‘Pentadbiran’ Seorang Ibu Dalam Sebuah Keluarga

Oleh Emma Harith

Ibu adalah individu pertama yang “mentadbir” hidup kita sejak dari dalam kandungan lagi. Ketika di dalam kandungan, apa yang ibu kita makan dan minum itulah juga yang sampai kepada kita.

Dan apabila kita dilahirkan dan menjalani zaman kanak-kanak, ibu kita jugalah yang mencorakkan diri kita.

Kita tidak menafikan jasa si ayah, tetapi secara jujurnya ibu yang lebih banyak bersama dengan kita, tidak kiralah si ibu penat, marah atau sakit, kita tetap akan ‘menempel’ ke ibu kita.

Mengapa begitu? Apa ‘hebatnnya’ individu yang dipanggil ‘ibu’ berbanding ahli-ahli keluarga lain dalam hiraki keluarga?

Tanggungjawab Seorang Ibu



‘Bahasa Ibu’ Memastikan Arahan Dipatuhi Oleh Ahli Keluarga Yang Lain

Antara sebabnya adalah ‘bahasa’ yang digunakan oleh si ibu dalam komunikasi harian bersama ahli keluarga yang lain.

Contoh paling mudah, kita lihat bagaimana mereka ‘mentadbir’ rumahtangga memastikan kestabilan yang berpanjangan hingga ke anak cucu.

Walaupun bapa adalah kepala keluarga, tetapi ibu adalah individu yang mengeluaran ‘arahan’ serta ‘peraturan’, di mana bapa juga tertakluk kepada sebarang ‘polisi keluarga’ yang dibuat si ibu.

Berbanding dengan bapa, bahasa ibu adalah lebih mudah difahami, mengapa begitu?

Ini kerana si ibu akan ‘mengolah’ bahasa mengikut sifat ahli keluarga mereka. Setiap individu adalah berbeza, dan perbezaan sifat itu menyebabkan penerimaan terhadap arahan dan peraturan berbeza.

Contoh mudah, si ibu tahu anak sulungnya, perempuan dan berjiwa lembut sudah tentu jika meminta anak tersebut membantu buat kerja rumah, arahannya akan berbunyi “kakak, tolong ibu buat kerja ya, kakak kena belajar buat kerja rumah kerana jika apa-apa berlaku pada ibu, rumah ni kakak yang akan uruskan.”

Untuk si abang pula, yang merupakan anak kedua tetapi anak sulung lelaki di dalam keluarga, perangai boleh tahan egonya, maklumlah cucu kesayangan atuk dan nenek, ayat akan berbunyi “abang, sebagai abang dan cucu sulung lelaki keluarga, abang kena tunjukkan contoh taladan terbaik kepada adik-adik, abang mesti rajin tolong ibu, bangga atuk dan nenek kalau tahu kerana abang berjaya jadi ketua keluarga jika ayah pergi kerja.”

Dan kepada adik-adik pula, si ibu akan cakap “tengok kakak dan abang rajin, bahagianya ibu kalau semua anak-anak ibu rajin tolong ibu.”

Dan khas buat si ayah, “terima kasih awak, sebab tunjukkan contoh membantu saya di dalam kerja-kerja rumah, bertuahnya kita ada anak- anak yang rajin dan patuh.”

Bila semua individu di dalam keluarga merasakan mereka dihargai dan diperlukan dalam ‘operasi’ kerja rumah, dengan sukarela dan penuh tanggungjawab mereka akan membantu dan jika kata-kata membina diungkap si ibu secara berulang-ulang ia akan membangkitkan sifat positif dan toleransi di kalangan keluarga.

Bandingkan dengan penggunaan bahasa bersifat maki dan ejekan, perkataan ‘bodoh’ dan ‘bangsat’ menjadi halwa telinga ahli keluarga, adakah keharmonian keluarga dapat dicapai?

Itu satu contoh mudah, bagaimana ‘bahasa’ si ibu dapat memastikan objektif keluarga iaitu ‘kemas rumah’ berjaya.



Hidangan Masakan Ibu Yang ‘Adil Dan Saksama’

Perasankah anda, seorang ibu kalanya akan masak pelbagai juadah untuk ahli keluarga, dan ada kalanya dia akan masak satu atau dua masakan yang digemari oleh ahli keluarga, atau hanya satu juadah yang digemari oleh semua.

Si ibu tahu, setiap ahli keluarga suka makan apa, atau yang ada alahan tertentu. Bukan semua suka makan asam pedas, dan ada yang alahan kerang.

Masak nasi goreng atau ayam goreng sekalipun, berbeza beza. Ada ahli keluarga yang suka nasi goreng kampung, ada yang suka nasi goreng cina. Ayam goreng pula ada yang suka ayam goreng kunyit dipotong kecil-kecil dan ada yang suka ayam goreng berempah yang diperap semalaman.

Masakan kegemaran untuk ahli keluarga tertentu akan dimasak sebagai ‘hidangan utama’ terutamanya ketika meraikan hari jadi, atau untuk yang dapat jadi ‘pelajar cemerlang’ dan semua orang akan makan bersama kecualilah kalau ada yang alergik, maka kenalah makan berpada-pada atau makan nasi dengan kicap.

Hidangan merupakan ‘hadiah’ daripada si ibu setiap hari kepada ahli keluarga, kerana itu tanpa lelah para ibu akan memastikan setiap hari akan memasak hidangan yang ‘paling sedap’ untuk ahli keluarga, sebagai tanda ‘penghargaan’ kepada ahli keluarga yang makan sampai licin.

Seorang ibu itu tahu dan fasih ‘selera’ setiap ahli keluarga, kerana setiap kali memask dan menghidang ‘sifat’ selera ahli keluarga di kaji dan diperhati.

Ini kerana si ibu tidak mahu berlakunya sebarang pembaziran lauk, kerana setiap titisan lauk dan butiran nasi adalah ‘tanda’ kasih sayang dan komitmen seorang ibu.



‘Banker’ Yang Bernama Ibu

Mereka yang menjadi ibu amat maklum akan hal ini. Bab kewangan keluarga selalunya si ibu yang memastikan ia berjalan lancar. Duit gaji si ayah juga ibu yang uruskan. Ini bukannya ‘queen control’, tetapi ia adalah rahsia umum bahawa si bapa adalah sangat ‘pemurah’, dan jika si ibu tidak kawal, mungkin bil-bil bulanan pun lupa untuk di bayar.

Selain daripada itu, apabila ibu yang pegang duit, kebanyakan anak-anak tidak berani mahu minta lebih-lebih, kerana selalunya si ibu sudah tetapkan sebulan berapa perbelanjaan setiap ahli keluarga. Kalau mahu minta lebih, perlu bagitahu sebab yang masuk akal dan boleh diterima.

Contohnya, kalau si adik kata nak top up telefon untuk main ‘Mobile Legend’ memang tidak dapatlah, tetapi kalau kakak kata nak top up telefon sebab kena hadiri kelas online, akan dapat. Itu pun jika di salahgunakan kepercayaan si ibu, sebab kakak chatting dengan ‘crush’, ibu akan terus sita telefon, dan akan beri kakak telefon bila ada kelas sahaja.

Bila ibu jadi ‘banker’, ibu juga selalunya akan membantu ayah menampung perbelanjaan keluarga, samaada berniaga online, buat kuih, jaga anak jiran atau apa-apa sahaja yang boleh mendatangkan pendapatan sampingan. Yang pasti, hujung bulan tidak sakit kepala nak bayar bil-bil, hutang bank dan perbelanjaan keluarga.

Selain itu, jangan perkecilkan kebolehan si ibu sebagai ‘banker’ yang licik menyimpan duit. Barang kemas yang dibeli dan di pakai itu sebenarnya adalah ‘pelaburan’ di masa susah, sementara belum perlu ‘di gadai’ pakai atau simpanlah dulu. Itu belum masuk lagi, syiling, duit kertas seringgit dan lima ringgit yang di simpan dalam bekas-bekas di dapur.

Umpama ‘magik’ bila si ayah perlukan duit untuk perbaiki kereta yang tiba-tiba rosak , si ibu dapat menyediakan ‘peruntukan’ tersebut, atau tiba- tiba atuk sakit di tengah bulan keluarga terpaksa bergegas balik kampung, entah dari celah mana si ibu dapat menyediakan duit minyak.



Hebatnya Ibu

Hebatnya ibu apabila berjaya mendidik anak-anak sehingga menjadi individu-individu yang menyumbang kepada agama, bangsa dan negara dalam kapasiti masing-masing.

Anak-anak yang ‘kurang’ itu, bukan salahnya si ibu, mungkin kerana persekitaran dan rakan-rakan yang negatif sehingga, si anak terlupa ‘ajaran-ajaran’ ibu yang menitik beratkan nilai -nilai murni insan.

Akhir kata, coretan ringkas ini, adalah sebagai satu panduan bagaimana si ibu ‘mentadbir’ rumahtangga, secara rasional dengan penuh kasih sayang. Ahli-ahli politik kita patut menggali semula ingatan mereka tentang ‘wisdom’ (kebijaksanaan) ibu-ibu mereka sehingga terbentuknya mereka sebagai individu-individu tersohor di masa ini.

Terima kasih kepada para ibu di luar sana, dan Al-fathihah kepada para ibu yang sudah menemui Ilahi. Di mana jua mereka berada, mereka tetap ‘Ratu Hati Ku.’ – New Malaysia Herald.

Facebook Comments

Latest articles

Related articles