Ia susulan hanya terdapat 14 buah hotel di Melaka yang mempunyai sijil halal justeru hotel-hotel lain tidak dibenarkan menggunakan perkataan ‘Iftar Ramadhan’, ‘Buffet Ramadhan’, atau ‘Selera Ramadhan’ bagi mempromosikan pakej berbuka puasa sepanjang bulan ini

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebajikan Nusa Sejagat Malaysia, Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM) yang mewakili beberapa pertubuhan menggesa pihak berwajib untuk bertindak tegas serta perhalusi peraturan sedia ada dengan menyediakan garis panduan khusus buffet menjamu selera di bulan Ramadhan.

Pengerusi Nusa Sejagat Malaysia, Meor Mohd Hilmi Meor Zainun berkata, melalui makluman yang diterima, ada antara premis makanan yang tidak tersenarai dalam 14 premis yang mempunyai sijil halal yang sebelum ini telah menawarkan ‘Iftar Ramadhan’ telah menarik semula iklan tersebut.

Premis tersebut kemudian mengubah strategi hebahan kepada ‘Jom Makan Malam’ dan ‘Buffet Makan Malam’ selepas dilarang mempromosikan bufet dengan perkataan yang boleh memperdayakan umat Islam.

“Bagi umat Islam, perkara yang berkaitan dengan pemakanan adalah amat sensitif tetapi malangnya segelintir rakyat Malaysia, seperti pengusaha makanan, pasaraya-pasaraya premium dan tidak lupa juga hotel-hotel mengambil ringan akan isu halal haram ini.

“Kita sebagai umat Islam selalu ‘terpedaya’ dengan jenama atau poster Islamik yang di paparkan, namun adakah hidangan yang kita makan itu adalah ‘halal’ dalam ertikata tiada percampuran bahan ketika di simpan. Contohnya, adakah ayam disembelih mengikut syarak dan kemudian di simpan di dalam peti sejuk beku yang berbeza daripada simpanan daging khinzir, atau bahan-bahan yang di guna seperti sos, kicap dan perencah diperakui JAKIM dan mempunyai logo halal?” beliau menyoal.

Tanpa Logo Halal, Jangan Dibenarkan Membuat Promosi

Dalam kenyataan yang sama, Presiden LPKPM, Dr Lee Nan Sang berpendapat, JAIM perlu memberitahu para pengusaha yang mempunyai sijil halal sahaja dibenarkan untuk membuat promosi berbuka puasa, dalam apa jua strategi sekali pun. Ini kerana hotel atau premis makanan yang tiada sijil halal, sudah jelasnya tidak mengikut standard prosedur operasi (SOP) penyediaan makanan secara Islam, tidak wajar untuk mengadakan promosi makanan buffet di bulan Ramadhan kerana perkara tersebut jelas sekali adalah untuk Muslim.

“Pengusaha yang tidak mempunyai sijil halal perlu mengambil pendekatan dengan memohon sijil halal jika ingin memberi khidmat penyediaan makanan dan tidak mengambil mudah isu sijil halal sebagai cara untuk mengembangkan perniagaan dan mendapatkan sambutan Muslim,” katanya.

Sebagai masyarakat berbilang kaum, dan sebagai menghormati Bulan Ramadhan, sewajarnya pengendali makanan  yang mengadakan juadah bufet berbuka puasa tidak hanya tahu mengambil untung, tetapi juga perlu memastikan standard piawaian ‘Halal’ itu adalah menepati garis panduan yang telah di tetapkan oleh pihak JAKIM.

Kebersihan Dan Keselamatan Makanan Perlu Diutamakan

Bagi Timbalan Presiden Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM) Azlin Othman pula, beliau meminta pihak pengendali makanan untuk memastikan makanan yang disediakan adalah selamat dan tidak mendatangkan kemudaratan, serta mengutamakan kebersihan dan keselamatan makanan untuk dijual kepada orang ramai. Jelasnya, orang ramai juga perlu bertindak bijak dalam memilih premis yang bersih dan selamat sahaja untuk menikmati juadah mereka.

Isu pemakanan ini jika tidak ditangani dengan berhati-hati boleh menjejaskan produktiviti dan tahap kecergasan, dan kecerdasan sama ada dalam kalangan dewasa atau kanak-kanak. Makanan yang tidak disediakan secara bersih akan tercemar dan mengakibatkan masalah kesihatan dan akan mengganggu ibadah puasa individu yang terbabit.

“Keracunan makan juga kerap berlaku kerana penyediaan bahan makanan mungkin dicuci dengan cara yang tidak betul-betul dijamin bersih atau persekitaran yang tidak bersih” katanya.

Masyarakat Islam Khasnya Perlu Bersikap Ragu-Ragu Dan Was-Was

Menurut Pengerusi Masjid Al-Faizin Bertam Malim, Azizol Ayob, masyarakat sendiri pun perlu menitikberatkan pemakanan yang halal ketika menjamu selera di hotel terutamanya ketika di bulan puasa.

Beliau juga menegaskan bahawa masyarakat Islam khasnya, perlu ada sikap ragu-ragu ini atau was-was, terhadap premis yang tidak ada sijil halal tapi menawarkan promosi buffet Ramadhan di bulan puasa ini. Bagi pihak kerajaan pula, mereka perlu  bertindak proaktif  terhadap laporan-laporan dari pihak pengguna dan pertubuhan-pertubuhan pengguna yang prihatin, ambil tindakan dan inisiatif dengan memperhalusi hal ini, lebih-lebih lagi ianya melibatkan hal makanan dan perjalanan perdagangan serta melibatkan kepentingan umum khususnya kepada umat Islam

“Penguatkuasa kena tegas dan berterusan supaya peraturan ni dipatuhi oleh semua pengusaha hotel dan premis makanan, agar tidak mengelirukan pengguna terutamanya umat Islam” ujarnya lagi.

Pastikan Ada Sijil Halal

Mengikut Pengarah JAIM, Che Shukri Che Mat, antara perkataan atau frasa yang dilarang digunakan dalam medium pengiklanan mereka ialah buffet Ramadhan, selera Ramadhan dan sebagainya.

Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) memperingatkan pengusaha hotel atau premis makanan yang tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia untuk tidak membuat sebarang pengiklanan buffet Ramadhan menggunakan perkataan yang boleh membawa kekeliruan kepada umat Islam.

“Pihak Hotel dan premis penyediaan perkhidmatan makanan yang tidak mempunyai sijil halal perlu segera menarik iklan di mana-mana medium seperti poster, risalah bercetak, papan iklan dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan.

Tindakan sedemikian dibuat bagi mengelak daripada diambil tindakan oleh pihak berwajib seperti Jabatan Agama Islam Negeri Melaka (JAIM) dan Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang akan melakukan pemeriksaan ke hotel-hotel dan premis makanan yang tidak mempunyai sijil halal. – New Malaysia Herald

Facebook Comments