Siapa Sangka Karipap, Bantal Boleh Jadi Pembawa Rezeki?

Oleh Emma Harith

Di dalam kekalutan COVID-19 yang melanda dunia, rakyat Malaysia kini mencuba nasib mencari rezeki tambahan demi kelangsungan hidup dan sesuap nasi.

Kaum bapa terutamanya, ada kala membuat dua atau tiga kerja sampingan selain daripada kerja tetap untuk menampung keperluan keluarga terutama di musim pandemik ini.

Penat, letih, ego dan perasaan malu dicampak ke tepi demi memastikan ada beras di dapur dan lauk-pauk terhidang di atas meja.

Makan nasi bersama garam? Ini mimpi ngeri bagi mana-mana ketua keluarga yang bertanggungjawab.

Biar dirinya ikat perut, namun perut anak-anak biarlah terisi sebelum tidur.

Ramai dari kalangan peniaga pasar malam dan peniaga kecil amat terkesan dengan masalah global ini.

Mereka bukannya ada simpanan hari tua di dalam Wang Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP) tetapi tetap berhutang dengan bank, hutang yang perlu dilangsaikan mengikut masa.

Kakitangan Swasta, Awam Terasa Bahangnya

Begitulah luahan hati seorang bapa, Azizan Ramli, 32 tahun yang lebih dikenali sebagai Zizan Ramli di kalangan rakan-rakan.

Beliau di antara ribuan bapa yang siangnya bekerja sebagai penjawat awam dan memenuhi waktu lapang melakukan kerja-kerja sampingan untuk menyara keluarga.

Bapa kepada tiga orang anak, dua lelaki dan seorang perempuan berusia 10, lapan dan tiga tahun ini membantu si isteri membuat karipap untuk dijual.

“Saya bernasib baik, kerana isteri saya juga penjawat awam seperti saya dan kami bersama-sama menjual karipap yang dibuat sendiri.

“Ramai yang ingat penjawat awam ini tidak begitu terkesan, tetapi sebenarnya sebagai pegawai biasa, kami pun sekadar cukup makan, kerana itulah kami cuba menjual karipap roti inti sardin, menggunakan roti berjenama terkemuka negara,” katanya.

Karipap roti inti sardin Gardenia zizan

“Anak-anak saya masih kecil dan risau juga mereka akan bermain-main dengan tepung jika saya menggunakan bahan itu.

“Oleh itu, kami berinovasi sedikit, menggunakan roti untuk kulit karipap, faham-faham sajalah jika kita ada anak-anak masih kecil.

“Ia bukan sahaja lebih mudah dan bersih, malahan lebih sedap,” katanya lagi.

Ditanya tentang penggunaan roti jenama lain, “Saya sudah cuba jenama lain, tetapi jenama ini lebih menepati selera pelanggan saya.

“Selain daripada itu, ia mudah dikepit dan jika dibekukan, tekstur kulitnya masih elok apabila digoreng,” tambahnya lagi.

PKP Bantut Usaha Murni Peniaga

Beliau yang berniaga di pasar malam Sungai Besar juga seperti peniaga-peniaga lain yang terpaksa menerima hakikat jualan karipap roti sardinnya ada kala tidak habis, dan yang mana telah digoreng akan disedekahkan kepada rakan-rakan peniaga yang lain.

Rezeki dikongsi bersama, sedekah pula akan membuka pintu rezeki. Itulah yang diterapkan di dalam dirinya.

Manakala, karipap roti sardin yang tidak digoreng pula akan disejukbekukan.

Sebelum COVID-19 melanda negara, lebih-lebih lagi di Selangor, Zizan sering mendapat tempahan untuk majlis-majlis kahwin, tahlil dan keraian lain.

Sekarang, untuk mendapatkan tempahan pukal seminggu sekali pun tidak tentu lagi.

Tempahan yang ada pun untuk majlis hari jadi kecil-kecilan, membuktikan jurang pendapatan dulu dan sekarang.

“Memang masa awal-awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perniagaan agak teruk terjejas. Ramai yang tidak keluar rumah kerana risaukan virus COVID-19 dan pelanggan yang membeli makanan luar pun berkurangan akibat ekonomi yang agak teruk. Lebih ramai keluarga yang memilih untuk memasak dan buat kuih sendiri daripada membeli.

“Jika dahulu 20 buku roti bersaiz jumbo boleh habis, sekarang hasil jualan tak menentu, lebih-lebih lagi musim hujan begini,” katanya lagi.

Nasib baik juga Zizan ada pelanggan-pelanggan tetap yang membeli karipap roti sejukbeku, walaupun jualan tidak sebanyak jualan di pasar malam, namun masih ada yang sudi membeli.

Ada rakan-rakan pasar malam yang tidak begitu bernasib baik seperti dirinya, yang mana produknya masih dapat dijual.

Malangnya kini, keadaan umpama yang menjual lebih ramai dari yang membeli.

“Ramai rakan-rakan berniaga yang sudah balik kampung dan cuba mencari rezeki dengan cara lain.

“Masa ini, semua orang susah, maka usahakanlah apa pun, asalkan hutang rumah, kereta dan bil-bil bulanan mampu dibayar.

“Berjimat dah tentu, tetapi usaha itu perlu,” ujarnya lagi.

Asal Jadi Duit, Semua Dijual

Peniaga bantal DAG semasa PKP - Zizan Ramli

Selain daripada menjual karipap roti sardin, Zizan juga menjual bantal, tuala, tilam dan cadar berjenama.

“Alhamdulillah, walaupun saya baru menjual produk ini lebih kurang setahun, berbanding sudah sekian lama menjual karipap roti, ramai yang membeli,” tambah Zizan.

Peniaga perlu memahami kehendak pelanggan dari pelbagai peringkat umur dan taraf ekonomi.

Bukan semua mahu corak bunga-bunga, ada juga yang hanya mahukan sarung bantal tanpa cadar.

Sebelum PKP, Zizan menjual di tepi jalan dengan membuka bonet di tempat jualan awam di sebelah pasar raya terkenal di Kuala Selangor.

Kini Zizan menjual secara online dan walaupun pada awalnya kurang sambutan, kini sudah mendapat perhatian.

“Produk yang saya jual bukanlah di dalam kategori ‘keperluan’, tetapi lebih kepada produk ‘kehendak’, oleh itu saya perlu lebih berhati-hati apabila mempromosikan produk saya.

“Maklumlah sensitiviti terhadap ‘ringgit dan sen’ adalah tinggi sekarang.

“Salah promosi, saya bukan sahaja akan hilang pelanggan, malahan hilang kawan,” katanya lagi.

Bak kata orang dulu-dulu, hendak seribu daya, tak nak seribu dalih.

Semoga kisah ini menjadi inspirasi kita bersama, agar lebih berusaha di dalam menghadapi kegawatan ekonomi akibat COVID-19 yang entah bila akan lenyap. – New Malaysia Herald

Facebook Comments