Ahmad Zahid Hamidi percaya lebih banyak lagi permainan keji seperti ini akan dilakukan untuk terus meremehkan dan memusnahkan UMNO.

Kuala Lumpur: Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan sekeras-kerasnya mengenai adanya perbualan sebagaimana dalam audio antara beliau dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Zahid, ini merupakan satu percaturan politik yang jahat dan jijik yang hanya mengesahkan usaha berterusan untuk melemahkan dan menghancurkan UMNO.

“Saya amat kecewa dan terkejut mengenai penyebaran audio yang kononnya merakamkan perbualan antara saya dengan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim.

“Malah ingin ditegaskan tiada sebarang perbualan antara saya dengan Datuk Seri Anwar selepas Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini,” kata beliau menerusi satu kenyataan hari ini.

Kenyataan Ahmad Zahid Hamidi menafikan sekeras-kerasnya mengenai adanya perbualan sebagaimana dalam audio antara beliau dengan Presiden

Menurut ahli Parlimen Bagan Datuk itu, beliau percaya lebih banyak lagi permainan keji seperti ini akan dilakukan untuk terus meremehkan dan memusnahkan UMNO.

“Sebagai Presiden UMNO, saya tidak akan sesekali mencabuli apatah lagi membelakangi apa jua ketetapan yang telah diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan Perhimpunan Agung UMNO.

“Saya telah mengarahkan pegawai saya untuk segera membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dilakukan untuk mengenal pasti dalang ‘scheme of thing’ ini,” kata beliau.

Sebelum ini telah viral satu rakaman audio perbualan dua individu yang mirip suara Zahid dan Anwar Ibrahim yang berdurasi lebih kurang empat minit di media sosial.

Dalam audio tersebut kedengaran suara dipercayai mirip dengan Anwar Ibrahim memuji ucapan Zahid dalam Perhimpunan Agung UMNO itu dipercayai menerusi panggilan telefon.

Pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, parti itu membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Perikatan Nasional (PN) pada bila-bila masa.

Bagaimanapun, semua menteri dan timbalan menteri daripada parti itu telah memberikan jaminan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk kekal sehingga kerajaan dibubarkan bagi memberikan laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 – New Malaysia Herald

Facebook Comments