Apa Sebenarnya Yang Terbaik Untuk Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan?

Ikuti nukilan penyelidik kanan Noorlailey M. Fadzilah dari Institute of Strategic Analysis and Policy Research (INSAP)

0
384

Kebelakangan ini, ramai pihak telah menyuarakan kegusaran lantaran jumlah penerima vaksin COVID-19 di negara ini yang masih rendah dan kadar vaksinasi yang perlahan.

Mobiliti untuk mempercepatkan Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) masih menjadi pertikaian dengan pelbagai kritikan dilemparkan termasuk ekuiti bekalan vaksin yang dilabel sebagai monopoli kerajaan.

Noorlailey M. Fadzilah: Selain isu bekalan vaksin, masalah lain yang terkait adalah kadar pendaftaran vaksin yang masih rendah

Dengan kadar penularan kes yang tinggi saban hari, langkah kawalan terbaik mempercepatkan lagi kadar vaksinasi untuk mencapai kadar imuniti kelompok (‘herd immunity’) yang memerlukan sekurang-kurangnya 80% populasi Malaysia menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19.

Setakat 7 Jun 2021, hanya 7% daripada jumlah populasi Malaysia yang telah divaksin. Lebih kurang 3.50 juta dos vaksin telah disuntik dengan 2,364,455 daripadanya telah menerima satu dos vaksin manakala 1,128,738 telah lengkap menerima dua dos vaksin (3.4% daripada jumlah populasi).

Malaysia dan Akses Vaksin

Punca utama kelesuan momentum PICK adalah berasas berikutan kekurangan bekalan vaksin di pasaran antarabangsa yang berada di luar kawalan kerajaan Malaysia serta permintaan dunia yang melebihi kadar pengeluaran. Malaysia masih terpaksa menanti giliran bersaing dengan lebih 90 negara lain dan tidak mempunyai alternatif lain selain dari menanti tibanya giliran memandangkan keupayaan Malaysia untuk menghasilkan vaksin sendiri juga masih terhad.

Dubbed As Five Times Bigger Than the 1mdb Scandal, the Discrepancies Pertaining to the Abuse of the Mco and Vaccine Procurement Should Be Subject to an Rci - Nmh Filepic
<em>Ketika ini Malaysia masih belum mampu mencapai kadar vaksinasi optimum seperti yang disasarkan iaitu sebanyak 150000 dos sehari<em>

Ketika ini, Malaysia masih belum mampu mencapai kadar vaksinasi optimum seperti yang disasarkan, iaitu sebanyak 150,000 dos sehari. Namun, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) merangkap Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin optimis bahawa kadar vaksinasi negara akan mencapai tahap optimum tersebut mulai bulan Jun susulan perjanjian ke atas pembelian tambahan dos vaksin yang baru ditandatangani oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba pada 21 Mei yang lalu. Diharapkan, negara mampu membentuk imuniti kelompok lebih awal dari yang dijangka – iaitu sebelum tibanya suku akhir 2021.

Faktor Pendaftaran Vaksinasi Yang Rendah

Selain isu bekalan vaksin, masalah lain yang terkait adalah kadar pendaftaran vaksin yang masih rendah. Selepas lebih 100 hari PICK berlangsung, hanya seramai 12,708,357 rakyat Malaysia telah mendaftarkan diri untuk vaksinasi. Banyak faktor yang dilihat menyumbang adalah seperti ketidakyakinan segelintir golongan dengan sikap tunggu dan lihat, kelemahan penyampaian maklumat berkaitan vaksin secara menyeluruh, serta gerakan anti-vaksin yang kian menular dalam kalangan masyarakat.

Penyebaran informasi berkaitan vaksin yang kurang tepat atau salah sama sekali juga sedikit-sebanyak telah mengganggu kelancaran PICK ini seperti keraguan tentang kadar ‘efficacy’ vaksin yang berlainan jenis (sama ada vaksin Pfizer, Sinovac atau AstraZeneca), stigma keraguan status halal tentang kandungan dan bahan yang digunakan, keraguan kumpulan mempunyai komorbiditi yang ditakuti boleh membawa maut serta-merta kepada mereka. Kesan penyebaran info yang tidak benar ini merupakan antara punca mengapa ramai rakyat gagal untuk menghadiri janji temu suntikan vaksin mereka.

Kewajaran Angkatan Tentera Malaysia Sebagai Peneraju PICK

Banyak cadangan telah dikemukakan kepada pihak kerajaan dalam memperhalusi mekanisme yang lebih ampuh bagi mempercepatkan kadar vaksinasi negara. Antaranya dengan memobilisasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mengetuai PICK sepenuhnya di bawah Perkara 150 (1) yang diusulkan kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong (SPB YDPA) susulan pelaksanaan Proklamasi Darurat hari ini.

Memobilisasikan angkatan bersenjata seperti ATM dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) bagi tujuan mengawal krisis keselamatan kesihatan bukanlah satu idea yang asing lagi. Ketika serangan wabak Virus Nipah yang melanda negara sekitar tahun 1999, anggota tentera dan polis juga pernah digerakkan ke Kampung Sungai Nipah dan Bukit Pelandok, Negeri Sembilan bagi mengendalikan pergerakan dan mematikan kesemua babi di kawasan tersebut.

Sejak kerajaan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020, Kementerian Pertahanan (MINDEF) telah pun memobilisasikan anggota dan aset ketenteraan yang bersesuaian bagi membantu pihak PDRM dikenali sebagai Operasi Penawar (Op Penawar) atas faktor kadar pematuhan rakyat yang rendah sekitar 60% pada peringkat awal pelaksanaan PKP. Lebih 7,000 anggota ATM digerakkan bagi membantu meninjau pergerakan dan turut melibatkan pantauan melalui Pasukan Gerakan Udara (PGU) dengan menggunakan unit dron ATM. Selain pemantauan sekatan jalan raya, ATM membantu membuat rondaan di kawasan tumpuan awam dan menghantar bantuan peralatan, makanan, kelengkapan, pakaian perlindungan diri (PPE) ke seluruh negara termasuk Sabah serta Sarawak.

Melalui Bahagian Perkhidmatan Kesihatan dan Rejimen Askar Jurutera Diraja pula, ATM telah banyak menggerakkan asetnya dalam merancang, membina dan mengoperasikan struktur-struktur sementara untuk kegunaan ketika pandemik misalnya penubuhan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) MAEPS, Serdang, Makeshift Treatment Centre di Pokok Sena, Kedah dan Hospital Medan di Kepala Batas (Pulau Pinang), Tawau (Sabah) dan Kapit (Sarawak) yang berperanan sebagai kemudahan wad tambahan untuk Unit Rawatan Rapi (ICU), farmasi, x-ray dan bilik rawatan kecemasan.

ATM sememangnya berperanan sebagai entiti terpenting yang menjaga keselamatan dan melindungi kedaulatan negara. Namun, timbul persoalan seperti sejauh manakah keperluan untuk mengaktifkan undang-undang tentera (Akta Angkatan Tentera 1972) dalam situasi semasa? Apakah kita sudah mencapai tahap di mana tentera diperlukan bagi mengerah rakyat untuk mengambil suntikan vaksin secara paksaan? Ya, pelaksanaan tempoh Proklamasi Darurat sehingga kini masih gagal untuk menurunkan bilangan kes harian COVID-19 secara total, namun, sejauh manakah kewajaran mobilisasi tentera mengetuai peperangan ini akan berhasil menurunkan jumlah kes harian negara?

Tidak semua jenis peperangan sesuai untuk angkatan bersenjata ini berada di barisan terhadapan ibarat pepatah lain padang, lain belalang. Perkara ini disokong berdasarkan satu laporan kajian menggunakan pendekatan kaedah kualitatif temu bual mendalam bertajuk “Cabaran Polis dan Tentera Mendepani Pandemik COVID-19” oleh Fakulti Sosial Sains dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia mendapati bahawa sesetengah anggota berasa terkesan dan terganggu dengan tugasan operasi kawalan pergerakan di kala pandemik ini berikutan perbezaan penerapan latihan dalam melindungi negara berbanding tugas am anggota polis melindungi dan memelihara ketenteraman awam. Kajian ini secara tidak langsung menghuraikan ketidaksesuaian ATM atas faktor di luar bidang pengetahuan mereka dan tekanan kepada para anggota tentera jika mengambil alih tugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan MOSTI sebagai peneraju dalam melaksanakan PICK ini.

Pemantapan Strategi Kerajaan Untuk Meningkatkan Kadar Vaksinasi

Pokoknya, sinergi usaha antara semua pihak yang sebenarnya diperlukan bagi mempercepatkan kadar vaksinasi negara dan bukannya melepaskan tanggungjawab kepada pihak lain seandainya satu pihak lagi dikatakan gagal.

Kerajaan perlu segera menggembleng lebih usaha dan menggerakkan mekanisme lain dengan lebih agresif, pantas dan efisien bagi kemudahan mendapat akses vaksinasi. Melihat dari sudut sosial masyarakat, gerakan program kesedaran PICK boleh dilaksanakan melalui medium seperti program mandatori oleh semua ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mendaftarkan vaksinasi kepada seluruh rakyat di kawasan masing-masing, peranan parti politik atau badan bukan kerajaan (NGO), dan kerjasama bersama personaliti berpengaruh atau figura terkenal seperti bangsawan, agamawan, selebriti, atlet sukan dan sebagainya bagi memastikan tidak ada rakyat yang tertinggal dalam proses pendaftaran vaksin ini.

Setakat 7 Jun 2021 hanya 7 daripada jumlah populasi Malaysia yang telah divaksin

Mekanisme lain yang dilihat bersesuaian bagi meningkatkan kadar vaksinasi di seluruh negara adalah seperti penyediaan sistem ‘walk-in’ di setiap PPV dengan tetapan pada waktu tertentu bagi mengatasi jumlah ketidakhadiran yang tinggi atau isu logistik penyimpanan semula vaksin. Manakala, PPV berskala kecil di setiap daerah, mukim, kawasan perumahan atau kampung dengan kerjasama klinik swasta mahupun kerajaan serta penglibatan wakil komuniti setempat seperti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan persatuan penduduk juga boleh disediakan kerajaan bagi mengurangkan aliran trafik yang sesak di PPV mega selain mobilisasi aset-aset kenderaan ATM sebagai trak vaksin bergerak untuk capaian ke kawasan pedalaman seperti di Sabah dan Sarawak serta kawasan perkampungan orang asli.

Kejayaan projek rintis PPV secara pandu lalu di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, seharusnya pemangkin untuk diwujudkan lebih banyak PPV pandu lalu di seluruh negara yang sekali gus dapat membantu mengurangkan risiko pendedahan kes sporadik COVID-19. Seterusnya, bantuan logistik dan insentif kewangan harus disalurkan oleh kerajaan terutamanya bagi penduduk luar bandar ke PPV berdekatan mereka di samping meningkatkan jumlah dan kualiti pusat sehenti atau ‘one stop centre’ bagi tujuan peringatan janji temu PICK dan menjawab sebarang kemusykilan orang ramai mengenai vaksin.

Kesimpulan

Negara sudah pun berada di dalam kancah peperangan melawan COVID-19 yang mana ianya memerlukan kerjasama semua pihak untuk menggempur dengan menggunakan segala sumber tenaga dan kepakaran yang ada. Tanggungjawab tidak seharusnya terletak di bahu sebelah pihak sahaja kerana dikhuatiri akan merencatkan kelicinan usaha untuk melawan musuh yang tidak kelihatan ini. Pengendalian PICK wajar dikendalikan secara kolaboratif oleh MOSTI dan KKM dengan gandingan bahu bersama ATM, PDRM serta angkatan yang lain telah pun dimobilisasikan ke segenap pelusuk negara demi menjaga kepentingan orang awam supaya tiada lagi gelombang baru yang tercetus dan mengelakkan perkara paling ditakuti – kelumpuhan sektor perkhidmatan kesihatan. – New Malaysia Herald

Pandangan ini ialah daripada penulis yang merupakan seorang Penyelidik Kanan di Institute of Strategic Analysis and Policy Research dan tidak melibatkan New Malaysia Herald.

Facebook Comments