Siapa Dia Di Belakang Kejayaan Nur Sajat Di Australia?

Beberapa kali mendapat top sales ketika bersama Harvey Norman sehingga menarik perhatian CEO, rakan perniagaan Sajat memang seorang jurujual top class

Rata-rata orang Malaysia kenal dengan Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat, namun hanya segelintir yang tahu siapakah tulang belakang empayar Nur Sajat yang bertapak di Australia bernilai sehingga mencecah jutaan Dolar.

Penulis bertuah kerana diperkenalkan kepada individu tersebut oleh seorang sahabat iaitu Nasreen Jamshaid yang menjadi pelopor grup Australian Malaysian Wide Community, sebuah komuniti perniagaan rakyat Malaysia yang menetap di Australia merangkumi pelbagai bidang.

Nasreen sendiri adalah tuanpunya ladang buah-buahan dan beberapa hotel di lokasi strategik di Australia.

Berbalik kepada si pendamping tadi, beliau sangat berbeza berbanding Nur Sajat yang suka merepek dan penuh kontroversi. Individu ini pula begitu tenang dan amat lembut dalam tutur kata. Gebu dan comel orangnya persis ‘koala’.

Itulah Adaline J. Gunsalam atau lebih mesra dengan panggilan Adale atau AJ oleh rakan-rakan.

Adakah Adale 'kekasih' Sajat?
Adaline J. Gunsalam atau lebih mesra dengan panggilan Adale atau AJ

Anak kelahiran Kampung Bambangan, Inanam Sabah ini begitu merendah diri dan menganggap dirinya bukanlah sesiapa berbanding dengan sahabat beliau Nur Sajat. Tetapi dialah orangnya yang menjadi ‘teman’ Sajat ketika susah dan senang di Australia.

Begitulah umpama bidalan, ikan di laut, asam di darat, dalam kuali bertemu juga. Dalam kisah ini ‘kualinya’ adalah bumi Australia dan ‘ikan’ dan ‘asam’ adalah Adale dan Nur Sajat.

Kekasih Baru Sajat Ke Tu?

Anak ke-tujuh daripada sembilan adik beradik berketurunan Sino-Kadazan berusia 43 tahun ini agak malu pada awalnya bila ditanya mengenai hubungannya dengan Nur Sajat dan pencapaiannya sehingga ‘berjodoh’ sebagai co-founder produk Nur Sajat di Australia.

“Saya biasa-biasa sahaja bah, belajar pun tidak tinggi,” katanya dalam loghat Sabah.

“Biasa-biasa sahaja? Kalau biasa biasa sahaja, takkan boleh jadi rakan strategik perniagaan seorang Diva seperti Sajat?,” sengaja penulis mengusik.

Sambil senyum beliau menjawab, “Tak adalah, sebenarnya saya memang seorang super-marketeer, sebelum saya berhijrah ke Australia. Saya bermula dari bawah, setelah saya tamat diploma dari AMC School of Business, saya melakukan pelbagai pekerjaan antaranya general admin, PA, account, consultant dan sebagai sales partner. Dalam banyak-banyak kerja, yang menarik perhatian adalah sebagai seorang jurujual.

“Saya dan Nur Sajat adalah bf dalam erti kata ‘best friend in business’, saya bukan ‘kekasih’ dia, memandangkan kepakaran saya diperlukan untuk mengembangkan empayar perniagaan Sajat di Australia,” kata Adele yang mempunyai kepakaran luar biasa di dalam bidang pemasaran peruncitan kelengkapan rumah seperti SenQ, LG dan Harvey Norman.

Bertapak Di Bumi Kanggaru

“Dalam banyak-banyak pekerjaan rupanya rezeki saya adalah di dalam bidang pemasaran. Semasa di SenQ Karamunsing, gaji saya mencecah minimum RM15K dan beberapa kali saya menduduki ranking pertama di Malaysia. Begitu juga apabila saya bekerja sebagai Promoter LG, mendapat ranking sales terbanyak di seluruh Malaysia.

“Tidak puas dengan pencapaian tersebut, saya berhiijrah ke Australia dan berjaya mendapatkan sales yang ‘meletup’ untuk Harvey Norman, pendapatan mencecah AUD7,000 (RM21,000) dan saya terus belajar menambahkan lagi skil saya tentang produk dan menghadiri kelas komunikasi.

“Maklumlah Bahasa Inggeris saya masih perlu diperbaiki. Tanpa saya sedari, rupa-rupanya saya dipantau oleh pihak atasan, sehingga satu hari isteri kepada tuan punya syarikat Harvey Norman iaitu CEOnya Katie Page datang berjumpa secara face to face dan bercerita tentang perniagaan Harvey Norman untuk diperluaskan lagi terutamanya di Borneo dan Nusantara.

“Saya sebenarnya tidak tahu pun siapa Katie Page, kerana pada masa saya ditegur, saya sedang makan. Lagipun saya adalah orang baru. Terpinga-pinga saya sendirian apabila rakan-rakan sekerja yang makan dengan saya angkat punggung kerana segan dengan CEO.

Ahli Perniagaan Ke-4 Terkaya Di Australia

“Selepas bersembang dan CEO sudah balik, barulah saya Google dan alangkah terperanjatnya saya rupa-rupanya yang duduk bersembang dengan saya tadi adalah seorang ahli perniagaan yang ke-4 terkaya di Australia.

“Terasa seronok pula dapat berjumpa dengan orang yang tersohor, lebih-lebih lagi apabila saya mendapat tahu owner Franchisor ketika itu Mark Rahman rupa-rupanya banyak bercerita tentang diri saya sehingga Puan CEO teruja dan turun padang sendiri untuk berjumpa dengan saya.”

“Bertalu-talu syarikat lain memberi saya tawaran untuk bekerja dengan mereka, tetapi saya masih terus setia dan bekerja seperti biasa. Dalam sekelip mata, saya memastikan semua ‘sales target’ tercapai 100% dan boleh dikatakan tiap-tiap bulan sales saya meletup sehinggakan Mark sekali lagi mendapat perhatian dari Gerry Harvey (Entrepreneur) dan Katie Page (CEO) kerana pencapaian terbaik dan ditawarkan kenaikan pangkat dengan gaji lumayan setiap bulan.

“Semenjak Mark berpindah, dia sering bertanya khabar dan telah berkali-kali menawarkan saya jawatan dan gaji yang tinggi sekiranya saya mengikuti dia ke Darwin, Australia,” ceritanya mengenai pengalaman di Harvey Norman yang begitu memberi inspirasi.

Daripada sini, menurut Adele, ini adalah detik di mana dia sedar bahawa nilai sebagai seorang yang pakar di dalam bidang pemasaran adalah sangat tinggi dan mengambil keputusan untuk berehat sementara dan meletak jawatan pada penghujung Oktober 2021 untuk mencari ‘ kompas’ seterusnya.

Detik Permulaan Sebagai Co-Founder

“Saya menganggap pertemuan saya dengan Nur Sajat pada bulan November 2021 sebagai ‘luar biasa’ kerana kami terus ‘click’ dan merancang menjadi rakan strategik bidang perniagaan. Ketika itu saya pun tak tahu Sajat seorang yang amat terkenal, seorang usahawan kecantikan dan selebriti.

“Saya pun tidak tahu pada ketika itu dia sedang bercinta dengan Pak Arab. Jika saya tahu semua itu, langsung tidak mahu saya mendekati dia, apatah lagi kini, sehingga ada segelintir kawan-kawan saya mengatakan bahawa Nur Sajat meninggalkan “kekasihnya” itu kerana saya. Di sini saya ingin menegaskan, saya tidak terlibat.

“Saya hanya menganggap dia sebagai individu yang cantik, berbakat dan seperti saya juga, baru berpindah ke Sydney, Australia dan perlukan teman. Apabila saya beritahu dia begitu, setelah kami mula akrab, dia agak berkecil hati tetapi dia juga faham, sebagai seorang yang sentiasa bekerja saya tiada masa untuk membelek cerita-cerita di media sosial, termasuk juga tentang kontroversi yang seringkali di kaitkan dengan Nur Sajat,” ulasnya lanjut.

Seperti juga Nur Sajat, Adale memilih Australia kerana negara ini memberikan dirinya kebebasan untuk mencapai potensi diri dan memberi cabaran yang sangat mengujakan di bidang perniagaan.

“Antara cabaran awal yang kami terpaksa lalui semasa produk baru dijual adalah stok yang tidak mencukupi untuk edaran kepada para agen. Ketika itu, produk yang sedang kami promosikan adalah bengkung. Stok yang ada terpaksa dibahagi-bahagikan antara agen dan keadaan ini ada juga menimbulkan rasa tidak puas hati sesama mereka.

“Dalam keadaan kucar-kacir tersebut, saya sebagai sahabat dan co-founder menasihatkan Sajat agar bertenang dan teruskan macam biasa serta tambahkan stok, kerana daripada maklum balas agen, produk sangat laku dan mendapat testimoni yang sangat baik daripada pelanggan yang sudah mencuba.

“Kami sangat gembira, walaupun Sajat diselubungi kontroversi dan kisah-kisah negatif, tetapi produk kami tetap menjadi pilihan ramai. Di sini saya boleh katakan, sambutan amat luar biasa sehingga tidak cukup kakitangan untuk membalas panggilan daripada agen. Perkara yang paling saya terharu ialah, pelanggan tetap setia menunggu walaupun stok belum sampai lagi,” Adale menceritakan kisah produk bengkung yang semakin dikenali ramai dan tidak lama lagi akan masuk ke pasaran Vietnam, Korea dan Indonesia pula.

Cabaran Sebagai Sahabat Di Perantauan

“Bila berada di perantauan, kita lebih menghargai komuniti Malaysia setempat. Begitu jugalah saya dan Sajat. Bagi saya, cabaran yang saya perlu hadapi adalah berfikir dahulu dari semua segi sebelum bercakap supaya salah faham dapat dielakkan dan tidak dipandang rendah. Perkara ini juga saya nasihatkan kepada Sajat, sebagai seorang yang dikenali ramai dia perlu menjaga tutur kata dan elakkan dari bersikap sembrono.

“Sebagai sahabat dan rakan perniagaan saya perlu memantau, bertindak umpama ‘personal bodyguard’ kerana saya lihat ramai yang mahu mengambil kesempatan terhadap kebaikan dia dan kadangkala, ada yang membawa mulut yang tidak sepatutnya dan menjejaskan perniagaan.

“Jika perkara tersebut berlaku, saya perlu bertindak mempertahan atau memperbetulkan cerita yang tersebar kerana saya tidak gemar sahabat yang saya kenali sebagai seorang yang berpotensi untuk pergi lebih jauh kecundang kerana patah hati akibat cerita-cerita negatif yang berlegar berkenaan dirinya.

“Saya juga perlu menjaga hati para sahabat, follower dan orang-orang yang menyayangi Sajat kerana suka atau tidak, apabila saya rapat dengat Sajat, ramai yang cemburu.

“Itulah antara sebab mengapa saya jarang dilihat bersama Sajat, kecuali perlu baru kami akan bergambar bersama. Mereka sayang beliau mahupun jauh atau dekat akan merasa cemburu apabila saya mendekati beliau,” tegas Adale bila ditanya mengapa dia lebih selesa berada di belakang bayang Sajat.

“Saya juga tidak mahu dituduh menjadi punca keretakan hubungan cinta Nur Sajat dan dikatakan ingin menumpang populariti dia, sedangkan produk dan empayar perniagaan di Australia adalah milik kami bersama. Mungkin ramai yang tidak begitu gemar dengan cara Sajat yang ‘loud’, tetapi sebagai individu yang menjadi tulang belakang kepada Empayar Nur Sajat di Australia, saya perlu puji Nur Sajat, walaupun setiap hari terpaksa berhadapan dengan mereka yang benci dan memandang negatif terhadap dirinya. Sajat tidak putus semangat dan tidak mudah beralah. Kami umpama ‘Yin & Yang’ dalam perniagaan. Tenaga dan ‘chemistry’ kami adalah setara, kerana itu agaknya dari segi profesionalisme kami mempunyai ‘mindset’ yang sama.

“Dia seorang pengasas produk dan saya pula ‘marketing explorer’, kami boleh dikatakan umpama “Match made in Enterprise-heaven”, katanya sambil ketawa.

“Saya fikir nak cari sales, dia fikir nak promote produk. Bukankah kombinasi tersebut penting untuk kejayaan sesuatu produk untuk diterima? Saya perlukan produk yang berkualiti untuk dijual dan dia perlu pastikan stok sentiasa ada dan kualiti adalah terbaik. Itu adalah ‘titik pertemuan’ kami, menjadikan hubungan dan kerjasama antara kami bukan sahaja erat tetapi memudahkan urusan.”

Kekeluargaan Dan Kebahagiaan

“Saya adalah insan yang bertuah kerana keluarga besar saya dan kawan-kawan saya adalah sangat ‘supportive’ terhadap apa yang saya lakukan. Saya dibesarkan dengan kasih sayang oleh mendiang orang tua saya, kerana itu dalam apa jua pekerjaan yang saya lakukan, faktor ‘ sayang’ itu penting.

“Abang-abang saya seramai enam orang dan kakak saya sentiasa menasihatkan dan menjadi pendorong utama saya agar saya lebih berjaya dan menjadi contoh terbaik kepada ahli keluarga saya yang lain, lebih-lebih lagi anak-anak saudara yang meningkat dewasa.

“Kawan-kawan saya, baik yang di kampung atau di perantauan sentiasa sahaja bertanya khabar kerana mereka risau saya kini bekerja sendiri bersama Sajat. Mereka risau kebajikan saya tidak terjaga, atau kepakaran saya disalahgunakan, maklumlah saya dianggap lurus bendul oleh rakan-rakan,” katanya lagi.

Seperti orang lain juga, Adale berharap mendapat kerakyatan penduduk tetap secepat mungkin agar memudahkan pergerakan perniagaan yang di rancang untuk memperluaskan lagi empayar perniagaan yang dibina bersama Nur Sajat di Australia.

“Bukan mudah, tetapi saya bernasib baik mendapat surat sokongan daripada bekas majikan dan kawan-kawan saya dan doa saya semoga selepas ini rezeki kami terbentang luas dan dipermudahkan urusan.”

Nasihat Adale kepada yang mahu berhijrah, “Sebelum berhijrah sila pasangkan niat atau misi dan fikirkan secara jauh tujuan sebenar penghijrahan ke negara luar. Hidup kena berdikari dan jangan menyusahkan hidup orang lain. Selain tu sila selidik dulu tentang matawang dan kos sara hidup di perantauan supaya anda tahu kedudukan dan kemampuan anda. Semoga berjaya”.

Bagi penulis pula, setelah mengenali Adale tertanya-tanya juga adakah si ‘koala’ comel ini akan menjadi penyebab Nur Sajat kembali ke ‘fitrah’ Muhammad Sajjad Kamaruzzaman dan mengakhiri zaman kewanitaannya? Entahlah. Itu tuan badan yang perlu jawab. Semoga segalanya baik-baik sahaja.

Nota: Penulis akan menulis kisah selanjutnya hubungan Adale J dengan Nur Sajat di masa akan datang. – New Malaysia Herald

Facebook Comments

Subscribe

Related articles

spot_imgspot_img
%d bloggers like this: