Oleh Emma Harith

“SUKAN bina badan bukan eksklusif untuk lelaki, tetapi juga wanita. Saya mahu menjadi inspirasi wanita aktif kekal cergas di luar sana,” mula bicara Marzura Mohd Ariffin, anak kelahiran Negeri Sembilan yang lebih mesra dengan panggilan Zura.

Umum mengetahui, sukan bina badan merupakan satu bentuk sukan yang agak janggal bagi wanita di Malaysia. Pada mulanya sukan ini hanya dipelopori kaum lelaki, namun pada tahun 1980an, kaum wanita mula tertarik untuk melibatkan diri di dalam bina badan. Kini, sukan bina badan diminati lelaki dan perempuan.

Ini disebabkan sukan bina badan memerlukan sumber kewangan yang tinggi, di samping adat kesopanan Timur yang tidak menggalakkan keterbukaan seperti di Barat, ada kalanya ia disalah erti sebagai ‘menjolok mata’.

Ramai juga yang tidak tahu, sukan bina bina badan merupakan sejenis sukan atau gaya hidup untuk membina otot melalui gabungan rutin latihan mengangkat berat, menambah pengambilan kalori dan rehat yang cukup.

Dalam sukan bina badan, peserta akan mempamerkan bentuk badan mereka kepada hakim yang akan menilai dan memberi mata berdasarkan ciri ciri tertentu.

Zura (kanan) mendapat tempat kedua di satu pertandingan

Hakikatnya di dalam pertandingan-pertandingan sukan bina badan ini tidak lebih daripada peragaan tubuh yang cantik, sihat dan ‘sempurna’, sebagai ‘role model’ mereka yang mahu kelihatan segak, cantik dan kekal sihat.

Salah faham ini menyebabkan kaum wanita menjauhi sukan bina badan, walhal bukan semua yang menyertai sukan bina badan ini untuk pertandingan, ada segelintir wanita yang jatuh cinta pada sukan unik di atas faktor kesihatan dan apabila sudah berkeyakinan, baru mereka menyertai pertandingan.

Diejek Kerana Gemuk

“Saya bermula dengan ‘kickboxing’ kerana berkecil hati dengan kawan-kawan dan keluarga yang cakap saya ‘gemuk’ selepas melahirkan anak bongsu pada 2013.

“Dari situ, saya bertekad untuk berubah, lalu menyertai kelas ‘ kickboxing’ di sebuah gim berhampiran tempat kediaman saya di Kota Damansara,” menurut Zura, yang kini berusia 43 tahun ketika menceritakan detik-detik awal penglibatan beliau.

Zura bersama keluarga

“Daripada situ, saya mula menjalankan rutin-rutin senaman dan pemakanan yang disarankan jurulatih. Selama setahun, dari berat 78kg ketika menyertai kelas kickboxing, berjaya menurunkan berat badan hampir 10kg.

Daripada situ, keyakinan saya timbul dan saya menceburi sukan bina badan pula,” katanya lagi.

“Bermula dari situ sehingga kini saya tidak lagi menoleh ke belakang.

“Minat saya terhadap sukan ini semakin bertambah sehingga saya menyertai pertandingan Mr. KL 2019 dan berjaya ke Mr. Malaysia 2019.

“Saya juga mengambil kursus jurulatih bina badan anjuran Malaysia Body Building Federation (MBBF) dan Enrich Fitness dan kini saya adalah jurulatih kesihatan bertauliah.”

Kini ibu tunggal anak enam (dua meninggal dunia) ini menjadi jurulatih gimnasium bertauliah dan bekerja di salah satu gimnasium ternama di Petaling Jaya.

Menurut Zura, sukan bina badan tidak boleh disalah ertikan sebagai sukan angkat berat Olimpik, pertandingan ‘Strongman’ atau ‘Powerlifting’.

Ja bersama suami tersayang yang juga peminat bina badan. Gambar dari koleksi Ja.

Ketiga tiga jenis sukan ini mengutamakan kekuatan individu tetapi untuk sukan bina badan, ia lebih tertumpu kepada penjagaan dan nilai estetika bentuk badan seseorang.

Dalam bina badan, bentuk dan saiz adalah lebih penting daripada berat yang boleh diangkat.

“Sukan angkat berat dan sukan bina badan adalah dua jenis sukan yang berbeza, walaupun kedua-dua sukan itu mementingkan regimen pemakanan dan senaman yang sangat ketat,” katanya lagi.

Bukan Mudah Apabila Sudah Mencapai Usia 40

“Pelbagai cabaran, pahit, manis, sedih dan gembira bercampur-baur, tetapi saya bertuah kerana mendapat sokongan padu daripada bekas suami, anak-anak dan sahabat rapat untuk menyertai pertandingan bina badan.

“Antara cabaran getir yang saya pernah hadapi adalah apabila membuat persiapan untuk menyertai pertandingan.”

Latihan sukar yang memerlukan kesabaran, disiplin dan tahap komitmen yang tinggi terutamanya bagi seorang wanita yang sudah berumur 40-an seperti saya adalah suatu bentuk cabaran yang agak sukar.

Diet yang sangat ketat bagi mendapatkan bentuk badan yang diingini kena ikut dengan tabah.

Selain itu, kekuatan mental, fizikal dan keazaman yang tinggi serta semangat yang membara juga adalah antara cabaran yang perlu ditangani.

“Bukan mudah bagi wanita seperti saya untuk bersaing di dalam arena bina badan ini, maklumlah dah “4 series”,” tambah Zura tersenyum.

Beliau pernah meraih tempat ke-2 di dalam kategori Women Athletic Physique di Mr. KL pada 2019 dan tempat ke-2 untuk kategori sama di Mr. Malaysia 2019 yang diadakan di Kota Kinabalu.

Selain menjadi ahli bina badan profesional, beliau juga menyediakan perkhidmatan khidmat nasihat kesihatan kepada klien-klien yang mahu menurunkan berat badan, mempunyai bentuk badan idaman dan kesihatan yang baik.

Sanggup Jual Kuih Nak Jadi Linda Hamilton Terminator 2

Berbanding dengan Marzura, Ija Aiini Abdul Majid yang dipanggil ‘Ja’ oleh rakan-rakan menceburi arena bina badan lebih lama iaitu sejak 1996.

“Ja mula teringin nak berbadan cantik masa menonton Terminator 2, nak tubuh macam Linda Hamilton. Pada masa itu, Ja memang dah tanam keinginan tetapi muda sangat baru tingkatan 2, kena tunggu sampai tingkatan empat (16 tahun) baru boleh daftar gim.

“Itu pun kebetulan, semasa Ja meronda menaiki basikal di kawasan Pandan Jaya, terdengar orang menjerit dan menghempas-hempas barang, kerana semangat ingin tahu dan saja nak menyibuk, Ja pun mencari bunyi tersebut yang rupanya datang daripada orang sedang berlatih gim di tingkat 1.

“Ja pun naik dan bertanyakan bayaran. Hanya RM30 pada masa itu untuk perempuan termasuk latihan senaman. Nama gim tu ialah ‘ Iron Gym’, dah tutup pun,” Ja, 41, memulakan kisah beliau.

Sejak itu, selepas sekolah, Ja akan membantu neneknya menjual kuih di Seksyen 14, Petaling Jaya, dan duit itu dikumpul untuk membayar yuran bulanan gim.

“Setelah tamat persekolahan, Ja bekerja di Sweat Club, Hotel Renaissance dan kemudian mengambil Sijil Kejurulatihan Tahap 1 dan 2 yang dianjurkan kerajaan Malaysia, pada masa itu baru 19 tahun, dan kemudian melanjutkan pendidikan di dalam bidang Sains Sukan.

Selepas tamat belajar, Ja bekerja di gim, tetapi kemudian bekerja di sebuah pejabat guaman.

Sudah 18 tahun bekerja di situ dan majikan pun faham kecenderungan beliau di dalam bidang ini.

Sehingga ke hari ini, setiap hari Ja akan ke gim untuk berlatih, cuma sesekali akan berehat di rumah,” katanya lagi.

Ikan Di Laut Asam Di Darat, Jodoh Bertemu Di Gim Jua

Ja juga telah bertemu jodoh di gim dengan jejaka yang mempunyai minat yang sama. “Kami bertemu semasa sama-sama berlatih di gim dan tak sampai setahun kami kemudian mendirikan rumahtangga dan kini mempunyai tiga orang cahaya mata.”

Suami Ja seorang yang tidak suka mencampurkan hal-ehwal peribadi dengan kerjaya, namun rumah tangga Ja rukun damai kerana minat yang sama.

“Diet kami sama, jadi apabila Ja nak masuk pertandingan suami yang sediakan semua keperluan dan akan memastikan urusan pertandingan dan urusan anak-anak berjalan lancar,” menurut Ja menceritakan kisah suami dan anak-anak beliau.

Menurut Ja lagi, suaminya, tidak mahu beliau susah hati dan agar dapat fokus untuk memastikan dirinya berada dalam kondisi ‘terbaik’ semasa pertandingan berjalan.

Sejak penglibatannya di dalam acara bina badan, Ja telah berada dalam kelompok tiga Tertinggi dan lima Tertinggi dalam 11 pertandingan yang disertai.

Antaranya, di Jakarta, Miss Fitness 2018 dan Fit Whey Classic 2017 di Bangkok.

Nak Kurus Amalkan Gaya Hidup Sihat

Menurut jurulatih kesihatan profesional ini, bagi mereka yang mahu mendapatkan tubuh seperti beliau, tidak perlulah nak rasa tertekan, yang mereka perlu hanyalah amalkan gaya hidup sihat

Kurangkan pemakanan bergoreng dan berminyak.

Amalkan pemakanan yang seimbang. Kombinasi untuk mendapatkan pertumbuhan otot yang baik adalah hasil dari diet yang baik.

Untuk mendapatkan badan seperti ahli bina badan, individu perlulah menumpukan permakanan makronutrisi dan mikronutrisi.

Makronutrisi ini adalah pemakanan dari sumber karbohidrat, protein dan lemak. Lemak yang dimaksudkan adalah lemak yang dikategori sebagai lemak baik, seperti minyak ikan.

Manakala, mikronutrisi adalah dari permakanan makanan tambahan seperti vitamin-vitamin dan galian.

Di peringkat mendapatkan otot, makanan tinggi karbohidrat dan protien diamalkan, dan bagi peringkat pemotongan lemak pula, makanan rendah karbohidrat dan lemak diamalkan bagi menampakkan otot di badan dan di perut.

Selain makanan, minum air yang secukupnya kerana air amat penting bagi pembentukan atau pertumbuhan otot.

Selain daripada menjaga pemakanan, senaman yang mengeluarkan peluh dilakukan untuk dua atau tiga kali seminggu seperti, jogging, berbasikal atau ‘ skipping’ .

Senaman-senaman tersebut di buat dalam jangka masa 30 minit. Bagi mendapatkan badan yang ‘cantik’ , latihan rintangan berat (Resistance Weight Training), lebih tertumlu kepada otot-otot seperti belakang, kaki, bahu, dada, dan tangan.

Terdapat dua jenis latihan bebanan, iaitu, latihan secara kompaun (compound training) dan latihan pengasingan (isolation training).

Latihan kompaun, merupakan latihan menggabungkan dua jenis otot dan baik dilakukan ketika untuk proses pembesaran (bulking), di mana di peringkat ini bebanan lebih berat diangkat.

Manakala, latihan pengasingan, lebih menumpukan kepada satu jenis otot dan baik untuk proses pemotongan lemak (cutting).

Latihan ini sering dilakukan dengan bebanan yang ringan, senaman kardiovaskular dan senaman perut.

Senaman ini merupakan latihan yang sering dilakukan semasa persediaan sebelum pertandingan.

Kita Bukan Nak Jadi Sado, Otot Masil Kecil, Tetap Rupa Wanita

“Mana-mana gim pun akan di dominasi oleh lelaki, jadi apabila wanita yang masuk gim, lebih-lebih lagi jika yang masuk tu ahli bina badan wanita, semua mata akan tertumpu ke arah kami (ahli gim wanita)

“Mula-mula tu segan juga, lama-lama dah biasa, dan semua di situ tak kira lelaki atau wanita akan jadi kawan.

Lagi pun rata-rata yang pergi gim tu orang-orang ‘fitness’ jadi tak adalah kekok sangat .

Masa awal-awal sukan bina badan ni nak berkembang memanglah ada diskriminasi, tetapi sekarang zaman sudah berubah, diskriminasi dalam sukan bina badan jarang berlaku.

Pada Ja, mungkin cara kita membawa diri memainkan peranan penting.

“Jika kita sombong dan tidak ramah, siapa yang nak kawan dengan kita, tak gitu?” tanya beliau.

Cuma kaum wanita masih takut untuk pergi ke gim dan ‘ work out’ sebab mereka takut otot mereka besar macam otot lelaki.

Dalam keadaan semula jadi, itu tak mungkin berlaku kerana nbnaan otot lelaki itu secara alami adalah berbeza,” jelas Ja lagi.

Bagi wanita yang ingin menceburi sukan bina badan, teruskanlah.

Jangan mudah mengaku kalah, kerana untuk mendapatkan badan yang cantik dan layak masuk pertandingan memang mengambil masa.

Pastikan apabila mengambil makanan tambahan jangan ambil sembarangan, pastikan ada jurulatih bertauliah yang membimbing dalam memastikan regimen pemakanan dan senaman adalah bersesuaian dengan bentuk badan dan keadaan fizikal.

Yang paling utama, selain daripada kesihatan fizikal, kesihatan mental, komitmen dan dedikasi dalam menjalani rutin Latihan itu penting.

Sabar dalam memperbaiki kekurangan dan kelemahan fizikal kita.

“Tangan kecil, kaki kecut dan perut boroi boleh ‘diperbaiki’, jika sabar dan komited,” esan Ja kepada mereka yang ingin menceburi sukan ini.

Emma Harith adalah seorang Surirumah sepenuh masa. Selain daripada menguruskan hal ehwal domestik, penulis juga seorang Aktivis kemasyarakatan di samping mempunyai hobi makan -makan dan jalan-jalan. THE KITCHEN IS MY OFFICE. If you can’t stand the heat, stay away from the kitchen.

Facebook Comments

Advertisement