan rendah dan sederhana.

“Ketika itu azam saya adalah untuk mengumpul wang bagi mencapai impian saya sebagai pengasas kepada jenama produk saya sendiri.

“Pada awalnya, saya terpaksa menebalkan muka menjual kasut bundle dan ianya bukan mudah. Maklumlah daripada menjual produk kesihatan bertaraf antarabangsa, saya turunkan ego saya menjual barangan terpakai.

“Namun lama-kelamaan seronok pula, maklumlah saya suka bergaya, dan saya tahu ramai wanita seperti saya yang tercari-cari kasut yang alah membeli menang memakai. Terkejut juga pada suatu hari Menteri Kewangan, Tengku Zafrul datang melawat tapak kami,” Ida maklumkan dengan senyuman.

Terkejut juga terserempak dengan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul di tapak car-boot sales kami. – Gambar dari Halida Mohd Daud

Mengikut Ida, beliau sangat menjaga kualiti kasut yang di jual, setiap guni kasut yang sampai akan dibuka dan diperiksa sendiri. Kadangkala 100 guni sehari dibuka dan diperiksa demi untuk memilih kasut yang cantik dan berkualiti serta memenuhi selera pembeli. Ada kalanya dalam satu guni hanya dua atau tiga pasang sahaja yang elok dan lain-lain sudah rosak.

Sebagai penjual kasut bundle, itulah antara hakikat yang perlu diterima. Pada Ida, janji pelanggan beliau puas hati. Jualan kasut bundle cukup menggembirakan Ida. Namun cita-cita untuk menjadi usahawan dengan jenama sendiri tidak pernah terpadam dari sanubari.

Cabaran Penjual Kasut Bundle

Menjaga kualiti kasut yang dijual di mana setiap guni kasut yang sampai akan dibuka dan diperiksa sendiri, kata Ida – Gambar hiasan dari Gumtree.

“Pada musim Covid-19 ketika PKP pertam,a saya mula menjual kasut bundle secara online dan tindak balas dari pelanggan apabila menerima kasut amatlah menyeronokkan. Oleh itu, berbekalkan semangat bebas selepas habis pandemik Covid-19, saya mula berniaga di Car-boot, pasar pagi dan pasar malam.

Selain daripada stok kasut yang tidak menentu, berniaga di car-boot juga agak mencabar berbanding dengan berniaga online. Bayangkanlah saya terpaksa datang seawal 9 malam untuk mendapat tapak, tidur dalam kereta dan keesokan harinya mula berniaga pagi. Saya terpaksa mengangkut setiap guni kasut yang telah dipilih dari bonet untuk di susun satu persatu di bawah terik matahari pagi kerana car- boot tidak boleh pasang khemah.

Manakala jika berniaga di pasar pagi atau malam pula terpaksa berdepan dengan panas dan hujan, jika hujan terpakasa bertungkus-lumus untuk menyimpan kasut supaya tidak basah dan rosak kerana kasut yang di jual hanya dibentangkan di atas kain kanvas. Tidak dapat dinafikan, ia sangat memenatkan tapi demi impian saya untuk yang tidak pernah luntur, saya perlu mengharunginya,” kata Ida lagi.

Akhirnya Impian Menjadi Kenyataan

Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ketepian; bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Akhirnya kini sudah masuk tahun ke lapan HMD Wellness & Care dan Ida boleh tersenyum dengan hasil tuaian titik peluh selama ini.  Ida kini boleh berbangga kerana mempunyai pejabat sendiri selain daripada produk-produk semakin di kenali ramai.

“Alhamdulillah, berkat doa dan usaha serta sokongan dari semua pihak ketiga-tiga produk HMD Wellness & Care dapat sambutan hangat. HMD Magnesium Pure Oil, HMD Advance Lotion dan HMD URUBA Essential Therapy Lotion adalah impian saya yang menjadi kenyataan.

“InsyaaAllah dalam masa terdekat produk kami akan bertambah, kerana fokus saya adalah untuk membantu mereka yang mempunyai masalah kulit, kerana saya dapati produk sebegini keluaran tempatan bumiputra adalah kurang dan harganya pun agak mahal. Maka saya sebagai pengasas HMD Wellness & Care, akan cuba untuk memberikan produk terbaik pada harga berpatutan dan mampu dibeli oleh semua golongan.”

Impian agar produk produk di bawah jenama HMD, iaitu singkatan nama beliau bergerak maju hingga menjadi produk kesihatan yang dikenali ramai memberi kesan kebaikan kepada pengguna di luar sana, kata beliau mengakhiri bicara. – New Malaysia Herald

Facebook Comments

Subscribe

Related articles

Giorgia Meloni Expected To Be Prime Minister As Italians Vote

ROME - On Sunday, Italians voted in an election that is expected to return the country's most right-wing government since World War II and pave the way for Giorgia Meloni to become the country's first female prime minister. When the most recent opinion polls were...

QE II Pledged Monarchy Would ‘Go Quietly’ If Time Comes

The passage of Queen Elizabeth II at 96 years, after reigning like forever but for 70 years, was like a bolt from the blue for the English Monarchy.

VLN Trial: Zahid Hamidi Freed Of All 40 Charges

The Shah Alam High Court ruled that the prosecution...

Anti-Hijab Protests In Iran Reach Boiling Point After Death Of Tehran Woman

TEHRAN - On Thursday, Iran's strong Revolutionary Guards urged...
spot_imgspot_img
%d bloggers like this: