Duta Kesihatan: Jangan Sesekali Berkunjung Ke ‘Klinik’ Doktor Gigi Palsu

Oleh Emma Harith

Hujung tahun 2020 kita digemparkan dengan penemuan ‘ daging palsu’ yand diimport dan lebih mendukacitakan, apa yang berlegar-legar di laman media sosial adalah jenama-jenama terkemuka yang dijual secara meluas seantero negara yang selama ini menjadi pilihan masyarakat Islam Malaysia.

Namun, jangan dilupakan juga tentang kisah “Fake Dentist” atau Doktor Gigi haram yang telah menggegarkan negara pada tahun 2018 apabila seorang wanita bernama Fatin Nabilah telah didenda RM100,000 dan penjara 24 bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas didapati bersalah menyediakan klinik pergigian swasta tanpa lesen di sebuah bilik hotel.

Mengikut pertuduhan tersebut, Fatin Nabilah didakwa menyediakan klinik pergigian swasta tanpa didaftarkan mengikut Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) di sebuah bilik hotel di Jalan Metro Pudu 2, Frazer Business Park di sini pada 12.10 tengah hari, 11 Disember 2015.

Hakim Harmi Thamri Mohamed@Shaharuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap peniaga kosmetik dalam talian, Fatin Nabilah Mohamad Hassan, 26, selaku orang kena saman (OKS) selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan. (Rujukan: https://www.bharian.com.my/amp/berita/kes/2018/02/391632/doktor-gigi-palsu-dipenjara-2-tahun-denda-rm100000).

Mengikut perundangan, jika sabit kesalahan, denda maksimum adalah RM300,000 dan/atau maksimum penjara 6 tahun, mengikut seksyen 5 (1) Akta Kemudahan dan Perkhidmtan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 ( Akta 586).

Ciri-ciri Doktor Gigi Palsu

Azlin Othman, 43 tahun, merupakan Duta Kesihatan dan Ikon Gigi yang dilantik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai perantara dalam menyantuni masyarakat berkenaan aktiviti-aktiviti promosi kesihatan.

Wawancara hari ini bersama Azlin adalah mengenai Doktor Gigi haram yang juga dikenali sebagai “Quack Dentist”, doctor gigi jalanan atau doktor gigi kaki lima.

Antara tugas Ikon Gigi adalah memberikan penerangan tentang cara cara menjaga kesihatan gigi dan mulut.

“Untuk pengetahuan para pembaca, antara ciri utama yang perlu diambil perhatian adalah tentang lokasi premis ‘doktor gigi’ tersebut beroperasi. Lokasi aktiviti mereka selalunya sentiasa berubah-ubah untuk mengelak dari dikesan pihak berkuasa. Antara premis kegemaran mereka adalah di hotel atau homestay, di spa atau salon kecantikan dan dari rumah ke rumah. Ada juga yang menjalankan kegiatan di tempat-tempat awam seperti di kaki lima kedai atau di premis-premis tidak berdaftar.

“Pastikan timbul keraguan jika lokasi mereka mencurigakan. Jangan pergi dan menggunakan perkhidmatan pergigian mereka,” tegas Azlin.

Menurutnya, sejak 2015, sehingga kini, kes doktor gigi haram semakin meningkat, walaupun beberapa kes telah pun dihadapkan ke mahkamah serta dikenakan hukuman dan denda.


“Bukan mudah menjadi doctor pergigian yang bertauliah, mereka mestilah berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia dan mempunyai sijil Pengamal Pergigian tahunan yang aktif untuk tahun semasa. Doktor gigi bertauliah memerlukan lima tahun untuk melengkapkan pengajian mereka.

“Fake Braces” Dan Bahana Doktor Gigi Haram


Di kalangan anak-anak muda, pemakaian ‘braces’ atau pendakap gigi dianggap ‘fesyen’ dan bukannya keperluan, oleh itu mereka akan mencari pembuat ‘ braces’ yang murah melalui carian di media social.

‘Fake braces’ atau pendakap gigi palsu ialah pendakap gigi yang dipasang pada gigi yang menyerupai pendakap gigi sebenar (aplikan oleh ortodontik). Walau bagaimanapun, ia tidak berfungsi seperti aplikan ortodontik sebenar, dan jika tidak kena gaya bakal menjadi ‘objek’ yang membahayakan.

Mengikut Azlin lagi, “Pengguna ‘fake braces’ di kalangan remaja terutamanya, lebih tertarik kepada perkhidmatan doktor gigi haram kerana khidmat yang ditawarkan lebih murah berbanding klinik gigi dan lokasi lebih privasi, kerana kebanyakan mereka mengiklankan servis mereka dengan tagline ‘servis eksklusif’, tanpa perlu pergi ke klinik. Dikhuatiri juga bahan-bahan dan peralatan yang digunakan tidak terjamin kebersihan dan keselamatan dan sudah tentunya “fake dentist” ini tidak bertauliah.


Tambah Azlin, “Pendakap gigi palsu ini boleh memberi kesan besar kepada kesihatan mulut dan gigi, antara bahayanya adalah ia boleh mengakibatkan gigi menjadi longgar, lalu mengakibatkan kerosakkan kepada gusi, susunan gigi rosak dan tidak teratur menyebabkan pergerakan gigi tidak terkawal. Bahan yang digunakan untuk melekatkan ‘fake braces’ pada gigi boleh menyebabkan berlakunya hakisan pada gigi.

“Kesan-kesan lain seperti pengguna masih merasakan gusi seperti digam kesan daripada pemakaian pendakap gigi palsu. Kegagalan, kecacatan dan kecederaan kepada struktur gigi dan mulut akan menyebabkan emosi terganggu serta kerugian wang dan masa untuk rawatan pemulihan,” jelas Azlin panjang lebar.

Selain itu, beliau turut menjelaskan tentang risiko jangkitan penyakit seperti Hepatitis B, HIV dan lain-lain penyakit berjangkit kerana peralatan memasang fake braces tidak dinyah kuman.


Kawalan jangkitan sering diambil mudah dan risiko mendapat jangkitan berbahaya seperti HIV, Hepatitis B, Hepatitis C, dan wabak udara seperti batuk kering berlaku bukan sahaja kepada pesakit tetapi kepada ‘doktor gigi’ itu sendiri. Kekurangan pengetahuan perubatan di kalangan pengamal perubatan tidak berdaftar juga menyebabkan para pesakit menambah risiko komplikasi dan kesan-kesan yang tidak dimahukan berikutan rawatan, malah boleh membawa risiko maut.


Azlin juga menasihatkan orang awam agar menyebarkan maklumat tentang bahaya doktor gigi haram, elakkan penglibatan dengan doktor gigi haram dan melaporkannya kepada pihak berkuasa serta berani tampil memberi maklumat kepada Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Akhir kata, jauhi doktor gigi haram, peliharalah senyuman anda seumur hidup. Jadilah pengguna yang bijak ketika memilih doktor gigi. Pastikan klinik pergigian berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia,” pesan Azlin sebagai penutup bicara. – New Malaysia Herald

Facebook Comments