Nancy Shukri: Dari Ngo Ke Arena Politik

0
745
New Malaysia Herald pada kali ini membawakan kepada pembaca temuramah penulis kami, Emma Harith dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Dato’ Sri Hajjah Nancy Shukri.

Nancy Shukri bukanlah nama asing dalam Kabinet Persekutuan memandangkan sebelum dilantik menjadi Menteri MOTAC pada 10 Mac lalu, beliau pernah memegang jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri semasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum Mei 2018.

Naib Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu merupakan Ahli Parlimen Batang Sadong, Sarawak mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menyertai kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

GPS menguasai 19 daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak. Di peringkat kerajaan negeri, GPS mendominasi 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Latar Belakang

Dilahirkan di Kuching pada tahun 1961, di mana bapa beliau, Haji Shukri Mahidi berketurunan Melayu dan Melanau, manakala ibunya, Hajjah Bibi McPherson berdarah campuran Scottish, Iban dan Cina.

Dalam masa bertugas masih membawa produk sarawak dari segi penampilan

Ibu beliau pula merupakan antara pelopor wanita berpolitik di Sarawak di mana sepanjang hidupnya adalah antara wanita yang menyumbang bakti kepada kebajikan dan hak-hak wanita di Sarawak terutama sekali di kawasan luar bandar serta merupakan antara nama besar di dalam tertubuhnya sayap Kaum Ibu di dalam politik Melayu Sarawak sejak dahulu lagi.

Atas sumbangan itulah pengkisahan sejarah perjuangan ibu beliau antara yang telah dimuatkan di dalam sebuah buku yang berjudul “The Pioneer: Sarawak Women in Politics” yang dilancarkan sendiri oleh TYT Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di BCCK pada tahun 2015. (Rujukan: Red Parrot).  

Menyantuni warga emas di salah satu program vaksinasi kebangsaan

Bapa beliau pula adalah seorang guru dari Kampung Santubong dan hasil perkahwinan ini telah melahirkan 11 orang cahayamata. Nancy merupakan anak yang kesepuluh.

Semangat yang di warisi dari Bonda tercinta dan latarbelakang keturunan beliau ini membolehkan dirinya lebih menjiwai kepelbagaian kebudayaan Malaysia, dan antara tokoh politik Malaysia yang disayangi dan di hormati oleh kawan dan lawan.

Politik Itu Darah Daging

“Saya secara semulajadi memang minat berhujah mahupun memberi komen berhubung dengan rakyat yang meliputi kebajikan, keadilan sejagat, politik dan apa saja isu yang berkaitan rakyat.

“Saya tidak tahu mengenai politik kerana tidak tahu bagaimana orang boleh menceburkan diri dalam politik. Oleh kerana saya tidak berdaftar dalam parti politik, saya ingat memang tidak akanlah saya terlibat dalam politik.

“Namun begitu, keluarga saya dari emak sehinggalah kakak-kakak saya berkecimpung dengan parti politik di peringkat kampung. Saya hanya membantu emak dalam kerja administrasi parti apabila diperlukan. Tidak pernah saya bercita-cita untuk menjadi ahli politik. Bagi saya, saya tidak layak untuk menjadi ahli politik”, jelas beliau.

Bermulanya Kerjaya Sebagai Ahli Politik

Nancy boleh dikatakan berbintang cerah dalam arena politik. Beliau mula berkecimpung dalam kerja-kerja badan sukarelawan dengan menyertai NGO seperti Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak dan lain-lain NGO.

“Saya telah diberi pendedahan oleh ibu saya kerana dari kecil lagi dibawa mengikut beliau ke acara NGO di mana ibu banyak melibatkan diri. Apa saja yang ibu saya buat bersama dengan masyarakat, terutama sekali golongan wanita, itulah saya buat dan menjadi pengalaman kepada saya sehingga dewasa.”

Menurut beliau lagi, keluarganya memang terdiri dari orang yang suka bekerjasama dengan orang kampung dan rakyat amnya secara sukarela. Dari situ Nancy mula dikenali ramai terutamanya pucuk pimpinan kerajaan Negeri Sarawak dan kemudian beliau ditawarkan jawatan sebagai Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak pada bulan Disember Tahun 2006. Inilah detik permulaannya.

Kini, anak saudara beliau Mac Ruhayu Mohd Nor (46 tahun) menyambung legasi keluarga dalam kerja-kerja kebajikan dengan mengasaskan Pertubuhan Rangkaian Penjanaan Ekonomi Wanita, yang bukan sahaja menjalankan kerja-kerja kebajkan biasa tetapi juga menjahit dan menghantar sumbangan PPE kepada barisan hadapan.

Mac Ruhayu Mohd Nor Artis 90 an penyambung legasi ibu saudara Dato Sri Nancy Shukri dalam kerja kerja kebajikan dan kemasyarakatan

Menjadi Menteri Di Kala Pandemik COVID-19

Adalah sangat mencabar menjadi Menteri di kala Pandemik Covid-19 bermaharajalela. Kita semua sedia maklum bahawa industri pelancongan merupakan antara penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi Negara.

Pada tahun 2019, industri pelancongan telah merekodkan sumbangan 15.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan nilai RM240.2 bilion. Manakala, guna tenaga dalam industri pelancongan mencatatkan 3.6 juta orang yang menyumbang 23.6 peratus kepada keseluruhan guna tenaga. Ini bermakna bagi setiap empat pekerjaan di Malaysia, satu daripadanya adalah berkaitan dengan industri pelancongan.

Menyantuni penjual di perkarangan kawasan bangunan MOTAC semasa kelapangan di waktu pejabat

Mengikut penerangan beliau, MOTAC telah menggubal Dasar Pelancongan Negara 2020 -2030 yang telah dilancarkan pada Disember 2020 dan dasar ini menjadi dasar kita semua – pihak Kerajaan dan pemegang taruh bersama-sama melaksanakan dasar ini.

Matlamatnya hanya satu, iaitu untuk menjamin kelangsungan industri pelancongan negara melalui pengukuhan daya saing, pemulihan industri pelancongan secara efektif berteraskan norma baharu, pembangunan sektor pelancongan secara lestari dan inklusif, serta kesediaan mendepani sebarang situasi ketidaktentuan pada masa akan datang.

“Saya berpandangan bahawa manfaat sektor pelancongan kepada ekonomi negara adalah amat besar dan meluas. Manfaat ini juga boleh dilihat dari segi sejauhmana sektor pelancongan dapat dijajarkan ke arah mencapai 17 matlamat Pembangunan Lestari atau SDGs.“

Di bawah PBB, manfaat pertama ialah dari segi keupayaan sektor pelancongan bagi memastikan pembangunan ekonomi yang mampan. Dalam aspek ini, sektor ekonomi yang terlibat dalam rantaian sektor pelancongan adalah sangat besar. Sebagai contoh, sektor pengangkutan udara dan darat, penginapan (perhotelan dan homestay), makanan, pemandu pelancong, travel agent dan penjual cenderamata. Impak yang jelas adalah dari segi gunatenaga, meningkatkan kebolehsampaian (connectivity), peningkatan pelaburan, inovasi dan kreativiti dan sumbangan sektor tersebut kepada KDNK.

Sektor pelancongan juga penting dari segi memastikan pembangunan inklusif yang memberi peluang kepada semua untuk terlibat tanpa mengira kedudukan dan lokasi. Ini adalah kerana sektor pelancongan itu sendiri merupakan “people-centric activity”. Antara manfaat yang boleh dikaitkan dengan pembangunan inklusif ini adalah pembasmian kemiskinan (poverty eradication), Keseimbangan pembangunan antara kawasan dan keseimbangan gender (gender equality). Ini adalah juga antara sebab MOTAC menggalakkan ‘Community-Based Tourism’ yang menekankan kepada penglibatan penduduk setempat serta pengagihan kekayaan di wilayah luar bandar secara saksama.

Selain daripada itu, Menurut Nancy lagi, pembangunan industri pelancongan adalah juga berkait rapat dengan produk pelancongan itu sendiri, umpamanya dari produk yang berkaitan dengan alam sekitar, seni dan budaya. Oleh itu, sektor pelancongan boleh memberi manfaat kepada pemeliharaan dan pemuliharaan alam semula jadi serta seni budaya dan warisan negara yang juga merupakan aset utama negara.

Kesinambungan Industri Pelancongan Di Era Norma Baru

Sebagai Menteri yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga Industri pelancongan negara, survival industri adalah antara perkara pertama yang perlu di uruskan. Untuk mengembalikan kegemilangan sektor pelancongan Negara ini di mana pada tahun 2019, World Tourism Organisation (UNWTO), telah menamakan Malaysia pada kedudukan ke-14 dari segi kedatangan pelancong dan kedudukan ke-23 bagi perbelanjaan pelancongan. Malaysia juga telah menerima Anugerah Penjagaan Kesihatan Terbaik Dunia oleh International Living, dan Kuala Lumpur pula telah dinobatkan sebagai sepuluh bandar teratas Dunia oleh Euromonitor, pihak kementerian telah menjalankan beberapa inisiatif.

Demi memastikan kesinambungan industri pelancongan negara, MOTAC sentiasa bekerjasama dengan persatuan-persatuan pelancongan bagi merangka dan melaksanakan Pelan Pemulihan Pelancongan yang merupakan pelan jangka pendek di bawah Dasar Pelancongan Negara 2021-2030 (DPN), antaranya menerusi strategi berikut iaitu memulihkan keyakinan orang awam untuk melancong semula sambil mengadaptasi norma baharu seperti keselamatan, kebersihan dan kesihatan serta pematuhan kepada SOP; Untuk mengatasi masalah kegelisahan kesihatan awam pelancong, penggiat industri dan kerajaan patut berkomunikasi secara telus dan proaktif mengenai langkah-langkah yang dilaksanakan dan perkembangan semasa dalam perniagaan atau destinasi.

Selain daripada itu, inisiatif-inisiatif yang akan merancakkan semula pelancongan domestik dengan menawarkan pakej pelancongan yang kreatif dan menarik menerusi platform digital dan mempromosi keunikan destinasi pelancongan desa atau hidden gems; memandangkan pelancong kini gemarkan destinasi yang selamat, kurang sesak dan nyaman; menawarkan insentif dan promosi dalam bentuk baucar rebat, e-baucar, cashback melalui e- wallet dan diskaun; akan dilaksanakan apabila keadaan negara bersesuaian kelak.

Agensi-agensi yang berada di bawah MOTAC juga di galakkan mengadaptasi penggunaan teknologi terkini yang selamat dan tanpa sentuh, seperti pembayaran tanpa tunai, tempahan dalam talian, transaksi serta daftar masuk tanpa sentuh. Kerjasama awam-swasta digalakkan terutamanya dalam menambahbaik produk pelancongan, seni dan budaya sedia ada agar lebih inovatif dan menarik; dan pemahiran semula dan meningkatkan kemahiran (upskill and reskill) bagi menambahbaik kualiti dan kredibiliti profesion dengan mengadaptasi norma baharu.

Beliau juga menegaskan adalah penting bagi kerajaan dan para pemain industri pelancongan untuk memastikan aktiviti pelancongan itu berlaku yang akan secara langsung memberi manfaat kepada sektor ekonomi tersebut.

Ini adalah juga merupakan satu strategi di bawah DPN di mana MOTAC berhasrat mewujudkan Zon Pelancongan Pelaburan Khas atau ‘Special Investment Tourism Zones’ untuk mendorong pengembangan produk ekosistem dan perkhidmatan pelancongan bernilai tinggi dan inovatif sebagai langkah mengadaptasi ke arah kecanggihan pasaran yang semakin meningkat.

Sidang Redaksi New Malaysia Herald juga ingin menyampaikan salam Takziah buat Nancy di atas pemergian Bonda tercinta yang telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia 90 tahun kira-kira jam 10.54 malam, 16 Jun 2021 di kediaman Nancy di Kuching, Sarawak. Semoga arwahyarhamah di tempatkan di sisi orang-orang soleh hendaknya. – New Malaysia Herald

httpsadmissionutpedumy


Facebook Comments