Demi Barisan Hadapan, Misi Sukarelawan Usahakan #SejutaPPE

Bahagian Pertama oleh Emma Harith

Ada rakan yang bertanya mengapa Pertubuhan Rangkaian Penjanaan Ekonomi Wanita (PRPEW)  begitu prihatin dengan Kepulauan Semporna dan Sabah sedangkan pertubuhan tersebut adalah berpusat di Semenanjung.

Semuanya bermula daripada kiriman video Pakcik Radja yang diberikan kepada kami oleh Naib Presiden PRPEW iaitu Nismah Marassan (boleh tonton di sini: https://fb.watch/3jBclxKTDS/J).

Nismah adalah seorang gadis Bajau yang merupakan anak gadis  Semporna yang memulakan semua ini di mana semasa kejadian wabak covid-19 yg melanda Sabah akibat kerakusan kuasa pemimpin tertentu, Sang Puteri Semporna ini telah KEHILANGAN 6 ORANG AHLI KELUARGA dan berpuluh lagi ahli keluarga dia di Semporna kini sedang bertarung nyawa kerana di jangkiti COVID-19.

Gadis ini kuat hatinya, walaupun sedih dan risau serta terkilan kerana tidak dapat pulang ke kampung halaman untuk membantu di sana, dia telah bangkit dari terus mengalah dan memujuk hati yang rawan dengan berusaha mengadakan pelbagai usaha untuk membantu kepulauan Semporna.

Setiap hari si gadis mendapat berita daripada keluarga di sana bahawa Semporna kekurangan PPE untuk petugas barisan hadapan (frontliners) maka, inisiatif MENJAHIT PPE di jalankan dari Semenanjung.

Bermulanya Satu Kerjasama Di Galaxy Mall

Dengan berbekalkan semangat setiakawan, maka jahitan PPE di Galaxy Mall, Ampang dimulakan oleh sukarelawan  dari kedai jahitan Hajjah Husniah Buang. “Apabila mendengar situasi keadaan keluarga rakan kami, saya, Pengasas pertubuhan dan Presiden kami, iaitu Suraya Osman telah sama-sama bersetuju untuk membantu melaksanakan misi #sejutaPPE untuk di bawa ke Semporna, Sabah dan membenarkan penggunaan mesin-mesin jahit saya. Sebelum ini mesin-mesin jahit saya adalah untuk menjahit telekung  dan baju kurung untu tempahan pukal.”

PPE yang telah siap dibuat oleh rakan PRPEW turut diguna oleh syarikat produksi yang menghasilkan video perpaduan untuk memaparkan semangat perpaduan antara barisan hadapan kita. – Gambar fail NMH.

“Lagipun, ini adalah cara saya untuk menyumbang kepada para barisan hadapan yang bergadai nyawa untuk kita, kerana selepas Semporna, kini kami akan menjahit PPE untuk di berikan kepada barisan hadapan seluruh negara pula.”

Bagi Pengasas PRPEW, iaitu artis 90-an Mac Ruhayu Mohd Noor pula, “Rakan kami Nismah tiada keluarga di Semenanjung, oleh itu kami di PRPEW adalah keluarganya. Cubit paha kiri, paha kanan juga terasa sakit, dan dengan itu kami mengumpul sukarelawan dan dana sumbangan daripada kawan-kawan. Mula-mula agak sukar, tetapi kami memulakannya daripada ahli-ahli PRPEW dan rakan-rakan yang rapat dahulu.”

Sebagai Presiden pula, Suraya Osman tanpa berlengah, bersama-sama Mac Ruhayu mendapatkan keperluan jahitan dengan pantas. “Maklumlah, apabila yang meminta bantuan itu individu yang rapat dengan kami, sudah tentulah akan didahulukan sedaya upaya.  Lagipun PRPEW sangat terkesan dengan penularan pandemik COVID-19 yang dilihat semakin membimbangkan.

“Selain meragut nyawa, pandemik ini juga telah memberikan kesan yang teruk kepada ekonomi, sosial dan negara.  Kebanyakan sukarelawan kami terdiri daripada mereka yang putus pencarian. Mereka menjahit kerana mengisi masa lapang dengan cara yang berfaedah. Pada mereka menjahit untuk barisan hadapan adalah lebih baik daripada berkeluh kesah risaukan keadaan yang mendatang. Saya sangat terharu dengan semangat mereka yang sanggup menjahit  tanpa  mengenakan sebarang bayaran, tanpa mengira masa serta tenaga.

Walaupun kami bergerak sendiri tanpa dana daripada mana-mana pihak, Alhamdulillah  pertubuhan kami sekarang sedang  melaksanakan misi #sejutappeuntukMalaysia, iaitu kesinambungan Misi #SejutappeuntukSemporna dan berharap agar usaha  murni ini berterusan dan mendapat sokongan serta bantuan dari individu-individu, badan-badan korporat dan agensi-agensi kerajaan,” katanya lagi.

Bagi setiausaha PRPEW Nur Hidayu Abd Kadir, “Saya amat bersyukur kerana dapat bersama dengan PRPEW dalam melaksanakan Program Sejuta PPE untuk para barisan hadapan seluruh Malaysia. Ikutkan sumbangan saya amat kecil berbanding dengan ahli PRPEW yang lain. Diharap dengan sumbangan PPE ini dapat sebanyak sedikit membantu mencukupkan PPE untuk barisan hadapan.

“Terima Kasih barisan hadapan. Jasa anda sangat besar. Kami tidak mampu membalas jasa anda semua.”

Kami Menjahit Sebagai Tanda Terima Kasih Kepada Barisan Hadapan

Menceritakan bagaimana bermulanya aktiviti sebagai Sukarelawan PRPEW di Galaxy Mall, Nur Afiyaa Michelle, 27 tahun berkata, “Setelah melihat post di FB RSS berkenaan keperluan sukarelawan untuk menjahit PPE, saya hubungi Hajjah Husniah. Mula-mula saja mencuba, lama-kelamaan  sangat gembira  kerana  dapat menyumbangkan sedikit tenaga untuk Barisan Hadapan kita, dan dapat mengeratkan silaturrahim dengan sukarelawan yang lain.

“Pada saya, menjadi sukarelawan mesti dengan hati yang terbuka dan ikhlas. Semoga sama-sama kita mendapat pahala di akhirat nanti dengan membantu mereka yang memerlukan.”

Bagi seorang lagi sukarelawan,  Zaleha Bte Towo (Mimie), 42thn, beliau bekerja sebagai pegawai pemasaran sebelum syarikatnya tutup akibat COVID-19.

“Saya mengetahui tentang  sukarelawan jahitan PRPEW ini daripada salah seorang sukarelawan, iaitu saudara Kos Serani semasa kami lepak-lepak  minum sambil bersembang. Daripada dia barulah saya tahu ada rupanya pertubuhan yang menjahit PPE secara sukarela.  Atas ajakannya, saya pun pergi dan kini adalah salah seorang daripada sukarelawan di sana.”

Bagi Mimie, menjadi sukarelawan ada kepuasan yang tersendiri. “Sukar untuk saya gambarkan dengan  kata-kata, bukan semua orang ‘terpanggil’ dan berpeluang untuk menjadi sukarelawan. Saya berasa gembira dan bertuah kerana semasa menjahit PPE ini, saya di kelilingi oleh orang-orang yang hebat dan positif.  Saya amat mengalu-alukan individu-individu di luar sana yang mahu menjadi sukarelawan. Mereka yang mendapat peluang untuk menjadi sukarelawan janganlah teragak-agak untuk menyertainya, kerana peluang menjadi sukarelawan adalah satu pengalaman hidup yang tidak dapat di beli dengan wang ringgit.”

Sofea Hamzah, berumur 46 tahun, sahabat baik kepada Hajjah Husniah, mula menjadi sukarelawan menjahit PRPEW setelah dijemput.

“Saya sentiasa merasa sangat gembira dapat melibatkan diri membantu individu-individu yang memerlukan dan pada kali ini  sangat berbangga dapat membantu negara tercinta dengan menjahit PPE untuk Barisan Hadapan.  Nasihat saya kepada mereka yang baru berjinak-jinak dengan aktiviti sukarelawan, sentiasalah ikhlas membantu dan mencari peluang untuk menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik.”

Bagi sukarelawan yang menjahit dari rumah pula, Paezah Abu (Eyza) yang berumur 63 tahun, sememangnya adalah seoarang tukang jahit.

“Saya bermula sebagai sukarelawan jahitan PRPEW setelah membaca FB Hajjah Husniah yang sedang mencari sukarelawan untuk menjahit PPE. Memandangkan saya pernah menyertai Team Jahitan PPE Hospital Putrajaya selama empat bulan pada 2019, saya gembira dapat menjahit PPE lagi untuk barisan hadapan. Saya amat bersyukur dapat bergabung dengan rakan-rakan sukarelawan yang lain dan menyumbangkan kemahiran saya menjahit untuk barisan hadapan.” Menurut Hajjah Siti Sarah, kunci menjadi sukarelawan adalah ikhlas dan lakukanlah aktiviti mengikut kemampuan sendiri, tidak perlu ikut kemampuan org lain. Kesukarelawanan bukan untuk bersaing, tetapi adalah untuk berganding bahu melaksanakan satu misi sebaik mungkin.

Suhaibah Bt Nor, 51 tahun dan tidak bekerja pula merupakan sukarelawan separuh masa untuk menjahit PPE di Galaxy Mall jika ada masa terluang. Pengalaman Puan Suhaibah sebagai  sukarelawan Hospital Sungai Buloh banyak membantu dalam misi sukarelawan jahitan PPE.

“Saya suka membantu jika ada yang memerlukan bantuan mengikut keupayaan dan kemampuan diri.  Pengalaman saya yang amat terkesan adalah apabila pertama kali membantu menyuapkan  makanan kepda  pesakit yang tiada waris dan tidak berdaya hendak makan sendiri. Hati saya sangat tersentuh dan terharu apabila terkenangkan arwah ayah dan ibu sendiri, di mana saya tidak berkesempatan melakukan perkara yang sama pada mereka ketika mereka sakit. Saya juga berpengalaman membantu ibu-ibu  yang melahirkan anak dan mengajar penyusunan susu ibu yang betul  dan penjagaan anak dalam pantang.

“Pengalaman dan semangat kesukarelawanan ini saya bawa bersama-sama untuk di kongsi bersama rakan-rakan sukarelawan jahitan PPE ini. Mejadi sukarelawan lebih terasa ‘manisnya’ jika kita laksanakan demi agama, bangsa dan negara dengan penuh ikhlas dan bersungguh-sungguh.”

Jangan Hairan, Lelaki Juga Pandai Menjahit Dan Sanggup Menjadi Sukarelawan

Ahmad Raziqin, berumur 30 tahun, sebelum ini adalah Eksekutif Pengurusan, dan ‘ terjebak’ sebagai sukarelawan PRPEW apabila selalu menghantar dan menjemput ibunya, iaitu Hajjah Husniah daripada Markas Jahitan di Galaxy Mall.

“Saya melihat ibu saya tetap gigih bekerja  walaupun sewaktu wabak COVID-19 melanda.  Saya juga sering bertanya tentang apa yang dibuat di sana memandangkan bahaya wabak ini kepada kesihatan orang ramai, dan saya amat khuatir akan keselamatan dan kesihatan ibu saya. Daripada soalan dan pemerhatian saya, di situ tertumbuhnya niat saya untuk membantu ibu setakat apa yang saya mampu.

“Sejuk hati saya melihat ibu saya tidak keseorangan kerana ramai sukarelawan selain saya datang silih berganti membantu mana yang mampu.

“Memandangkan sekarang ini musim pandemik masih belum beransur reda, para sukarelawan tidak di benarkan datang beramai-ramai. Masing-masing akan datang ikut jadual yang di sediakan oleh ibu saya.

“Saya yakin bahawa kerja yang ikhlas hati dalam membantu orang terutamanya yang lebih susah pasti akan diberkan balasan kebaikan  di dunia dan di akhirat kelak. Tidak perlu pedulikan apa orang lain mahu kata. Semua orang susah sekarang tetapi, ketahanan dan kesabaran itu umpama butiran  permata. Permata hanya akan jadi permata adalah daripada hasil beban dan tekanan yang ditanggung. Maka kepada para sukarelawan jadilah permata,” tambah Ahmad Raziqin.

Seorang lagi sukarelawan jahitan lelaki adalah saudara  Kos Serani, daripada Tawau, Sabah. Beliau berumur 42 tahun, dan merupakan seoarang pereka fesyen.

“Semasa PKP pertama dahulu memang ada rakan-rakan yang mengajak saya untuk menjahit PPE tetapi pada masa itu hati saya belum terbuka lagi untuk menjadi sukarelawan.  Pada masa itu cukuplah saya rasakan sebagai blogger dan penyiar “content” TV online, membantu mewar-warkan rakan-rakan pereka fesyen, pelakon/penyanyi yang melakukan aktiviti kebajikan dan menjahit PPE untuk barisan hadapan, saya sudah lakukan tanggungjawab saya.

“Sehinggalah pada satu hari, saya membuat “content” untuk TV Online saya, iaitu SENSASI.TV berkenaan Misi #SatuJutaPPE untuk Semporna. Hati saya sangat tersentuh apabila saya menemuramah sahabat saya, Mac Ruhayu yang merupakan Pengasas Pertubuhan, dan Hajjah Husniah yang merupakan tulang belakang bagi misi sukarelawan jahitan ini, yang merealisasikan impian bersama tanpa bantuan dana mana-mana pihak, hanya melalui kutipan sumbangan sesama ahli dan rakan-rakan.

“Dari situlah saya mula menjadi sukarelawan tetap jahitan PPE, walaupun tanpa sebarang bayaran. Rasa seronok dan bersyukur kerana menjadi sebahagian daripada pasukan sukarelawan. Walaupun tanpa bayaran, mungkin kerana saya ikhlas, rezeki saya semakin murah,“ jelas Koserani.

Beliau juga berharap masyarakat kita akan lebih menghargai, dan menyumbang sesuatu kepada barisan hadapan seperti doktor, jururawat dan pembantu perubatan, kerana mereka ini bertungkus lumus merawat dan membahayakan diri sendiri demi masyarakat. Anggota keselamatan seperti  polis, bomba dan tentera pula menjaga keselamatan rakyat dan Negara.

“Bagaimana kita mahu bantu mereka agar tidak ‘tumbang’ kerana COVID-19? Beginilah caranya, kita sediakan PPE buat mereka. Jika kita pandai menjahit, kita menjahit. Jika tidak, cukuplah kita bantu QC melipat dan menyusun PPE untuk di hantar kepada Barisan Hadapan, dan jika kita tiada kelapangan untuk menjadi sukarelawan, kita boleh berikan sumbangan dana mengikut kemampuan kita untuk NGO membeli kain, getah, ataupun menambah mesin jahit untuk menjahit PPE.”

Penyerahan PPE di Hospital Permai, Johor Baru. – Kredit gambar PRPEW

Kisah ini belum tamat lagi. Nantikan Bahagian kedua di mana misi ini turut di bantu oleh individu-individu lain yang tidak kurang hebatnya.

Nota kaki: Penulis memohon maaf jika ada nama-nama yang tertinggal, ia bukan di sengajakan. Ia adalah kekhilafan penulis. Ketahuilah jasa anda amatlah besar untuk barisan hadapan. Hanya Allah yang mampu membalasnya. Semoga semua yang menyumbang secara langsung dan tidak langsung Dipermudahkan urusan dan dikurniakan rezeki yang melimpah ruah hendaknya.

Untuk melihat aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh Pertubuhan Rangkaian Penjanaan Ekonomi Wanita (PRPEW),  sila layari : https://www.facebook.com/prpewm – New Malaysia Herald

Nota: Artikel ini adalah sebahagian projek CSR oleh New Malaysia Herald.

Facebook Comments