Emma Harith adalah seorang Surirumah sepenuh masa. Selain daripada menguruskan hal ehwal domestik, penulis juga seorang Aktivis kemasyarakatan di samping mempunyai hobi makan -makan dan jalan-jalan. THE KITCHEN IS MY OFFICE. If you can't stand the heat, stay away from the kitchen.

Oleh Emma Harith

Bersambung ke Bahagian Kedua kisah Misi #sejutappeuntukMalaysia oleh Pertubuhan Rangkaian Penjanaan Wanita (PRPEW). Duit bukan segala-galanya, tetapi semua perlu duit. Begitu juga dari segi aktiviti kesukarelawanan. Walaupun tidak di bayar, namun untuk keselesaan sukarelawan yang bertugas, makanan dan minuman di sediakan oleh pihak PRPEW.

PRPEW  adalah antara pertubuhan yang bertuah kerana  seringkali menjadi pilihan untuk individu-individu dan syarikat-syarikat korporat membantu dari segi kewangan, dan kemudahan urusan-urusan lain.

Walaupun  jumlahnya  bukanlah berjuta, namun berkat sumbangan semua pihak PRPEW mampu menjalankan aktiviti dengan selesa, dan efisyen dalam menjalankan program.

Bagi misi #SejutaPPE untuk Semporna, Arie Zaharie Production Sdn Bhd menerusi saudara Ianzfaris Mohd Tahir, Pengurus Korporat syarikat, membuka tirai 2021 dengan memberikan sejumlah sumbangan kepada PRPEW, sebagai tanda syukur filem mereka “PETAKA” yang bertemakan kekeluargaan yang ke udara di Astro First pada 04 Februari 2021.

“Pengarah Urusan kami, Saudara Arie Zaharie memilih PRPEW untuk memberi sumbangan kepada PRPEW kerana tema kekeluargaan amat dekat dengan hati beliau.  Beliau terdetik untuk menyumbang kepada PRPEW apabila melihat scenario kekeluargaan ahli-ahli sukarelawan PRPEW yang memastikan misi #sejutappe ini berjaya.”

Ada yang menjahit, ada yang menghantar makanan, ada yang menderma dan ada yang mencari sumbangan, kerjasama yang erat antara ahli  ini umpama satu “unit keluarga” yang begitu berdidikasi dalam memastikan objektif tercapai.

“Lagipun, sokongan terhadap usaha PRPEW untuk menyediakan PPE bagi misi #sejutappe kepada Barisan Hadapan amat diperlukan sekarang. Sumbangan kami sebenarnya adalah sangat kecil berbanding dengan jasa Barisan Hadapan. Semoga inisiatif ini akan lebih sukses dan berterusan,” beliau bertambah.

Bagi saudara Ian Fariz pula, melakukan CSR (Corporate Social Responsibility) adalah sebahagian daripada jiwanya. ”Melakukan kerja-kerja kebajikan ini adalah hobi dan jiwa saya. Saya akan sentiasa cuba untuk membantu dan menyokong aktiviti-aktiviti sebegini lebih-lebih lagi jika ia dilakukan oleh kenalan saya seperti Mac Ruhayu yang saya sudah anggap seperti keluarga. Saya bersyukur dengan sumbangan dari Arie Zaharie yang tidak seberapa PRPEW dapat membeli dua buah mesin jahit industri dan menyewa lagi satu kedai di Galaxy Mall sebagai bengkel jahitan. Ini adalah sumbangan kami secara tidak langsung kepada Barisan Hadapan melalui PRPEW. Motto saya, lakukanlah kebajikan dari hati yang penuh dengan kasih sayang dan keikhlasan.”

Seorang lagi penyumbang dana adalah saudara Khairuddin Daidiri, 49 tahun, bekas pramugara yang kini menjadi seorang usahawan. “Saya menyumbang kepada PRPEW kerana saya mahu ‘give back’ kepada masyarakat melalui saluran yang betul, dan sumbangan saya sampai dan di manfaatkan oleh pertubuhan. Saya sangat gembira apabila diberitahu oleh pihak Pertubuhan bahawa sumbangan yang saya berikan dapat membantu membeli dua buah mesin jahit industri dan di berikan sebagai saguhati kepada para sukarelawan.”

Kunci Kejayaan Ialah Kerjasama

Untuk sesebuah misi itu berjaya, kerjasama dengan pihak lain adalah kunci kejayaan pihak PRPEW dalam memastikan misi Jahitan PPE dan penghantaran kepada Barisan Hadapan berjalan lancar.

Saudara Mohd Taufik Abdul Razak, 56 tahun, dari Kelab Sukarelawan Al-Hijrah Kota Warisan adalah rakan NGO yang banyak membantu PRPEW. “NGO saya selain bekerjasama dengan PRPEW, kami juga bersama  Pengarah CCVE Sepang, Puan Maizurah Hamzah yang membenarkan sekutu mereka untuk menjahit PPE bagi pihak Al-Hiijrah untuk di sumbangkan kepada klinik-klinik di Sepang.  Al-Hijrah memang bekerjasama dengan NGO-NGO lain untuk menjahit PPE dan jika rakan sekutu kami tidak dapat menghantarkan hasil jahitan kepada Barisan Hadapan, Al-Hijrah akan menghantarkannya untuk mereka.”

“Kerjasama dengan PRPEW ini adalah sesuatu yang sangat baik, dan saya harap ia akan berterusan untuk aktiviti-aktiviti kebajikan lain pula dan bukan terhenti sekadar untuk misi #sejutaPPE.“

Secara peribadinya, Taufik berharap agar kerajaan mengiktiraf NGO sebagai penggerak kebajikan bagi masyarakat, bukan untuk mengambil tugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi untuk mengunjurkan bantuan kepada pihak-pihak yang mungkin JKM terlepas pandang.

Selain itu, Puan Sue Yusof, Presiden Pertubuhan Pemangkin Ekonomi Melayu Malaysia (PEMANGKIN) juga antara sahabat yang datang untuk membantu menjahit di Galaxy Mall.

“Sebagai sahabat, saya sangat gembira berpeluang untuk menjahit, maklumlah sudah lama tidak menjahit. Lagipun ini adalah untuk Barisan Hadapan, sudah tentu kami di PEMANGKIN mahu turut menyumbang tenaga, walaupun sedikit sebanyak.

“Sewajarnya pihak Barisan Hadapan ini di berikan keutamaan, bukan dari segi elaun, tetapi juga PPE kerana mereka saban hari terpaksa berdapan dengan risiko kehilangan nyawa semasa menjalankan amanah menjadi benteng harapan agama bangsa dan negara.”

PPE Yang Membawa Sejuta Harapan Kepada Barisan Hadapan

Bagi Dato’ Seri Mohamad Halmiwara (Pengurus Besar) dan Puan Nurhaslina Ali (Ahli Lembaga Pengarah) dari Mabless Lagend Sdn Bhd, pada awalnya mereka dijemput untuk menyertai misi #sejutaPPE oleh pengasas PRPEW, Mac Ruhayu. “Kami amat teruja apabila di hubungi oleh Mac untuk menjadi rakan strategik bagi Penghantaran PPE yang di sumbangkan oleh pereka fesyen tersohor Calvin Thoo, yang menjadi mualaf sejak tahun 2013. Calvin Thoo adalah seorang yang sangat merendah diri walaupun beliau adalah antara pereka fesyen sensasi yang telah terbabit dalam Festival Fesyen Islamik (FFI) lebih daripada 10 tahun.

“Memandangkan pusat operasi kami di Johor, maka kami mencadangkan kepada pihak PRPEW agar kami akan bersama-sama menghantar sumbangan PPE itu, maklumlah memanjangkan sumbangan dari seorang mualaf itu sangat dekat di hati kami.”

Bersama rakan kami saudara Hisham bin Hj Alias, Pengarah Rich Glamourous Sdn Bhd, kami mengaturkan untuk menghantar PPE ke Hospital Permai Johor dan Balai Bomba dan Penyelamat Skudai. Alhamdulillah, 150 pasang PPE untuk Hospital Permai dan 50 helai PPE Balai Bomba dan Penyelamat Skudai telah dapat kami serahkan kepada kedua-dua pihak dengan jayanya. Penyerahan itu dilakukan sendiri oleh saya, saudara Hisham dan Mac Ruhayu pada 06 Disember 2020.”

Penyerah PPE kepada Barisan Hadapan Balai Bomba dan Penyelamat Skudai, diketuai oleh Tuan Riduan. – Gambar fail PRPEW.

“Saya dan rakan-rakan saya yang lain akan terus menyokong usaha PRPEW menjahit PPE untuk barisan hadapan, dan mana tahu jika ada rezeki mungkin PRPEW boleh melebarkan sayap mereka di Johor dan membuat pula bengkel-bengkel Jahitan untuk keperluan Barisan Hadapan negeri Johor.”

Menurut saudara Hisham pula, “Misi PPE ni perlu dijalankan bersama PRPEW kerana kita melihat ramai anggota barisan hadapan yang berkoran masa dan tenaga demi negara tanpa mengira keselamatan nyawa mereka sendiri. Mereka mengambil risiko sebagai benteng hadapan menangani COVID-19. Kekurangan PPE ini adalah penyebab mengapa saya bersama rakan saya bekerjasama dengan PRPEW bagi inisiatif #sejutappe ini. Ia sebagai tanda kami amat menghargai pengorbanan mereka, dan InsyaaAllah, ini hanyalah permulaan kami bersama PRPEW dalam menjalankan misi pengagihan PPE, dan akan lebih banyak penyerahan akan kami lakukan bersama nanti.”

Saudara Hisham juga berharap agar lebih banyak lagi NGO-NGO, korporat serta individu perseorangan yang akan membantu Barisan Hadapan dalam pelbagai bentuk terutamanya keperluan-keperluan keselamatan penting seperti PPE, pelitup muka dan penyahkuman untuk kegunaan Barisan Hadapan.

Nota kaki: Penulis memohon maaf jika ada nama-nama yang tertinggal, ia bukan di sengajakan. Ia adalah kekhilafan penulis. Ketahuilah jasa anda amatlah besar untuk Barisan Hadapan. Hanya Allah yang mampu membalasnya. Semoga semua yang menyumbang secara langsung dan tidak langsung dipermudahkan urusan dan dikurniakan rezeki yang melimpah ruah hendaknya. Untuk masakini, oleh kerana sumbangan yang diterima tidak mencukupi, kami hanya dapat menyediakan hampir 6,000 PPE sahaja. Namun demikian, kami percaya yang matlamat kami akan tercapai hingga kes COVID di negara ini telah berkurang.

Untuk melihat aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh  Pertubuhan Rangkaian Penjanaan Ekonomi Wanita (PRPEW),  sila layari: https://www.facebook.com/prpewm – New Malaysia Herald.

Nota: Artikel ini adalah sebahagian projek CSR oleh New Malaysia Herald.

Facebook Comments