Naib Presiden MCA Dato Sri Ti Lian Ker (kiri) berkata kenyataan Ahli Jawatankuasa Pusat DAP Ronnie Liu baru-baru ini telah 'membogelkan muka' sebenar dan munafik DAP.

DAP adalah sebuah parti yang “survivalnya” bergantung kepada provokasi sentimen dan mengeksploitasi emosi masyarakat Cina kata Naib Presiden MCA, Dato Sri Ti Lian Ker.

Ti berkata, DAP telah berpuluh tahun menjadi lintah yang menghisap darah MCA dengan mengeksploitasi dan memprovokasi emosi masyarakat Cina yang ketakutan untuk diasimilasikan seperti apa yang berlaku di negara jiran di Indonesia, Thailand dan Filipina.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara itu mengulas kenyataan Ahli Jawatankuasa Pusat DAP Ronnie Liu Tian Khiew yang berpendapat parti itu tidak perlu ‘mencairkan kecinaan’ semata-mata kerana kritikan daripada musuh politik.

Dalam ucapan pada majlis pelancaran buku veteran DAP Liew Ah Kim di Klang baru-baru ini, Ronnie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Pelek menegaskan, DAP tidak boleh dibataskan hanya untuk mendapatkan sokongan orang Melayu serta tidak boleh menjatuhkan maruah atau menggambarkan parti tersebut sebagai parti bukan Cina.

“Maka Ronnie Liu, yang juga orang kampung dan rakan sekolah saya di Raub, cuma menzahirkan kekhuatiran penyokong tegar DAP yang mengharapkan DAP sebagai pejuang orang Cina selama ini yang “camouflage” atas politk kepelbagaian.

“Apabila MCA membuat pengorbanan dan penerimaan kompromi kaum demi Bangsa Malaysia seperti pemakaian songkok sebagai pakaian seragam, penerimaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan sebagainya, DAP telah menimbulkan kemarahan pengundi Cina terhadap MCA dan UMNO secara khasnya dan Barisan Nasional secara amnya.

“Adalah jelas DAP mendapat undi majoriti masyarakat Cina selama ini kerana DAP mempunyai “safe deposit” undi Cina dengan mengatakan MCA menggadaikan kepentingan orang Cina kerana terlalu ingin menjadi sebahagian daripada kerajaan,” kata Ti kepada New Malaysia Herald hari ini.

Tambah beliau lagi, hari ini, apabila undi Melayu menjadi penentu siapakah yang akan menerajui kerajaan yang bakal dipilih, DAP atas expedisi ataupun pragmatik POLITIK, sanggup mengorbankan sebahagian daripada undi Cina mereka untuk menangguk lebih banyak undi Melayu supaya dapat menjadi kerajaan akan datang.

“DAP pun sanggup bersama-sama menubuhkan kerajaan bersama UMNO setelah gagal bersama dengan parti lain.

“Ini sedikit sebanyak telah membogelkan muka sebenar dan munafik DAP dan juga menyebabkan ramai pemimpin akar umbi dan penyokong DAP yang tulen dan percaya pada kecinaan DAP risau dan khuatir,” kata Ti yang juga merupakan Senator Dewan Negara. – New Malaysia Herald

Facebook Comments

Advertisement