Bangsa Johor Unik, Sultan Bangga

Oleh Sarah Kamal

Unity Advertisement

Johor memang unik. Hanya di negeri paling selatan dan berjiran dengan Singapura ini sahaja ada bangsa tersendiri iaitu Bangsa Johor yang wujud sejak 1920 lagi.

Dengan kepadatan penduduk berjumlah 3.7 juta orang, ia turut diwarnai dengan lapan peratus penduduk bukan warganegara yang mencari rezeki di negeri di bawah pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Al-Marhum Sultan Iskandar yang pada awalnya bersekolah di sekolah kebangsaan dan sekolah agama bersama-sama rakyat biasa.

Diputerakan pada 22 November 1958, baginda dididik dan diasuh untuk menjadi seorang Raja yang cerdik, berpengetahuan, berwibawa dan berdaulat. Tuanku mengikuti jejak langkah kesultanan sebelumnya. Baginda melibatkan diri di dalam aktiviti ketenteraan, pengurusan dan pentadbiran yang dijadikan asas untuk membina semangat juang, disiplin, kepimpinan dan perwatakan.

Walaupun tiga kaum utama dipisahkan ketika pemerintahan British, Melayu di kampung, Cina di bandar dan India di estet, kemerdekaan membawa mereka hidup bersama dengan aman. Turut bersama-sama membangunkan Johor ialah kaum orang Asli.

Selepas Merdeka, negeri Johor menjadi di antara negeri yang paling maju. Penduduk pelbagai kaum sama-sama memakmurkan negeri, mereka tinggal bersama, sama ada di kawasan pantai, di bandar atau di kampung. Mereka hidup aman damai berinteraksi dan menjalankan kehidupan harian secara harmoni.

Tiga Kaum Utama Membentuk Kemajuan Johor

Melayu yang membentuk kaum majoriti dengan 52% penduduk, orang Cina 30%, orang India 6.0%, bebas menggunakan bahasa ibunda masing-masing di dalam perbualan harian.

Penduduk Cina membentuk kaum kedua terbesar, kebanyakan mereka tinggal di bandar-bandar besar seperti Johor Baru, Batu Pahat, Kulai, Kluang dan Muar dan mereka suka berniaga. Orang India pula dahulunya tinggal di ladang sebagai pekerja, namun dengan pembangunan yang pesat dan pendidikan yang baik, kini ramai di antara mereka berhijrah ke bandar, bekerja di pejabat dan syarikat konglomerat.

<strong>Sultan Johor lambang perpaduan di negeri Johor Darul Takzim <strong> Gambar ihsan Johor Royal Press Office

Unity Advertisement

Isu Dobi Muslim

Pada tahun 2017, timbul isu sebuah kedai dobi di Muar menghadkan perkhidmatannnya untuk orang Islam sahaja. Isu ini viral dan menjadi perdebatan hangat di kalangan rakyat Malaysia. Kedai terbabit meletakkan papan tanda tertera “Dobi ini hanya menerima pelanggan beragama Islam sahaja.”

Pemiliknya pula tidak memberikan alasan untuk peraturan tersebut selain mengatakan beliau hanya melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang Islam.

Sultan Johor segera mengarahkan pemilik kedai tersebut memohon maaf dan menghentikan amalan diskriminasi seperti itu atau berdepan risiko ditutup. Baginda sebagai ketua agama Islam di Johor tidak dapat menerima tindakan ekstrimis seperti itu. Baginda memberi analogi wang kertas, kerana wang kertas ini berpindah dari satu tangan ke satu tangan, dari tangan orang Islam dan tangan orang bukan Islam maka bagaimanakah hukumnya, adakah mesti dipisahkan antara wang orang Islam dengan wang orang bukan Islam? Ini kerana wang kertas itu mungkin turut dipegang oleh tangan yang dicemari dengan najis babi atau arak.  

Umat Islam perlu mengekang ekstremisme seperti itu jika mahu membina negeri Johor sebagai negeri pelbagai budaya yang aman dan progresif. Pemilik kedai dobi berkenaan akur dan memohon maaf.

Raja-Raja Melayu menghargai pendirian tegas Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di dalam isu dobi Muslim. Mereka berpendapat imej Islam sebagai agama yang menggalakkan penganutnya bersikap toleran, sederhana dan inklusif wajib dipertahankan daripada dicemari oleh tindakan-tindakan yang bersifat keterlaluan dan memisahkan rakyat.

Isu Dobi - Sultan Johor 'This is no Taliban State'
Isu dobi diselesaikan dengan permohonan maaf dari tuan punya kedai hasil campur tangan Sultan Johor

Pesanan Untuk Orang Melayu

Sultan Ibrahim turut bersyukur dengan pembangunan pesat dicapai Johor dan kemajuan ekonomi yang terus kukuh. Malah, baginda bangga dengan sikap toleransi kaum dan agama yang begitu tinggi dalam kalangan rakyat yang mewujudkan satu tamadun Bangsa Johor yang kuat dan bersatu-padu.

Baginda menyifatkannya sebagai hadiah yang paling berharga buatnya. Di Johor, bermulanya perjuangan Melayu yang paling tersusun dan berjaya menjadi benteng yang paling kuat di negara ini. Orang Melayu harus bangkit bersatu untuk menjadi bangsa yang besar dan berpengaruh tanpa perlu menyinggung atau mengenepikan bangsa lain. Jangan hanya sibuk melaungkan tentang hak keistimewaan, tetapi sesama bangsa Melayu, hidup leka dan bersengketa.

Pemimpin pula mesti mengambil segala pendekatan dan mencari jalan terbaik untuk menjadikan kedudukan orang Melayu lebih baik dan dihormati dan kembalikan rasa percaya serta rasa setia orang Melayu kepada pemimpinnya, di samping tidak memperkecilkan kaum lain dan hendaklah bersikap adil di dalam memberikan khidmat kepada mereka. Begitulah pesan baginda kepada orang Melayu dan pemimpin Melayu di negeri jajahan takluk baginda.

<strong>Penandangan indah seperti di Bandar Maharani ini sememangnya menggamit kenangan<strong>

Bangsa Johor

Mengangkat darjat sesebuah bangsa bukanlah perkara yang asing dalam ajaran agama Islam. Seperti yang terkandung di dalam beberapa ayat dalam Al-Quran dan Hadis Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, agama Islam bukan sahaja menerima dan mengharmonikan amalan kepelbagaian budaya malah mengiktiraf kepelbagaian bangsa dan etnik termasuk dalam konteks Bangsa Johor.

Ada yang mengkritik konsep Bangsa Johor sudah tidak relevan lagi sekarang. Ini kerana menurut mereka, konsep tersebut tidak sesuai untuk sebuah negara seperti Malaysia yang mengandungi beberapa buah negeri. Kritikan ini ternyata meleset sama sekali.

Moyang baginda, Sultan Sir Ibrahim telah menggunakan pernyataan Bangsa Johor pada waktu itu untuk menyatupadukan rakyat berbilang bangsa di bawah satu panji demi mewujudkan kerjasama, keharmonian dan keamanan yang lebih baik. Tiada mana-mana kaum atau individu yang dipinggirkan. Konsep ini membawa maksud kepada kemuafakatan dan persepakatan di antara masyarakat Johor. Tidak ada kena mengena dengan soal rasis mahupun kenegerian.

Pada sekitar 1800-an, etnik Cina, India dan Jawa dipelawa oleh Almarhum nendanya Sultan Sir Abu Bakar dan Temenggung Daeng Ibrahim untuk bersama-sama dengan orang Melayu membina masa depan di Johor. Ketika itu, semua kaum bekerja keras meneroka tanah dan membina sebuah negeri daripada hanya sebuah hutan belantara dengan bilangan penduduk yang masih kurang berbanding hari ini.

Konsep Bangsa Johor masih kekal relevan hingga hari ini terutama selepas melihat isu mengenai polarisasi kaum yang semakin meningkat secara berterusan. Bangsa Johor bermaksud semua orang bertanggungjawab membangunkan Johor di samping menghormati budaya dan agama masing-masing kerana kita mahu setiap orang hidup dalam aman dan makmur.

Negeri lain boleh melihat dan mencontohi Johor. Meskipun berbangga mengaku sebagai Bangsa Johor, namun tidak bermakna negeri ini mengetepikan kebanggaan sebagai rakyat Malaysia.

Baginda sendiri ketika di luar negara, jika ada sesiapa bertanyakan dari mana, tetap bangga memberitahu dari Malaysia dan tidak pun menyebut Bangsa Johor kerana sebahagian mereka mungkin tidak tahu yang Johor itu sebahagian daripada Malaysia. Tidak ada niat buruk atau agenda tersembunyi. Niat baginda hanya untuk kebaikan Malaysia kerana jika ada peluang untuk menyatukan rakyat Malaysia, baginda akan terus melakukannya.

Setiap negeri adalah unik dan memiliki keistimewaan tersendiri, sejarah tersendiri, budaya dan makanannya. Begitu juga Johor dengan senarai panjang budaya dan tradisinya sendiri seperti Laksa Johor, Baju Melayu Teluk Belanga, Zapin dan Ghazal. Setiap negeri memiliki identitinya sendiri dan harus diraikan perbezaan itu dan ini yang menjadikan Malaysia cukup istimewa,

Semangat Bangsa Johor bukan hanya pada perkataan, sebaliknya perlu menjaga Johor dan bertanggungjawab membangunkannya. bukan untuk memecah belahkan rakyat. Visi ini telah terbukti berjaya.

Turut Meraikan Perayaan Budaya Lain

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Keluarga Diraja Johor berkenan meraikan Tahun Baharu Cina. Selain itu, baginda turut meraikan perayaan Chingai, Chap Goh Mei dan Deepavali. Baginda bersolat hari raya dan Jumaat di masjid bersama rakyat jelata.

Pesan baginda kepada Bangsa Johor bahawa muafakat itu berkat, dengan itu harus saling menghormati di antara satu sama lain, tanpa mengira kaum, agama atau budaya. – New Malaysia Herald

Bersama Untuk Perpaduan. Kementerian Perpaduan Nasional
Kempen Perpaduan Bersama di New Malaysia Herald Kementerian Perpaduan Negara

Like what you read?

Subscribe to our news site and be the first to know about New Malaysia Herald’s latest news and stories.

Facebook Comments

Latest articles

Related articles