Ibu, Pendapatan Sampingan Dan Wabak COVID-19

Oleh Emma Harith

Sana-sini kita mendengar keluh kesah daripada ibu-ibu tentang wabak COVID-19 yang entah bila penularannya akan berakhir.

Bagi yang berfikiran negatif, nak buat itu susah, nak buat ini lagi susah.

Habis tu? Buat apa yang tidak susah?

Tidak dilupakan juga, ramai yang risau apabila simpanan bertambun sudah menyusut dan barang kemas pula hanya tinggal seurat dua, daripada yang dulunya gelang hingga ke siku.

Kereta dulunya ada dua, kini hanya tinggal satu dan motor merupakan kenderaan utama.

Bukan sekadar jimat minyak, hendak bawa kereta pun buat apa, bukan boleh bawa penumpang ramai pun, kecuali di gunakan untuk bawa barang.

Tidak berbaloi undang-undang dilanggar. Seribu ringgit boleh dibuat belanja sebulan.

Jangan buat perkara yang boleh merugikan diri sendiri dan keluarga. ‘Sayangi duit anda’.

Bertuah kiranya sang suami masih bekerja terutamanya bagi para surirumah sepenuh masa.

Namun, bagi yang positif pula, mereka tidak melihat ‘susah’.

Mereka melihat bagaimana mereka mahu ‘senang’.

Tuhan sudah beri akal, inilah antara masanya untuk menggunakan akal itu secara optima demi kelestarian keluarga.

Jangan malu dalam mencari rezeki yang halal. – Kredit gambar Nurul Ain Atikah

Pendapatan Sampingan Itu Keperluan

Sejak wabak COVID-19 yang makin menjadi-jadi sehingga rakyat perlu ‘berkurung’, ia adalah satu keadaan biasa sekarang, samaada si suami bekerja atau tidak, kebanyakan wanita sekarang membuat kerja-kerja yang mendatangkan pendapatan sampingan.

Antara kaedah menambahkan pendapatan keluarga yang popular adalah berniaga makan dan mengambil tempahan secara COD, dan ada juga yang di depan rumah.

Hanya perlukan kretiviti untuk berniaga, comelnya foodcart. – Kredit gambar Syim Azmi

Walaupun ia kedengaran mudah, tetapi realitinya, si ibu perlu ‘bergelut’ untuk menyiapkan pesanan dan memastikan pengurusan domestik berjalan lancar.

Jom, Ride Hantar Barang

Dulu, kerja sebagai ‘rider’/penghantar ini adalah kerja ‘sampingan’, namun kini mereka yang mempunyai kelapangan dan kenderaan pula akan mengambil kesempatan menjadi penghantar-penghantar barang secara sepenuh masa.

Mereka akan menjadi petugas penghantar untuk Grabfood, Lalamove, Foodpanda atau ‘rider’ bagi rakan-rakan lain yang menjalankan perniagaan makanan kebanyakannya.

Terbaiklah..siapa mahu boleh order sahaja. – Kredit gambar Rabiatul Adawiyah

Memanglah mencabar kesabaran kerja sebegini, terutamanya bila berhadapan dengan pelanggan yang biadap, atau ada kalanya terpaksa menunggu lama pelanggan datang turun ambil barang, itulah rungutan-rungutan mengenai pelanggan yang duduk kondo atau apartment.

Risiko pun bermacam-macam atas jalan raya, bukan sedikit bahayanya.

Adakala mengundang padah dan sehingga kehilangan nyawa kerana di langgar oleh pemandu yang mabuk dan tidak berhemah.

Hendak buat mcm mana, sabar sahajalah, itulah dugaan mencari rezeki yang halal untuk keluarga.

Mari Jadi Agen Dropship Kami

‘Mari jadi Agen dropship kami’ iklan yang sentiasa akan lalu di ‘newsfeed’ media sosial kita.

Selalunya penjanaan pendapatan melalui dropship ini digemari oleh ibu-ibu yang beranak kecil dan sukar keluar daripada rumah menambah pendapatan dengan berniaga secara menjadi agen-agen dropship bagi penjual kosmetik, kain baju, tudung dan produk kesihatan yang tumbuh umpama cendawan selepas hujan semasa COVID-19 ini.

Mereka hanya perlu ambil order bagi pihak penjual dan kemudian akan mendapat komisyen.

Ada yang perlu ambil barang daripada penjual dan hantar kepada pelanggan dan ada pula yang semua di uruskan oleh penjual.

Klinik haiwan juga mempunyai penghantar kucing. – Kredit gambar Hanisya Abdul Hamid

Namun berhati-hatilah, ramai juga penipu di mana duit ambil, barang tidak sampai.

Trend Perniagaan Atas Talian

Perniagaan konvensional memang teruk dan mengalami kerugian, namun perniagaan atas talian mendapat keuntungan berlipat kali ganda, terutamanya ketika platform jualan online membuat jualan-jualan murah pada tarikh tertentu baru-baru ini.

Ini menyebabkan ramai yang memilih untuk berniaga melalui platfom atas talian yang terkemuka ini.

Namun, jangan di lupa semakin lama, semakin sengit dan semakin ramai yang berniaga sebegitu.

Maka, kepelbagaian produk dan platfom juga penting agar produk dapat dijual dan ada keuntungan.

Sabar Itu Kunci Rezeki

Walau apa pun aktiviti ekonomi yang di lakukan oleh si ibu, ia adalah untuk memastikan anak-anak dapat hidup dengan selesa dan tiada kekurangan.

Walaupun kesabaran itu kadangkala hampir lupus dan umpama akan meletus bak gunung berapi.

Selamat dihantar, kucing pun boleh, selain daripada barang keperluan khas dan makanan. – Kredit gambar Hanisya Abdul Hamid

Mana tidaknya, televisyen, kipas dan penghawa dingin boleh di katakan di buka 24 jam.

Sebelum ini bil elektrik dalam lingkungan RM 200, sejak anak-anak cuti panjang ni bil elektrik naik sehingga RM 500.

Hendak marah pun tidak boleh, ibu pun guna elektrik ekstra, buat biskut untuk juallah, guna komputer dan printer untuk sediakan sebut harga dan invois, maklumlah berniaga.

Itu belum makan lagi, sehari kadangkala empat kali masak, tidak termasuk keropok, kacang, cokelat dan gula-gula untuk anak-anak dirumah sebagai ‘semangat’ untuk buat kerja rumah yang dihantar saban hari oleh para guru.

Baru nak tekan telefon mahu ambil order dah dengar si adik menangis kena ketuk dengan abang.

Baru nak langkah kaki keluar nak hantar barang si kakak pula panggil ‘mama macam mana ni terkeluar dari Google Classroom’.

Namun nafas ditarik perlahan-lahan dan tenangkan diri.

Bak kata orang tua-tua, rezeki datang kepada orang yang sentiasa redha dan bersyukur.

Itulah cabaran bagi seorang ibu untuk mencari rezeki untuk anak-anak.

Rumahku, syurga ku. Ibu adalah ‘hati’ keluarga.

Ibu yang tenang dan sabar, bakal membentuk anak-anak yang mewarisi kecekalan dan kebijaksanaan si ibu menjana ekonomi di kala gawat.

Walaupun agak memenatkan, tetapi berbaloi apabila melihat anak-anak ceria, baik dan selesa di rumah.

Semoga para ibu bersabar, keadaan COVID-19 ini akan beransur pulih dan kehidupan akan berjalan seperti biasa walau tidak sepenuhnya.

Jaga diri, jaga keluarga. – New Malaysia Herald

Facebook Comments