Najib: Status Kewangan Negara Amat Mencabar Akibat Kegagalan PH/PN

0
364

Negara sedang berdepan dengan keadaan yang cukup mencabar untuk memulihkan semula tabung-tabung dan rizab negara setelah kerosakan sangat teruk ditinggalkan oleh Kerajaan PH dan PN terdahulu

Nisbah hutang kerajaan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga naik dari 48.7% ke lebih 63% hari ini – iaitu jauh melebihi had nisbah hutang 55% yang ditetapkan semasa kerajaan BN

Kuala Lumpur – Ahli Parlimen Pekan, Najib Razak, hari ini menegaskan bahawa akibat pemansuhan Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) yang dilakukan semata-mata sebagai langkah populis, aset-aset negara yang selama ini memberi pulangan yang baik telah dijual oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) selepas PRU14, menaikkan defisit tahunan kerajaan.

Dalam perbahasan beliau di Parlimen hari ini, Najib yang juga bekas Perdana Malaysia ke-enam serta bekas Menteri Kewangan, berkata bahawa semasa Barisan Nasional menerajui kerajaan, defisit tahunan tersebut telah turun untuk lapan tahun berturut-turut.

“Akibat pemansuhan Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) yang dilakukan semata-mata sebagai langkah populis, aset-aset negara yang selama ini memberi pulangan yang baik tetapi dijual serta prestasi ekonomi yang lembab di bawah Kerajaan PH dan PN hutang langsung negara telah naik lebih 46% atau kenaikan sekitar RM320 bilion dari RM687 bilion pada tahun 2017 ke lebih RM1.03 trilion hari ini.

“Nisbah hutang kerajaan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga naik dari 48.7% ke lebih 63% hari ini – iaitu jauh melebihi had nisbah hutang 55% yang ditetapkan semasa kerajaan BN,” kata Najib.

Beliau menambah bahawa bukan sahaja rizab tunai Petronas sebanyak RM176 bilion yang ditinggalkan kerajaan BN pada masa PRU14 telah dijarah, tetapi tabung KWAP, KWAN dan Khazanah turut mengalami nasib yang sama dikorek Kerajaan PH dan PN.

Najib juga turut mendedahkan bahawa bermula tahun 2018 di mana RM4.5 bilion dikeluarkan oleh Kerajaan PH, sebanyak RM19.5 bilion telah dikeluarkan dari KWAP setakat ini berbanding dengan sifar yakni BN tidak pernah sentuh sama sekali aset tersebut, sebaliknya bertambah peruntukannya setiap tahun.

“Sedangkan, sepanjang tempoh KWAP ditubuhkan dan beroperasi, satu sen pun tidak pernah diambil dari tabung ini pada era BN. Hakikatnya, nilai aset tabung KWAP naik dari RM55 bilion pada tahun 2008 ke RM140 bilion pada akhir tahun 2017.

“Begitu juga dengan tabung KWAN di mana nilai tabung naik dari RM4 bilion pada tahun 2008 ke RM17 bilion pada akhir tahun 2017, sebanyak RM15 bilion juga telah dikorek keluar oleh kerajaan PN,” beliau berkata.

Aset Dijual

Beliau menambah bahawa nilai aset Khazanah Nasional yang naik berganda dari RM33 bilion ke RM116 bilion dalam tempoh sembilan tahun sebelum PRU14 juga telah menurun kepada RM82 bilion pada akhir tahun 2020 setelah aset bernilai berpuluh bilion ringgit yang sepatutnya memberi pulangan yang baik, telah dijual oleh Kerajaan PH.

“Ianya jelas bahawa nilai-nilai rizab dan tabung simpanan kerajaan ketika ini sudah jauh lebih rendah berbanding sebelum PRU14.

“Akibatnya penarafan kredit Malaysia yang diberi oleh syarikat Fitch telah diturun taraf dari gred A ke gred B pada tahun 2020 – buat kali pertama dalam sejarah Malaysia kehilangan gred A,” hujah Najib.

Najib memberi kesimpulan bahawa bukan sahaja rizab Petronas, Khazanah, KWAP dan KWAN dikorek atau dijarah, tetapi hutang kerajaan juga melonjak naik sebanyak RM320 bilion iaitu kenaikan lebih 46% sejak PRU14.

“Negara berdepan dengan keadaan yang cukup mencabar untuk memulihkan semula tabung-tabung dan rizab negara setelah kerosakan sangat teruk ditinggalkan oleh Kerajaan PH dan PN terdahulu.

“YB Pagoh (Muhyiddin Yassin) bukan tidak tahu keadaan kewangan negara sedangkan beliau pernah menjawat jawatan Menteri Kanan dalam PH dan kemudiannya menjadi Perdana Menteri dalam Kerajaan PN. Sebenarnya selepas PRU14, Pagoh berada dalam dua kerajaan yang merosakkan kewangan negara,” tuduh Najib.

Mengikutnya, Muhyiddin juga pernah mengaku berbelanja RM600 bilion untuk menunjukkan keprihatinannya semasa menjadi PM sehinggakan mengaku kerajaan tidak mempunyai dana lagi.

“Dari mana dia dapat dana sebanyak RM600 bilion ini jika bukan dari rizab RM2 trilion pada masa BN dahulu? Ataupun dengan menambah hutang negara?

Gagal

“Setakat hendak membelanjakan duit, semua orang boleh buat. YB Kota Raja boleh buat, Parit Buntar dan Pokok Sena pun boleh. Hanya tahu berbelanja tetapi gagal dalam menambahkan hasil negara,” tambah Najib.

“Beliau juga pernah mengaku berbelanja RM600 bilion untuk menunjukkan keprihatinannya semasa menjadi PM sehinggakan mengaku kerajaan tidak mempunyai dana lagi.

“Dari mana dia dapat dana sebanyak RM600 bilion ini jika bukan dari rizab RM2 trilion pada masa BN dahulu? Ataupun dengan menambah hutang negara?” Najib menyoal.

Najib menegaskan bahawa setakat hendak membelanjakan duit, semua orang boleh buat – hanya tahu berbelanja tetapi gagal dalam menambahkan hasil negara.

Menyentuh dengan isu 1MDB, Najib berkata bahawa adalah tidak betul untuk mencanangkan bahawa rakyat perlu membayar atau menanggung hutang 1MDB. Misalnya, bayaran sebanyak RM16.4 bilion yang diterima dari Goldman Sachs bukanlah dari wang rakyat. Itu wang Goldman Sachs yang boleh digunakan untuk membayar hutang 1MDB.

1mdb Malaysia Berhad
Najib Adalah tidak betul untuk mencanangkan bahawa rakyat perlu membayar atau menanggung hutang 1MDB

Begitu juga dana-dana lain yang diterima dari DOJ sebanyak RM3 bilion, Ambank RM2.83 bilion, KPMG RM340 juta dan Deloittes RM324 juta.

“Kesemua ini yang berjumlah hampir RM23 bilion, bukanlah wang rakyat. Sepatutnya wang ini boleh digunakan untuk membayar hutang 1MDB.

“Ini tidak termasuk aset-aset 1MDB. Penjimatan daripada penyelesaian perjanjian berat sebelah Penjana Elektrik Bebas (IPP) peninggalan zaman Perdana Menteri ke-4 yang diselesaikan dengan bantuan 1MDB dengan mengambil alih IPP.

Rizab Tunai Petronas Naik

“Ini telah menjimatkan sebanyak RM50 bilion. Penjimatan inilah antara sebab rizab tunai Petronas naik daripada RM30 bilion kepada RM176 bilion pada 2018, sebelum dijarah licin oleh Kerajaan PH dan PN,” hujah Najib.

Di samping itu, Bandar Malaysia bernilai RM140 bilion telah dinilai sebagai aset terbaik Malaysia.

“YB Bagan (Lim Guan Eng) semasa menjadi Menteri Kewangan pernah menyifatkan projek TRX sebagai antara aset terbaik negara dan YB Langkawi (Mahathir) semasa dia melancarkan semula Bandar Malaysia menyifatkannya sebagai projek paling strategik.

“Saya pun pelik, sebelum itu heboh kata projek-projek ini jual negara. Lepas itu, tiba-tiba menjadi aset paling baik dan paling strategik pula,” kata beliau.

Pengkalan Udara Sendayan

Beliau menambah bahawa pembinaan dan menaik taraf lapan pangkalan anggota pertahanan yang dibiayai oleh 1MDB termasuk Pangkalan Udara Sendayan yang merupakan pengkalan udara terbesar, tidak pernah disebut oleh PH atau PN.

Sedangkan inilah aset-aset yang boleh menambah pendapatan kerajaan dan rizab negara. Jadi, macam mana boleh timbulnya tohmahan bahawa rakyat yang akan menanggung hutang 1MDB?, tanya beliau.

“Saya ingin membuat saranan kepada kerajaan hari ini. Pada tahun 2017 Kerajaan BN telah menandatangani satu perjanjian penyelesaian dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) milik kerajaan Abu Dhabi. Menerusi perjanjian itu, IPIC berjanji akan mengembalikan sebanyak USD6.5 bilion kepada 1MDB sebelum 31 Disember 2020.

“Setiap satu sen dana 1MDB yang disyaki hilang atau diselewengkan adalah selepas ianya dijamin atau dipindah ke syarikat IPIC atau pegawai-pegawai syarikat tersebut. Dan juga IPIC yang memberi jaminan bagi pinjaman bon USD3.5 bilion kepada 1MDB. Sebab itu mereka menandatangani penjanjian untuk mengembalikan dana ini,” kata Najib.

Beliau bertanya kenapa kerajaan PH membatalkan perjanjian penyelesaian ini selepas PRU14? Sedangkan, sekiranya diteruskan, 1MDB akan menerima semula wang yang didakwa hilang itu.

“Bon USD3.5 bilion akan matang pada tahun ini (2022) dan perlu dibayar balik. Kerajaan sudah memperuntukkan sekitar RM15 bilion daripada dana sebanyak RM23 bilion yang telah dibayar oleh Goldman Sachs, Ambank dan sebagainya seperti yang saya sebut tadi, bagi membayar balik bon ini.

Tidak Tahu?

“Sekiranya kerajaan tidak mahu meneruskan perjanjian penyelesaian dengan IPIC dan meminta kerajaan Abu Dhabi membayar balik dana sehingga USD6.5 bilion, Kerajaan Malaysia ada pilihan bagi 1MDB tidak bayar balik bon USD3.5 bilion tahun ini. Oleh itu, IPIC perlu membuat pembayaran tersebut disebabkan mereka yang menjamin. Jadi kerajaan boleh gunakan RM15 bilion untuk tujuan lain seperti bantuan rakyat atau projek pemulihan negara,” kata beliau.

Tambah beliau, dana sebanyak RM4 bilion yang dipinjam dari KWAP kepada SRC di mana YB Pagoh dalam kenyataannya dua minggu lepas menyatakan beliau tidak tahu menahu ke mana perginya dana tersebut?

“Saya sangat hairan sebab sebagai seorang Menteri Kanan ketika Kerajaan PH serta Perdana Menteri Kerajaan PN yang telah menyiasat kes 1MDB sepenuhnya setelah bertahun-tahun, tidak tahu dana itu pergi ke mana?

“Seperti yang diberitahu dalam perbicaraan kes SRC saya, dana sebanyak USD1.2 bilion telah dihantar oleh SRC ke akaun bank mereka (SRC) dan telah dibekukan oleh Kerajaan Switzerland. Sebelum PRU14, saya sudah mengarahkan Peguam Negara agar wang USD1.2 bilion dikembalikan dari Switzerland. Wang itu masih di sana. Tetapi Kerajaan PH dan PN seolah-olah tidak berminat membawa pulang dana tersebut. Sebab apa?

“Semasa SRC memindahkan USD 1.2 bilion ke akaun bank Switzerland, kadar pertukaran matawang ialah USD1 kepada RM3.00 iaitu bersamaan dengan RM3.6 bilion.”

Najib berkata jika USD 1.2 bilion dikembalikan pada kadar hari ini ~ USD1 kepada RM4.2 ~ ia akan bernilai sebanyak RM5.05 bilion jauh melebihi RM4 bilion SRC yang dipinjam dari KWAP.

“Maka satu sen duit KWAP pun tidak hilang dan tohmahan bahawa saya mencuri duit pencen dari KWAP tidak timbul lagi. Dan sekiranya diambil balik saya sarankan agar dana RM5 bilion ini digunakan untuk membantu rakyat.”

Najib menyarankan supaya kerajaan hari ini meneruskan semula perjanjian penyelesaian dengan IPIC serta mengambil semula dan membawa balik pulang dana yang dibekukan di Switzerland untuk kegunaan kerajaan. – New Malaysia Herald

Facebook Comments