Kahwin Dengan Saya, Dapat Dua Percuma – Anak Dan Bapa


Oleh Emma Harith

Adakah berbaloi berkahwin dengan orang yang berlainan etnik, bangsa dan budaya ?

“Berbaloi sungguh!” kata Norsiah@Nasha Abdul Harris, anak Labuan yang mendirikan rumahtangga dengan jejaka pilihan – seorang warga Afghan dari puak minoriti Hazara.

“Idealnya, rasa cinta itu tidak sepatutnya ada batasan,” katanya, merujuk kepada unsur-unsur kaum, kebudayaan, identiti dan agama, yang menjadi perbezaan ketara dalam sebuah perkahwinan campuran.

“Secara jujurnya, kebanyakan rakyat Malaysia tidak mempunyai masalah besar dengan jalinan hubungan antara kaum dan perkara ini sangat biasa berlaku di negara yang berbilang kaum,” ujarnya lagi.

“Malahan, kita mendapati adanya persamaan di dalam perbezaan yang kita harungi,” tambah beliau, secara berfalsafah.

Malaysia Interracial Marriage: Norsiah Abdul Haris bersama suami tersayang Mohammad Ishaq Jamshaid dan keluarga
Norsiah Abdul Haris bersama suami tersayang Mohammad Ishaq Jamshaid dan keluarga

Norsiah, 44, bertemu dengan Mohammad Ishaq Jamshaid, 52, ketika kedua-dua insan itu bekerja sambilan memetik buah di Australia untuk menyara hidup dan pembelajaran di sana 18 tahun dulu.

Iklan Perpaduan

Berkat kasih sayang dan sikap persefahaman antara satu sama lain, mereka dapat melalui pelbagai cabaran dan ujian untuk mempertahankan perkahwinan mereka.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua orang putera, Hanif Rayyan dan Hanafi Rykarl.

Sebelum ini, Norsiah telah berkahwin dengan seorang pemuda Melayu; namun, jodoh mereka tidak panjang dan diakhiri dengan perceraian.

Pun begitu, perkahwinan itu telah memberi anugerah berupa seorang anak perempuan bernama Putri Nurul Asyiqin, kini 20 tahun.

Mengimbas jejak-jejak yang membawa kepada perkahwinan beliau dengan Mohammad Ishaq, Norsiah menceritakan: “Pada awal tahun 2002, selepas bercerai dengan suami dulu, saya berlepas ke Sydney untuk menyambung belajar di sana.

“Saya mengikuti kelas Bahasa Inggeris serta jurusan perhubungan awam (public relations) dan tinggal bersama keluarga angkat berketurunan Filipina.

“Selain itu, saya bekerja sambilan sebagai pekerja am dan tukang cuci pinggan di hotel-hotel lima bintang bagi menampung kos pembelajaran dan sara hidup.

“Semasa cuti semester dalam bulan Mei 2002, kawan-kawan pelajar mengajak saya memetik buah di sebuah ladang di Mildura, terletak di wilayah Victoria, 1,000km dari kota Sydney.

“Di situlah bermulanya detik pertemuan saya dan bakal suami ketika itu.

“Dia tidak berapa fasih berbahasa Inggeris dan kami umpama itik dan ayam bila berbual.”

“Kami mula akrab apabila pada suatu hari, dia datang membantu bila melihat saya terkial-kial memetik lemon.

“Mana taknya, pokok lemon banyak duri, habis lengan dan muka calar-balar.

“Sejak itu kami menjadi rakan kerja dan tidak berapa lama kemudian tanpa disangka, dia meluahkan niat untuk memperisterikan saya.

“Mula-mula saya ingat dia main-main, tetapi rupanya serius. Lalu, saya pun cakap, “Mana boleh? Budaya kita jauh berbeza; lagipun, saya seorang janda anak satu.

“Akhirnya, dia berjaya meyakinkan saya bahawa dia ikhlas, benar-benar jatuh cinta dengan saya dan sanggup terima sebarang syarat asalkan saya sudi menjadi isterinya.

“Syarat saya hanya satu: Kalau nak kahwin dengan saya kenalah buy one get two free (beli satu dapat dua percuma) iaitu menerima sekali Abah dan puteri saya, yang ketika itu baru mencecah usia dua tahun.

“Yang itu selesai, kena beritahu Abah pula.

“Reaksi Abah bila diberitahu ada lelaki Afghan ingin melamar saya, dia protes: ‘Jangan! Mereka tu Taliban!’

“Namun, jika sudah jodoh, tidak ke mana. Akhirnya, kami bernikah dan pada ketika itu juga dia belikan tiket untuk Abah dan anak saya terbang ke Australia.

“Maka, bermulalah kehidupan kami sebagai sebuah keluarga.”

Iklan Perpaduan

Permulaan Budaya Keluarga Baru

Seorang dari Malaysia dan seorang lagi dari Afghanistan, mereka menemui jodoh di Australia dan kini mengusahakan perniagaan melalui tiga buah syarikat di sana.

Perkahwinan campur diibaratkan permulaan budaya kekeluargaan yang baru; jelmaan ikatan kasih sayang di antara dua insan berlainan kaum dan keturunan ras.

Paling tidak ia adalah suatu bentuk asimilisasi sosial yang mengambil guna budaya yang berbeza; termasuk menyerap adat resam perkahwinan puak masing-masing ke dalam pertalian cinta mereka.

Walaupun ia perkara biasa di dalam masyarakat Malaysia, mereka yang mahu berkahwin campur perlu bersedia dari segi mental, emosi dan kejutan budaya kerana laluan ke alam perkahwinan campur dan perjalanan seterusnya ada rantau dan durinya.

Kecuali kedua-dua pengantin adalah dari aliran anutan agama yang bukan Islam, perundangan negara memerlukan salah seorang dari pasangan yang hendak berkahwin turut memeluk Islam sebelum diijabkabulkan dengan johodnya.

Pun begitu, walaupun mendirikan rumahtangga dengan regu seagama, mahligai yang diharapkan berdiri tegak dan megah juga boleh runtuh jika tiada persefahaman mengenai perbezaan masing-masing dan tiada restu dari orang tua.

Bapa Norsiah adalah dari masyarakat Manado, iaitu, kota kedua terbesar selepas Makassar di provinsi Sulawesi, Indonesia; sementara arwah ibunya adalah dari puak Bajau yang di antara kaum bumiputera terbesar di negeri Sabah dan sekitarnya.

Dari segi keturunan dan perkahwinan, di dalam keluarganya saja Norsiah mempunyai pertalian berbilang kaum dan majmuk yang sangat unik.

“Kami suami isteri bekerja sebagai pemetik buah sehinggalah saya cadangkan kepada suami agar mengambil lesen kontraktor ladang.

“Kami sepakat, saya menjaga urusan pejabat dan hal-ehwal ladang dilaksanakan oleh suami.

“Kami melengkapi kekurangan atau mengimbangi kelebihan antara satu sama lain; kami bekerja keras tanpa mengira waktu.”

Sejak dilesenkan sebagai kontraktor ladang, pasangan Malaysia-Afghan ini telah berjaya menubuhkan tiga buah syarikat di atas kegighan dan kerajinan sendiri.

Perihal Makan Jadi Cabaran

Setelah 18 tahun berumah tangga, Mohammad Ishaq pun sudah biasa dengan makanan ala-Malaysia.

“Topik makan … itu cabaran yang paling tidak dapat dilupakan,” kata Norsiah.

“Kita orang Malaysia, nasi adalah makanan asas sedangkan suami saya lebih kepada roti naan.

“Dia masak nasi pun lain dari kita, biasanya dia guna beras basmathi dan dicampur minyak.. bukan seperti orang Malaysia masak nasi.

“Mula-mula tu, suami tidak makan nasi yang lazimnya orang Malaysia makan. Jadi, saya berusaha belajar memasak mengikut selera mereka, seperti membuat roti naan dan juadah-juadah Parsi yang lain.

“Hidangan di rumah berupa fusion nusantara bertembung dengan Timur Tengah.

“Bak kata orang, nak ambil hati suami kenalah jaga makan minum dia dan selalu masak untuknya.

“Lama-kelamaan, setelah hampir 18 tahun berkahwin, suami saya sudah pandai menikmati masakan Melayu.”

Ditakdirkan Bersama Moga Kau Mengerti

Kisah perkahwinan campuran bagi penyanyi Mac Ruhayu Mohd Noor, 44, lain dari biasa.

Ini kerana beliau dan suami Sulaiman Mohamed, 54, adalah dari keturunan kaum Bangkahulu yang serupa dari Sumatera Selatan.

Pun begitu, Mac Ruhayu, yang sinonim dengan lagu Ditakdirkan Kita Bersama, dibesarkan dan terdidik dengan cara kehidupan lebih harmoni dan berbilang bangsa di Sarawak.

“Sebagai anak askar, kami sekeluarga berpindah-randah,” tambah Mac.

“Sebaliknya, suami saya membesar sebagai ‘budak kampung’ di Selangor,” kata beliau lagi.

Vokal Lokal Borak Kopitiam: Mac Ruhayu dan nostalgia bertemu suami
Mac Ruhayu dan nostalgia bertemu suami

Berlatar belakangkan kehidupan Sarawak yang penuh berwarna warni, Mac mengakui sejak kecil beliau, bersama keluarganya, turut menyambut perayaan kaum-kaum lain.

“Kami di Sarawak memang dari keluarga campuran, jadi selain daripada menyambut Aidilfitri dan Aidil Adha, kami juga menyambut Gawai, Tahun Baru Cina dan Krismas,” ujarnya, yang mempunyai tiga orang anak remaja hasil perkahwinan pertama.

Selepas 13 tahun bergelar ibu tunggal, Mac selamat menjadi isteri kepada Sulaiman, seorang usahawan yang juga mempunyai tiga orang anak dari perkahwinan sebelumnya, pada 26 Mac 2019.

Mac menyifatkan perkahwinan mereka bagai suatu detik sejarah kerana ia merupakan penyatuan ahli keluarga keturunan Bangkahulu dari sebelah arwah ayahnya yang menetap di Rawang.

“Segalanya berlaku dalam tempoh singkat apabila suami yang juga saudara daripada sebelah arwah ayah tiba-tiba melamar saya.”

Walaupun mereka adalah sepupu, namun dari segi sifat adalah berbeza.

Mac Ruhayu bersama suami Sulaiman Mohamed di hari perkahwinan. Gambar majlis kahwin
Mac Ruhayu bersama suami Sulaiman Mohamed di hari perkahwinan

“Memandangkan kami sama-sama sudah lama menjadi duda dan janda, agak sukar juga di awal perkahwinan, kerana masing-masing sudah biasa hidup sendiri.

“Selain daripada itu, suami lebih Bangkahulu daripada saya.

Anak Rumah Panjang Di Rantau

Bagi anak kelahiran Pulau Pinang, Hanimah Dylyani, 43, ibukota Kuala Lumpur menjadi tempat pertama dia bertemu dengan seorang jejaka Iban dari rumah panjang di Sarikei, Sarawak.

“Pertemuan berlaku 25 tahun dahulu ketika kami sama-sama belajar di Universiti Malaya,” katanya, mengisahkan jarak tidak dapat menjauhkan dua hati yang bercinta.

Pun begitu, masing-masing sedar bahawa pertalian kasih di antara mereka akan disambungkan pula kepada kaum kerabat masing-masing.

“Kami sama- sama cuba untuk mengambil hati keluarga agar perkahwinan kami sentiasa direstui,” kata Hanimah, dengan perasaan sayu mengenangkan perihal budi keluarga Ibannya.

“Masa balik ke rumah panjang, saya akan duduk dan makan bersama keluarga suami.

“Begitu juga semasa upacara miring, iaitu upacara perubatan tradisional. Saya turut bersama walaupun tidak faham sangat bahasa Iban.”

Memandangkan Hanimah dan suaminya adalah pasangan Islam dan mereka bukan, keluarga suami siap sediakan pinggan mangkuk dan alatan memasak khas untuknya.

“Segalanya disimpan rapi untuk kegunaan saya jika balik ke rumah panjang kelak,” beliau menerangkan.

Mengenai pertalian silaturahim di antara suami dan ibu bapa beliau, Hanimah berkata: “Ibu bapa saya sangat sayang dengan menantu Iban mereka.

Rumah Panjang Iban di Sarawak. Living in an Iban longhouse.
Hanimah Dylyani bergambar bersama keluarga suami

“Manakan tidak, apa yang ibu saya perlukan, dia akan utamakan; sampaikan pada awal perkahwinan, jiran-jiran ingat dialah anak dan saya pula yang menantu.

“Dialah yang akan sibuk jika ada kenduri-kendara di pihak keluarga saya. Maklumlah, sebagai menantu sulung sudah tentu tanggungjawab beliau terhadap keluarga saya tidak kurang beratnya.”

Begitulah rencah kehidupan sebenar. Kata orang, jika dah jodoh, memang tak ke mana. Kepada ibu bapa, terimalah mereka seadanya dan teruskan kehidupan dengan harmoni. – New Malaysia Herald

Bersama untuk perpaduan. Kementerian Perpaduan Nasional

Like what you read?

Subscribe to our news site and be the first to know about New Malaysia Herald’s latest news and stories.

Facebook Comments