Kredit: FB Polis Daerah Subang Jaya

Subang Jaya: Sikap prihatin seorang anggota polis di Balai Polis USJ 8, Subang Jaya, yang bertindak memayung seorang warga emas ketika hujan lebat Ahad lalu, bukan saja mendapat pujian daripada netizen, tetapi turut mendapat penghargaan wakil rakyat kawasan itu.

Bagi Koperal Fairul Azizi Che Mansor, 36, surat penghargaan daripada ADUN Subang Jaya, Michelle Ng bukan saja istimewa buat dirinya, tetapi juga pengiktirafan kepada pasukan beruniform itu yang bakal menyambut ulang tahun ke-214 esok.

“Surat penghargaan ini mungkin biasa bagi sesetengah pihak, tetapi bagi saya ini adalah satu bentuk penghargaan masyarakat kepada anggota keselamatan yang berkhidmat tanpa mengenal jemu semata-mata demi keselamatan orang ramai.

“Ia akan menjadi pembakar semangat saya untuk memberikan perkhidmatan lebih baik kepada masyarakat selepas ini,” katanya yang menerima surat penghargaan itu dalam satu majlis di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya semalam.

Menceritakan kejadian Ahad lalu, Fairul Azizi berkata, beliau berada di kaunter pertanyaan sebelum terpandang seorang warga emas dalam lingkungan 70-an kelihatan dalam kepayahan untuk keluar dari kereta dengan menggunakan sepasang topang ketika hujan lebat.

“Saya hanya membantu dengan meminjam payung pengadu yang ada di balai ketika itu dan pergi ke arah lelaki itu untuk membantu, tetapi saya tidak sangka video itu tular sehingga mendapat perhatian netizen di media sosial,” katanya kepada Bernama.

Sejak dua hari lalu, tular di media sosial video memaparkan tindakan seorang anggota polis memayung seorang lelaki yang ke Balai Polis USJ 8 untuk membuat laporan tentang kemalangan dialaminya.

Hujan lebat ketika itu menyebabkan pakaian warga emas itu basah sehingga anggota polis itu mengambil inisiatif memberikan pakaian miliknya kepada beliau.

Video yang turut dimuat naik di laman sosial Facebook Ibu Pejabat Polis Subang Jaya telah meraih sebanyak lebih seribu tanda suka dan dikongsi sebanyak 409 kali.

Seorang pengguna Facebook bernama Arjuna Niezam meninggalkan komen “polis dan masyarakat berpisah tiada, itu pun ada yang mengutuk dan menghina polis dek hanya segelintir anggota yang bermasalah”.

Seorang lagi pengguna media sosial itu, Adam Musa menulis “terbaik dan semoga kita akan menjadi contoh macam abang polis”.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Abd Khalid Bin Othman menghargai sikap masyarakat yang nampak kebaikan anggota dan pegawai polis. – Bernama

Facebook Comments

Advertisement