Aset, Kedaulatan Negara Tetap Terpelihara, Tegas Wan Junaidi

Mahkamah Tinggi Madrid, Sepanyol, pada 29 Jun tahun lalu, telah membatalkan pelantikan penimbang tara Dr. Stampa, kata Wan Junaidi

Mahkamah Rayuan Paris telah membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan Final Award bertarikh 28 Februari 2022 yang dikeluarkan oleh Dr Gonzalo Stampa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Perintah Penggantungan itu dibuat berikutan tuntutan pihak-pihak yang mendakwa sebagai wartis dan successors-in-interest kepada Sultan Jamalul Kiram II (“Penuntut”) melalui satu prosiding timbang tara antarabangsa di Madrid, Sepanyol (“Tuntutan tersebut”).

Wan Junaidi berkata asas keputusan Mahkamah Rayuan Paris adalah Final Award tersebut akan menjejaskan kekebalan kedaulatan Malaysia.

Perintah Penggantungan itu adalah hasil daripada pelbagai tindakan perundangan yang diambil oleh Kerajaan Malaysia bermula dari Tuntutan tersebut difailkan bagi menamatkan segala tuntutan dan memastikan agar kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara.

“Oleh itu, kesan daripada Perintah Penggantungan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rayuan Paris pada 12 Julai 2022, Final Award tidak boleh dikuatkuasakan di mana-mana negara sehingga keputusan muktamad oleh Mahkamah Paris berkenaan dengan permohonan pembatalan Final Award yang dibuat oleh Kerajaan Malaysia,” kata Wan Junaidi.

Petronas Bertindak

Pada 11 Julai 2022, dua syarikat subsidiari Petronas di Luxembourg telah dimaklumkan mengenai penguatkuasaan Final Award melalui penyerahan notis yang dikeluarkan oleh Mahkamah Luxembourg.

Menurut Wan Junaidi, Petronas sebagai sebuah syarikat akan mengambil tindakan perundangan yang perlu untuk mempertahankan kedudukannya di bawah undang-undang.

“Kerajaan Malaysia menegaskan bahawa ia tidak pernah mengiktiraf Tuntutan tersebut dan tidak pernah mengetepikan kekebalan kedaulatannya sebagai sebuah negara berdaulat.”

Tambah beliau, Kerajaan Malaysia telah mengambil tindakan-tindakan perundangan di Madrid, Sepanyol termasuk membuat permohonan bagi pengiktirafan dan penguatkuasaan Perintah deklarasi dan injunksi bagi menghentikan prosiding timbang tara di Sepanyol yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Sabah pada 14 Januari 2020, permohonan bagi membatalkan pelantikan penimbang tara dan permohonan untuk mengenepikan Partial Award on Jurisdiction bertarikh 25 Mei 2020 yang dikeluarkan oleh Dr. Stampa.

“Berikutan tindakan-tindakan perundangan yang telah diambil oleh Kerajaan Malaysia, Mahkamah Tinggi Madrid, Sepanyol, pada 29 Jun 2021, telah membatalkan pelantikan penimbang tara Dr. Stampa yang memutuskan semua prosiding timbang tara dan apa-apa keputusan Dr. Stampa, termasuk Final Award adalah tidak sah, terbatal dan tidak boleh dikuatkuasakan di bawah undang-undang.

Keputusan Mahkamah Tidak Dihormati

“Dr. Stampa tidak menghormati dan tidak mempedulikan keputusan-keputusan Mahkamah di Madrid, sebaliknya memindahkan tempat prosiding timbang tara (seat of arbitration) ke Paris,” tambah beliau lagi.

Pada 29 September 2021, pihak Penuntut telah memperoleh Perintah Exequatur secara ex parte daripada Tribunal de Grande Instance di Paris, Perancis yang telah mengiktiraf Partial Award yang dikeluarkan pada 25 Mei 2021 dan dengan itu membenarkan Dr. Stampa memindahkan tempat prosiding timbang tara ke Paris.

Di dalam satu kenyataan media, Wan Junaidi berkata Kerajaan Malaysia telah mencabar Perintah Exequatur yang diperolehi secara ex parte tersebut dan Kerajaan Malaysia telah berjaya memperoleh Perintah Penggantungan bertarikh 16 Disember 2021 daripada First President of the Paris Court of Appeal.

Ini bermakna pihak Penuntut terhalang daripada bergantung pada Perintah Exequatur yang diperolehi pada 29 September 2021.

Bertentangan dan bercanggahan dengan Perintah Penggantungan tersebut, Penuntut mengekalkan kedudukan dan pendirian bahawa Perintah Exequatur tersebut berkuat kuasa dan Final Award telah dikeluarkan di tempat timbang tara di Paris, Perancis.

Menurut Wan Junaidi, selain itu, prosiding jenayah terhadap Dr. Stampa juga difailkan oleh Kerajaan Malaysia bagi kesalahan menghina mahkamah di Mahkamah Jenayah di Madrid. Prosiding bagi perkara ini masih berjalan.

“Berikutan kejayaan Kerajaan Malaysia mendapatkan Perintah Penggantungan Final Award pada 12 Julai 2022, Kerajaan Malaysia sedang membuat persiapan yang rapi untuk pendengaran bagi pembatalan Final Award yang mana tarikh pendengarannya belum ditetapkan.

“Kerajaan Malaysia akan terus mengambil semua langkah yang sewajarnya termasuk tindakan perundangan untuk menamatkan segala tuntutan tersebut dan mempastikan agar kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara,” katanya.

Facebook Comments

Subscribe

Related articles

spot_imgspot_img
%d bloggers like this: