UMNO Desak Kerajaan PN Panggil Parlimen Bersidang Dalam 14 Hari

UMNO mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengadakan sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari dan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Pemerintah.

Presiden UMNO Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kegagalan kerajaan PN berbuat demikian dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati Institusi Raja-Raja Pemerintah.

“Justeru, tidak perlulah berdolak-dalik lagi istilah ‘secepat mungkin’ dan ‘segera’ yang digunakan di dalam kedua-dua kenyataan media perihal sidang Parlimen, yang hakikatnya menzahirkan kesepakatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Raja-Raja Pemerintah.

“Sebagai sebuah parti yang diasaskan atas tujuan memelihara dan membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO, satu Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi akan diadakan bagi memuktamadkan tindakan selanjutnya,” kata Zahid dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut berkata, UMNO menyokong penuh kedua-dua kenyataan media Istana Negara dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang menzahirkan pendirian Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah yang menitahkan agar Parlimen segera bersidang.

“Sebagaimana yang telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, UMNO berpendirian Parlimen amat mustahak untuk diadakan bagi segera membawa pelbagai tuntutan dan harapan rakyat yang sedang kesempitan dalam mendepani Pandemik Covid-19 di samping memastikan wujud akauntabiliti dalam urusan pentadbiran kerajaan,” tambah Zahid lagi.

Rabu lalu, Sultan Abdullah telah bertitah sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin untuk membahaskan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara kerana menyedari peranan penting Parlimen bagi membincangkan isu berkaitan Covid-19.

Ia disusuli kenyataan bersama Raja-raja Melayu yang berpandangan tiada keperluan untuk darurat dilanjutkan selepas 1 Ogos dan menggesa Dewan Undangan Negeri bersidang semula secepat mungkin. – New Malaysia Herald

Facebook Comments

Latest articles

Related articles