Meneruskan siri Kenali Ahli Politik Anda. Atau Tidak!, kali ini, penulis rencana NMH, Emma Harith, menemui Datuk Paduka Ibrahim Ali untuk mengulas apa yang sering beliau laungkan sebelum ini mengenai hak kaum Melayu/Pribumi dan apa rancangan beliau menjelang PRU15 yang dijangka akan diadakan dalam masa terdekat.

Ibrahim Ali, satu nama yang begitu kontroversi mewarnai arena politik Malaysia sejak dahulu lagi. Di panggil secara sinis dengan panggilan ‘katak’, ‘samseng’, rasis’ dan ‘ekstremis Melayu’, hanya kerana dasar perjuangan beliau adalah agenda pemerkasaan Melayu/Pribumi dan Islam. Nama ini tidak perlu di perkenalkan lagi kerana beliau telah berada di persada politik tanahair agak lama, bermula sebagai aktivis pelajar di UiTM, dan telah bertanding di bawah panji beberapa lambang semasa Pilihanraya: Barisan Nasional 1986 (menang), 1990 (menang), 1995 (kalah ), 1999 (kalah); Parti Melayu Semangat 46 (menang), Bebas 2004 (kalah), Bebas 2005 (Pilihanraya Kecil Pengkalan Pasir, kalah), PAS 2008 (menang) dan 2013 (kalah).  Bagi Pilihanraya ke-15 yang bakal berlangsung, beliau akan bertanding di bawah Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (PUTRA) yang telah ditubuhkan pada 08 Mei 2019, sebagai ‘Kuasa Ketiga’ bagi politik Malaysia.

“Sebagai pejuang Melayu/Pribumi tulin, saya tidak mahu hanya duduk dan melihat kekuatan bangsa dan kesucian agama saya terhakis sedikit demi sedikit. Saya hanya mahu mempertahankan Melayu, Islam, Raja-Raja Melayu dan Perlembagaan. Ia tiada kena mengena dengan keberadaan politik saya atau agenda peribadi. Saya hanya mahu bangsa Melayu/Pribumi tidak di tindas dan di perolok-olokkan oleh bangsa lain,” kata beliau yang lebih mesra dipanggil Tok Him.

Perjalanan politik beliau lalui adalah berliku-liku dan penuh onak duri. Dalam kebencian para musuh, berkat sokongan mereka yang menjadi sahabat dan para penyokong, beliau terus berjuang bagi memastikan  kaum majoriti sebanyak 70 peratus tidak terpinggir dari arus kemajuan dan kemakmuran negara.  Sejarah dunia telah membuktikan tiada negara dalam dunia ini aman dan harmoni jika kepentingan kaum majoriti diperlekehkan.

“Sekali lagi saya tegaskan, saya bukan rasis, saya mahu membina Malaysia yang bersatu-padu, di mana kepentingan majoriti di lindungi tanpa mengabaikan hak-hak minoriti. Namun, ada pihak yang menidakkan hak-hak majoriti yang telah termaktub dalam Perlembagaan Negara sejak kemerdekaan lagi. Mereka inilah yang sebenarnya merosakkan negara. Mereka membuatkan Malaysia umpama sebuah buku yang cantik dan elok kulitnya, tetapi isinya tidak semolek kulit buku tersebut,” kata Tok Him lagi.

Pemerkasaan Ekonomi Melayu Pribumi

Ibrahim Ali, atau lebih dikenali sebagai Tok Him, adalah sinonim dengan tanjak merah beliau. – Kredit imej: NMH Grafik oleh DH

“Saya adalah rakan dan musuh kepada ramai ahli politik lain, namun apa yang saya lakukan dalam politik adalah untuk rakyat, kerana itu saya tidak kaya seperti rakan-rakan politik yang lain. Saya juga percaya, dengan menjadikan pemerkasaan Melayu/ Pribumi sebagai Agenda Nasional, ketidakseimbangan ekonomi dan rasa tidak puashati antara kaum dapat di atasi.

Perkara ini adalah selaras dengan ‘Charter of the United Nations’, di mana di bawah kategori sosio-ekonomi, ia jelas memperkatakan: “jika kumpulan majoriti sesebuah negara masih ketinggalan, maka kepentingan mereka mesti dijadikan agenda nasional (If the majority group of any country is still left behind, their interests should be made as the national agenda).”

Menurut Ibrahim Ali lagi, nama ‘PUTRA’ sempena nama Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj, Perdana Menteri Malaysia yang pertama (1957-1970) dan juga merupakan Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dari 1955. Pembentukan Malaysia pada 1963 adalah antara pencapaian Tunku yang terulung dan begitu menakjubkan.

“Kedatangan kaum-kaum lain di satukan di bawah satu negara dan diikat dengan ‘kontrak sosial’ dan orang Melayu/Pribumi adalah tulang belakang pemerintahan negara. Kini kerakyatan yang ditukar dengan hak-hak keistimewaan orang Melayu/Pribumi yang di persetujui oleh semua semakin lama, ia semakin terhakis, dan umpama api dalam sekam, menanti untuk marak.

“Saya dahulu pun adalah daripada UMNO, malangnya, untuk merealisasikan agenda ini parti politik Melayu/Pribumi perlu ada ‘political will’ yang kuat, di mana kita boleh lihat kini UMNO sebagai parti tunjang orang Melayu telah kehilangan kekuatan untuk memperjuangkan agenda ini. Pada ketika ini ‘political will’ yang begitu ketara bagi UMNO adalah perebutan jawatan dan juga kuasa.  Namun, yang lebih penting bagi saya  adalah memastikan ‘political will’ bagi kaum Melayu/Pribumi dapat dilakukan dan diperkukuhkan,” Tok Him menjelaskan berkenaan ‘political will’ yang membentuk sebuah negara Malaysia yang merdeka dan memberikan ruang yang luas untuk kaum lain, tetapi telah disalahgunakan sehingga Melayu/Pribumi terpinggir.

Pengubalan Dasar Ekonomi Yang Adil dan Saksama

Ibrahim Ali: Kepentingan ekonomi perlulah seimbang dengan komposisi kaum. – Kredit image: wikipedia.org

“Saya hanya mahu mengembalikan Dasar Ekonomi Baru (DEB) ke landasan yang sepatutnya, berasaskan artikel 153 Perlembagaan Persekutuan, agar ia adil dan saksama buat semua, lebih-lebih lagi untuk Melayu/Pribumi”.

Beliau teruskan lagi bahawa kepentingan ekonomi perlulah seimbang dengan komposisi kaum iaitu 70 peratus Melayu/Pribumi dan 30 peratus untuk bukan Pribumi, di mana ketika ini Melayu/Pribumi- 30 peratus, bukan warganegara -30 peratus, dan bukan Pribumi – 40 peratus. Pembahagian begini sudah tentu tidak adil dan saksama, ini bukan rasis. Rangsangan dan tindakan untuk memacu Ekonomi Melayu/Pribumi perlulah lebih seimbang.

“Saya tidak nafikan DEB ini berjaya, contohnya saya sendiri adalah produk daripada DEB, dan dengan adanya DEB kita ada ramai golongan Melayu professional. Namun, dari segi pegangan ekuiti, peratusan besar adalah pegangan agensi-agensi kerajaan di mana kita dapat lihat semasa era Pakatan Harapan, ia telah dijual dan penjualan tersebut telah mengecilkan lagi jumlah pegangan ‘ekuiti Melayu/Pribumi’. Perkara ini berlaku kerana pengarah-pengarah serta pemegang taruh (stakeholders) tiada jatidiri Melayu dan berhati kapitalis,” kata beliau lagi.

Melayu masih gagal antaranya dari segi  sektor perkilangan, industri berat dan pembinaan. Orang melayu perlu mengurangkan jurang perbezaan pendapatan dan perlu fokus kepada pelaburan, kualiti pekerjaan, peningkatan skil kerja.”

Bahasa Jiwa Bangsa

“Antara perkara yang perlu saya utarakan di sini adalah ketiadaan ‘political will’ pemimpin Melayu untuk memartabatkan Bahasa Melayu. Contoh terbaik adalah  ‘Elephant fight elephant, the grass die in the middle’, kalau tak tahu berbahasa Inggeris cakap Melayu sudahlah. Pemimpin-pemimpin kita yang bijak berbahasa Inggeris pula umpama malu nak  berbahasa Melayu tidak seperti pemimpin-pemimpin tersohor dari Jerman, Perancis, Jepun, Cina, Rusia dan lain-lain lagi, mereka tidak malu untuk bercakap dan berucap dalam bahasa kebangsaan mereka. Malahan begitu bangga, kerana Bahasa adalah perlambangan jatidiri negara mereka.

“Bukan itu sahaja, apabila kita berjalan di Petaling Street dan Kepong, kita umpama di Taiwan atau Hongkong, papan tanda perniagaan bukan dalam Bahasa Kebangsaan. Perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana sebagai rakyat Malaysia, mereka termaktub kepada Perlembagaan Negara yang meletakkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bukannya bahasa lain, waima bahasa ibunda mereka sekalipun. Kita perlu perbetulkan keadaan ini berlandaskan prinsip Perlembagaan kita.“

Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan itu telah termaktub dalam Perlembagaan kita, namun ia tidak diimplimentasikan. Ini juga adalah satu perkara yang begitu dekat di hati Tok Him dan beliau mahu mengubahnya. – New Malaysia Herald

 Nota pengarang: Bahagian kedua dan undian akan menyusuli selepas ini.

https://www.facebook.com/prpewm
For advertisement bookings and media support, do contact us at contact@newmalaysiaherald.com or Signal/Whatsapp to +6014 6277067 or +6016 6060320

Facebook Comments