Emma Harith adalah seorang Surirumah sepenuh masa. Selain daripada menguruskan hal ehwal domestik, penulis juga seorang Aktivis kemasyarakatan di samping mempunyai hobi makan -makan dan jalan-jalan. THE KITCHEN IS MY OFFICE. If you can't stand the heat, stay away from the kitchen.

‘Ibu, Ibu engkaulah ratu hatiku, bila ku berduka ..engkau hiburkan selalu’, bait pertama lagu Tan Sri P. Ramlee bagi filem IBU, (1953) yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas, menceritakan kisah pengorbanan dan kasih sayang seorang ibu kepada anaknya, walau dalam apa keadaan sekalipun.

Begitulah juga Tun Rahah Tan Sri Mohamed Noah adalah nama yang tidak asing lagi di persada politik negara sebagai isteri kepada Perdana Menteri yang kedua iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak dan ibu kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, yang sentiasa di samping kedua-dua watak ini sehingga ke akhir hayat beliau.

Tun Rahah dilahirkan pada 11 June 1933 di Muar, Johor dan merupakan anak bongsu daripada 10 orang adik beradik.

Beliau mendirikan rumahtangga bersama Tun Razak pada 4 September 1952 dan dikurniakan lima orang cahaya mata.

Tun Rahah dan Najib Razak: bersalam dan cium tangan ibu
Kasihnya ibu tidak terhingga. Anak sulung Allahyarham Datuk Seri Najib Razak bersalam dan mencium tangan ibunya – Gambar dari Facebook Najib Razak

Wanita Cekal, Berhati Waja

Tun Rahah adalah tunjang utama kekuatan Tun Razak terutama ketika menghadapi peristiwa darurat di Tanah Melayu dan rusuhan kaum pada tahun 1969.

Isteri yang sentiasa berada di belakang suami, beliau bukan sahaja mengiringi suami menjalankan tugas di dalam dan luar negara, malahan merupakan antara penasihat politik utama Tun Razak, maklumlah bapa beliau adalah Yang Di Pertua Dewan Rakyat yang pertama dan Yang Di Pertua Dewan Negara, sudah tentu ilmu sepak-tendang politik banyak diperturunkan, lebih-lebih lagi kerana bermenantukan seorang Perdana Menteri.

Selain itu, semasa Tun Razak menjadi Perdana Menteri Malaysia yang kedua pada 1970,beliau menjadi Presiden Pandu Puteri Malaysia dan penaung Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (PERTIWI) sehinggalah Tun Razak meninggal dunia pada tahun 1973.

Menjadi balu di usia 43 tahun, Tun Rahah membesarkan lima orang anak-anak lelaki dengan jayanya.

Anak sulong, Najib (lahir 1953), menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-6, kedua, Ahmad Johari (lahir 1954), ketiga, Mohd Nizam (lahir 1958), keempat Mohd Nazim (lahir 1962) usahawan dan Mohd Nazir (lahir 1966), bekas Ketua Eksekutif CIMB , salah satu bank terbesar di Malaysia.

Beliau juga terus menyepikan diri dari politik, tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan lebih banyak menghadiri kelas-kelas agama sehingga ke akhir usianya.

Pengebumian Tun Rahah, ibu kepada Najib Razak.
Pemergian Tun Rahah yang diratapi rayat Malaysia berbilang kaum – Gambar dari Facebook Najib Razak

Demi Anak

Dunia melihat beliau sebagai wanita yang bertuah kerana menjadi isteri kepada perdana menteri kedua dan ibu kepada perdana menteri keenam.

Namun begitu, beliau juga terpaksa menghadapi kepahitan kematian suami tercinta di usia muda, dan kemudian anak sulung yang menjadi Perdana Menteri pula dijatuhkan oleh pihak lawan dengan bersenjatakan fitnah dan adu-domba.

Lebih mengecewakan, antara individu yang bersekongkol dengan pihak lawan untuk menjatuhkan si anak adalah individu yang pernah dibantu oleh suami dan anak beliau sehingga berjaya kekal di kerusi empuk Perdana Menteri selama 22 tahun.

Entah apa nasib beliau pada 20 September 2018, pukul 2 petang rumah di Jalan Eaton diserbu dan digeledah atas alasan mencari bahan bukti kes si anak, namun tiada apa yang mereka temui.

Rata-rata rakyat Malaysia sangat marah dengan tindakan pihak berkuasa yang mengganggu privasi seorang ibu semata-mata kebencian kepada si anak.

Walaupun begitu, Tun Rahah tidak mengambil sebarang tindakan atau mengeluarkan sebarang kenyataan terhadap tindakan yg dilakukan oleh pihak terbabit.

Doa-doa sentiasa dititipkan untuk anak-anak beliau lebih-lebih lagi si anak sulung yang sedang dirundung malang dan kebencian rakyat yang mempercayai penipuan-penipuan pihak lawan.

Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Utama Mohamad Hassan bersama Najib Razak di hari pemergian Tun Rahah,
Kehadiran pemimpin-pemimpin negara di hari pemergian Tun Rahah. Di antaranya ialah presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi dan timbalannya Datuk Seri Utama Mohamad Hassan – Gambar dari Facebook Najib Razak.

Tiada hijab doa seorang ibu, satu persatu kebenaran akhirnya terserlah, sehingga akhirnya individu-individu yang memanjangkan fitnah tampil meminta maaf, ada yang datang secara peribadi dan ada yang meminta maaf melalui hantaran-hantaran komen di media sosial.

Rakyat Malaysia menganggap Tun Rahah merupakan ‘kunci’ kebangkitan Najib Razak yang kini lebih popular di kalangan marhain dengan gelaran Bossku.

Setelah Najib bukan lagi Perdana Menteri, sifat-sifat insaniah yang dididik sejak kecil oleh Tun Rahah semakin terserlah.

Langit Menangis, Negara Berkabung

Semasa sedang nazak, susuk-susuk yang merupakan ‘musuh’ si anak datang berkunjung.

Pasangan si ‘PM tepi’ dan isteri yang juga bekas TPM datang bersama-sama anak sulung menunggu perkhabaran.

Begitu juga, Perdana Menteri Malaysia kelapan yang bergegas ke hospital apabila mendengar perkhabaran Tun Rahah tenat, turut sama berada di situ.

Manusia hanya merancang dan Allah menentukan. Tanggal 18 Disember 2020 adalah tarikh yang amat memilukan bukan sahaja keluarga Tun Rahah, malahan seluruh negara berduka.

Di kala hari Jumaat yang berkah, Tun Rahah dipanggil mengadap ilahi.

Rakyat menangis, berdoa agar beliau ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.

Pada pagi Sabtu, jenazah telah dikebumikan di Lingkaran Makam Pahlawan, Masjid Negara.

Kelima-lima anak lelaki beliau, mengusung jenazah dan meletakkan jenazah ke dalam liang lahad.

Di luar pagar kawasan makam, dilihat ramai rakyat jelata yang turut meratap dan berdoa dengan pemergian insan istimewa ini.

Dan yang paling tidak disangka, Perdana Menteri 22 tahun yang selama ini menganggap si anak sebagai ‘seteru ketat’ hadir bersama isteri dan dilihat merapati si anak dan menzahirkan rasa pilu dan dukacita.

Tun Rahah, Najib Razak dan Rosmah Mansor ketika muda.
Tun Rahah (tengah) bersama anak sulungnya Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor – Gambar dari Facebook Najib Razak

Begitu juga musuh-musuh politik, pengkhianat-pengkhianat si anak serta mereka yang selama ini begitu menghina, memperlekeh dan menikam belakangnya.

Mereka semua hadir, walaupun ada watak-watak yang diketahui sebagai pengkhianat politik, datang tetapi malu sendiri sehingga tidak sanggup untuk bersalam dan menatap muka si anak sulung, Najib Razak.

Inilah politik matang. Semua dilayan baik dan tiada yang dihalau daripada memberikan penghormatan terakhir.

Kebiadaban Netizen Undang Kemarahan Rakyat

Belum lagi reda kesedihan negara akibat kehilangan seorang Negarawan, sudah timbul netizen-netizen yang bersikap kurang ajar dan menjadikan pemergian Tun Rahah sebagai lawak dan dipolitikkan.

Emoji-emoji ‘gelak’ diberikan kepada post-post FB Najib Razak mengundang kemarahan rakyat lain yang menyifatkan perkara itu tidak wajar dan tidak patut di politikkan

Kehilangan seorang ibu adalah sesuatu yang mendukacitakan dan bukan perkara yang boleh dibuat main.

Rakyat tanpa mengira kaum dan fahaman politik, terus mengasak netizen-netizen yang biadab.

Begitu juga di portal-portal berita utama, netizen-netizen yang meninggalkan komen-komen biadab terus ‘diserang’ dengan agresif oleh yang lain.

Ibu, walau apa bangsa, ras, kulit atau agama, tetap ibu.

Rasulullah pun menyebut nama Ibu sebanyak tiga kali, sementara ayah hanya satu kali.

Pembacaan Doa Najib Razak semasa pemergian Tun Rahah di Masjid.
Bacaan doa mengiringi pemergian Tun Rahah – Gambar dari Facebook Najib Razak

“Seseorang datang kepada Rasulullah SAW dan berkata, ‘Wahai Rasulullah, kepada siapakah aku harus berbakti pertama kali?’ Nabi SAW menjawab, ‘Ibumu!’ Dan orang tersebut kembali bertanya, ‘Kemudian siapa lagi?’ Nabi SAW menjawab, ‘Ibumu!’ Orang tersebut bertanya kembali, ‘Kemudian siapa lagi?’ Beliau menjawab, ‘Ibumu.’ Orang tersebut bertanya kembali, ‘Kemudian siapa lagi,’ Nabi SAW menjawab, ‘Kemudian ayahmu. (HR. Al Bukhari).

Maka, sayangilah ibu anda, dan Al-Fatihah dihadiahkan kepada para bonda yang telah pergi.

Semoga kalian ditempatkan bersama orang-orang beriman dan dijauhkan dari azab kubur hendaknya. Ameen. – New Malaysia Herald.

Bersama untuk perpaduan. Kementerian Perpaduan Nasional
Kempen Perpaduan Bersama di New Malaysia Herald – Kementerian Perpaduan Negara

Like what you read?

Subscribe to our news site and be the first to know about New Malaysia Herald’s latest news and stories.

Facebook Comments