Menghulur Perkenalan, Menyebar Kasih Sayang Sejagat

Oleh Sarah Kamal

Apa Ada Dengan Nama

Nama memang sangat penting, sebab itu Islam menggalakkan ibu bapa memberi nama yang baik kepada anak-anak kerana nama itu yang akan menjadi identiti seseorang.

Islam menerima dan mengharmonikan amalan budaya. Budaya menggunakan tempat asal sebagai sebahagian daripada identiti diri itu dibolehkan seperti nama Salman al-Farisi, yang bermaksud Salman dari Parsi. Ada kalangan penulis tanah air yang menggunakan nama tempat asalnya seperti S. Othman Kelantan, nama samaran Syed Othman bin Syed Omar. Tetapi, penulis yang berasal dari Kelantan ini pernah juga memakai nama samaran yang lain, iaitu Ibnu Omar.

Begitu juga meletakkan “kuniyah” seperti Abu Abdul Rahman (ayah kepada Abdul Rahman, Ummu Saif (ibu kepada Saif) adalah digalakkan.

(Rujuk : IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-408: HUKUM MENGGUNAKAN (كُنْيَةْ) KUNYAH (PANGGILAN NAMA)

Penggunaan nama pena atau nama samaran sudah menjadi kelaziman di dalam dunia penulisan. Nama pena biasa digunakan penulis untuk menimbulkan kesan khas pada namanya agar mudah diingat. Nama samaran pula digunakan dengan alasan tertentu untuk menyembunyikan identiti. Penulis diberi hak menggunakan nama pena atau nama samaran (pseudo name) dalam karya ciptaannya di atas alasan-alasan tertentu. J.K. Rowlings yang popular dengan karya-karya kelas dunianya  juga menggunakan nama samaran lain iaitu Robert Galbraith dalam karyanya berjudul The Cuckoo’s Calling, The Silkworm dan Career of Evil

Ramli Sarip terkenal dengan lagu beliau: Bukan Kerana Nama,.
Ramli Sarip terkenal dengan lagu beliau: Bukan Kerana Nama. Image via blogspot.com

Beberapa penulis lain pula memendekkan nama seperti Hamka (Haji Abdul Malik Karim Amrullah), tetapi ada penulis memakai nama lain dari nama asalnya. Semuanya memiliki alasan tersendiri namun matlamat mereka sama iaitu menghulur perkenalan, menyebar kasih sayang dan menyampaikan ilmu melalui penulisan mereka.

Bukan Kerana Nama

Penulis pun manusia biasa yang memiliki perasaan seperti orang lain. Namun sama seperti anak seni yang lain, mereka berjiwa halus. Mereka sangat peka kepada alam sekeliling, situasi, isu-isu semasa bahkan suka berimaginasi untuk merumus dan menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi masyarakat sekeliling. Kerana itu penulis mampu mencipta cerita fiksyen yang tak tercapai oleh akal, tetapi dapat diterima oleh emosi dan perasaan pembaca dan mampu menyampaikan mesej yang bermoral seperti dapat kita lihat di dalam fiksyen Lord of the Ring, Harry Potter, Kisah Seribu Satu Malam, Bawang Putih Bawang Merah, La Tahzan (Jangan Bersedih) dan lain-lain lagi. Mereka menulis bukan kerana memburu kemasyhuran tetapi lebih kepada hendak menyampaikan imaginasi dan mesej kepada rakyat. Hasil tulisan itulah yang menyebabkan mereka popular.

Nampaknya Raja Rock Ramli Sarip bersetuju dengan idea bahawa penulisan bukanlah untuk seseorang itu mencari nama, tetapi sebagai medium untuk menyampaikan kasih sayang. Nama bukanlah tidak penting, tetapi mesej itu yang diutamakan. Antara lirik dalam judul lagunya, Bukan Kerana Nama ialah:

  • Dengarlah hai teman, dengarkan bersama
  • aku menulis bukan kerana nama
  • kerana sifat kasih pada sesama insan
  • dan menyatakan kasih sayangku
  • kita sama semuanya sama
  • apa yang ada hanyalah kehidupan

Begitulah, kita semua sama sahaja, yang terbaik di sisi Tuhan ialah yang paling bertakwa… apa yang ada hanyalah kehidupan yang fana, pentas sandiwara dunia yang tamat apabila manusia telah mati.

Saya sangat meminati legenda rock melayu ini dan lagu beliau ini banyak memberi inspirasi kepada saya, sehingga saya kerap menggunakan pelbagai nama samaran di dalam tulisan agar tidak dikenali! Kalaulah saya dapat berjumpa dengannya, mendengar cerita perjuangan seninya, lalu membukukannya…

Pusat Percetakan Al-Quran Kedua Terbesar Di Dunia

Nasyrul Quran, Pusat Percetakan Al-Quran dan Penyebaran Naskah Al-Quran kedua terbesar di dunia selepas Arab Saudi.
Pusat Percetakan dan Penyebaran Naskah Al-Quran kedua terbesar di dunia selepas Arab Saudi

Pada tahun 2017, saya dijemput secara peribadi untuk menghadiri perasmian Nasyrul Quran yang merupakan sebuah pusat percetakan al-Quran bersepadu utama di rantau Asia Tenggara yang dibangunkan di atas tanah seluas 5.514 ekar di Presint 14, Putrajaya. Saya pun tidak sangka mendapat jemputan istimewa ini, mungkin kerana Nasyrul Quran ada kaitan dengan bidang yang saya ceburi iaitu penulisan.

Kos keseluruhan projek Nasyrul adalah sebanyak RM60 juta bagi tujuan pembinaan dan pembelian mesin cetak yang dibantu oleh Kerajaan melalui Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Saya masih ingat, perasmiannya Nasyrul Quran dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan beliau berkata, pembinaannya menjadikan Malaysia sebagai negara pengeluar dan pencetak al-Quran bertaraf antarabangsa yang kedua terbesar di dunia selepas Arab Saudi.

Nasyrul Quran, Pusat Percetakan Al-Quran dan Penyebaran Naskah Al-Quran kedua terbesar di dunia selepas Arab Saudi.
Nasyrul Quran, Pusat Percetakan dan Penyebaran Naskah Al-Quran kedua terbesar di dunia selepas Arab Saudi.

Kompleks percetakan AL-Quran ini memulakan operasi percetakan dan penjilidan secara rasmi bermula selepas perasmiannya. Menurut Dr Ahmad Zahid, Nasyrul Quran bukan untuk bersaing dengan negara pencetak lain tetapi merupakan bentuk sumbangan Malaysia di dalam mengembang dan memartabatkan kitab suci umat Islam di persada dunia. Sememangnya kejayaan pembinaan kompleks percetakan al-Quran ini adalah daripada usaha gigih pelbagai pihak, iaitu Kerajaan Pusat, Yayasan Restu dan beberapa jabatan, khususnya Kementerian Dalam Negeri dan Perbadanan Putrajaya yang membolehkan Nasyrul Quran beroperasi bersempena tarikh peristiwa Nuzul Quran.

Pengoperasian kompleks itu dapat menjamin usaha menampung keperluan Al-Quran di peringkat domestik dan dunia kerana populasi umat Islam dijangka mencecah tiga bilion orang daripada sembilan bilion penduduk dunia pada 2050. Kompleks percetakan AL-Quran ini akan mencetak sekurang-kurangnya satu juta naskhah al-Quran setahun dengan 70 peratus daripadanya untuk kegunaan umat Islam di Malaysia manakala, selebihnya diwakafkan ke negara minoriti umat Islam.

Sumbangan Besar Untuk Menyebar Kasih Sayang

Maka dengan ini Malaysia turut menyumbang perkembangan ilmu di peringkat global. Sehingga kini sejumlah lebih 2 juta naskhah Al-Quran dan kitab-kitab yang berkaitan telah dihasil dan diedarkan di Malaysia, Kemboja dan rantau Asia serta Afrika. Maka tercatatlah dalam sejarah bahawa negara kita merupakan pembekal Al-Quran, sumber ilmu utama untuk umat Islam dan semua manusia umumnya. Bukanlah kita hendakkan nama tetapi yang lebih penting ialah kita dapat memberi sumbangan untuk penyebaran ilmu, teknologi, modal insan dan tamadun dunia Islam. Bahkan Malaysia turut menghulurkan salam perkenalan, membina silaturrahim dan menyebar kasih sayang sesama insan dengan negara-negara Islam lain yang kurang berkemampuan. Syabas kepada kerajaan Malaysia ketika itu yang berjaya merintis usaha tersebut.

Nasyrul Quran, Pusat Percetakan  Al-Quran dan Penyebaran Naskhah Al-Quran kedua terbesar di dunia selepas Arab Saudi.
Nasyrul Quran, Pusat Percetakan dan Penyebaran Naskhah Al-Quran kedua terbesar di dunia selepas Arab Saudi.

Saya tertarik dengan wahyu pertama diterima Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam ketika sedang bertafakkur di Gua Hira’ : ”Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan”. (QS. 96: 1) Ini ialah perintah yang mula-mula diturunkan kepada Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam dengan tujuan yang jelas iaitu supaya umatnya hidup dengan bersandar kepada ilmu. Betapa pentingnya ilmu agar kita menjadi manusia yang bertamadun. Al-Quran merupakan sumber Ilmu. Di dalamnya terangkum pelbagai ilmu yang diperlukan, iaitu ilmu ketuhanan, sejarah, sains, teknologi, psikologi manusia dan lain-lain lagi. Al-Quran ini direalisasikan dalam bentuk naskhah tulisan selepas kewafatan Nabi atas kesedaran dari para sahabatnya bahawa ia adalah peninggalan baginda yang paling agung. – New Malaysia Herald

Facebook Comments