Nasir Jani – Ideologi Mahathirism Jahanamkan Negara Lebih 30 Tahun

Oleh Saodah Ismail

Ingat lagi dengan Nasir Jani?

The angry young man suatu ketika dulu yang tidak pernah takut menyuarakan pandangan, meskipun ia mengundang kontroversi. Inilah pengarah yang menghasilkan filem hebat Kembara Seniman Jalanan pada 1986 dengan membawa tema cetak rompak yang terang terang membayangkan cetak rompak itu kerja orang dalam. Selepas itu dihasilkan pula filem Rozana Cinta 87 (1987) dan drama drama serta telefilem dan terakhir sekali mengarahkan filem Tombirou: Penunggu Rimba.

Kini pada usia 66 tahun, Nasir Jani juga sudah menulis buku Pemberontak Filem dan Cetak Rompak Kepala Bapak.

Wajah terkini pengarah filem Kembara Seniman Jalanan, Nasir Jani.
Wajah terkini pengarah filem Kembara Seniman Jalanan, Nasir Jani.– Gambar penulis.

Bekas pelajar Mass Comm UITM,  Nasir Jani hari ini menetap di kampung kelahirannya, Kampung Dol Said, Alor Gajah. Walaupun menetap di kampung, dia masih mengikuti perkembangan industri. Kebetulan ketika kami berbual mengenai isu semasa, timbul pula cerita 44 syarikat produksi yang mendapat dana Finas, tetapi gagal menghasilkan filem yang diharapkan sehingga kini.

Sudahlah sakit, makin tenat pulak jadinya dengan industri filem kita pada ketika ini. Dengan covid dan bermacam masalah termasuk keadaan ekonomi ketika ini, apakah agaknya yang ada untuk para karyawan filem kita untuk terus berkarya?  Dengan penutupan pawagam besar milik syarikat gergasi sudah tentulah ia sudah cukup menyiksa para usahawan filem tempatan pada hari ini.

Isu 44 Syarikat Produksi

Pemberontak filem - Karya Nasir Jani yang berkait rapat dengan menentang ideologi Tun Mahathir.
Nasir Jani. Terkenal sebagai karyawan filem yang berani dan lantang bersuara, masih bersemangat pada usia 66 tahun. – Gambar koleksi Nasir Jani.

Bagaikan tidak cukup dengan keperitan yang sedia ada, pendedahan mengenai 44 syarikat produksi yang menerima dana tapi gagal menghasilkan filem sehingga kini adalah satu lagi “penyakit” yang menyesakkan. Kesemua 44 syarikat telah mendapat Geran Kandungan Digital (DKD), iaitu lebih RM30juta dari dana Finas bagi menghasilkan filem kenegaraan.

Ibarat Ikan Busuk Dari Kepala  

Hasi penulisan Nasir Jani: Pemberontak Filem dan Cetak Rompak Kepala Bapak dalam menentang ideologi politik Mahathir.
Selepas Tombirou, Nasir Jani beralih ke bidang penulisan dan menghasilkan dua buku ini, Pemberontak Filem dan Cetak Rompak Kepala Bapak. – Gambar koleksi Nasir Jani.

Ketidak telusan di mana mana, undang undang boleh ditolak ketepi, main langgar saja. Itu yang saya katakan, jika di atas sudah busuk, yang di bawah tentulah akan sama busuknya. Dan inilah kesannya yang kita hadapi hari ini. Jangan lupa, Finas juga ditubuhkan di zaman pemerintahannya (Mahathir), ” kata Nasir Jani yang sejak dulu terkenal sebagai karyawan yang bersuara lantang, termasuk mengutarakan isu cetak rompak dengan beraninya.

Pengerusi Finas itu juga menjelaskan pihaknya sedang berunding dengan semua syarikat yang terbabit bagi menuntut semula dana yang diberikan. Soalannya, sudah dapat dana, tapi mengapa tiada hasil? Kepada siapakah dana itu telah diserahkan? Kerana jika 44 syarikat adalah syarikat produksi yang punya track record yang baik dalam penghasilan filem. Atau tentunya 44 syarikat itu bukan calang calang, jika tidak, masakan mereka boleh dapat dana dari Finas? Tentunya kita tertanya tanya apakah kesemua syarikat itu benar benar syarikat yang cukup layak membuat filem?

“Nak betul balik keadaan tak payah ubah undang undang kerana undang undang sudah ada. Dalam kes 44 syarikat itu, inilah masanya SPRM perlu masuk. Apa yang ditunggu lagi?”

Katanya, Pengerusi dan CEO Finas perlu memainkan peranan proaktif dalam menangani isu 44 syarikat tersebut. Ini kerana katanya kes itu menimbulkan banyak persoalan dan ia melibatkan jumlah wang yang bukan sedikit.

“Saya harap pihak berkuasa, SPRM misalnya, perlu tampil siasat perkara ini. Kita perlu tahu juga apakah wang itu sampai pada pekerja filem yang terbabit. Setakat mana? Saya tidak nafikan bidang ini sangat mudah disalahgunakan. Terlampau mudah untuk dimanipulasi. Kalau tidak cukup iman sinematik, memang saya pun boleh jadi bosan dengan keadaan. Tapi, saya penuh yakin, undang undang masih ada, yang perlu sekarang adalah perubahan sikap.

“Secara peribadi, saya tidak fed-up dalam berkarya. Bagi saya, pemimpin macam pokok, bayang bayang itu adalah rakyat. Kalau pokok itu rendang, bayang bayang itu sampai, sama. Saya harap mereka yang mengetuai Finas hari ini lebih amanah.”

Berfikir Di Luar Kotak

Ternyata, “the angry young man” suatu ketika dulu ini, semakin cool. Bahkan mengenai penutupan panggung besar, dia ada jawapannya. Katanya, inilah masanya kita perlu berfikir di luar kotak.

“Panggung wayang tidak perlu projector macam dulu dulu. Buatlah panggung kecil dan tayang semua filem Melayu. Katalah satu shop lot, dengan tayangan yang boleh muat 50 penonton. Bukan saja filem, bahkan filem pendek pun boleh ditayang. Misalnya di Alor Gajah buat tayangan di satu lot kedai dan di Masjid Tanah, satu lot kedai lagi. Di setiap pekan yang ramai penduduk, sudah tentu akan lebih mendapat sambutan. Bahkan selain tayangan, boleh juga jual CD budak budak Indie, jual buku dan macam macam merchandise. Semua ini kita bagi peluang anak anak muda kendalikan.

Apa masalahnya? Bajet? Bajet boleh dibuat di bawah MARA. RM300,000 pun sudah cukup dan saya percaya soal supply tidak ada masalah. Ini, saya dan Ito pernah bincang dan kami sama sama melihat ini sebagai satu kelainan yang lebih baik, terutama di pekan pekan kecil yang penduduknya ramai Melayu, juga di perkampungan Felda. Ia akan lebih menafaat daripada yang selama ini hanya dimonopoli oleh satu dua syarikat besar. Dan selama ini pun pihak pemamer (panggung) tidak banyak membantu pun sebab dari segi agihan tiket pun mereka (pemamer), dapat 60 peratus dan syarikat filem hanya 40 peratus. ”

Menurut Nasir Jani, di sinilah letaknya peranan Finas. Mereka boleh bekerjasama dengan MARA bagi sama sama membangunkan industri dan pada waktu yang sama membantu karyawan muda tempatan.

Nasir Jani yang kini menetap di kampung halamannya, Alor Gajah, Melaka.
Nasir Jani yang kini menetap di kampung halamannya, Alor Gajah, Melaka, namun sering muncul dalam sesi dialog karyawan muda. – Gambar koleksi Nasir Jani.

“Bagi saya ini akan lebih menguntungkan semua. Bahkan, boleh jadi hub bagi anak anak muda mengadakan program atau aktiviti seni yang mencabar minda. Maksud saya, ia boleh jadi satu tempat untuk bukan saja menonton filem bahkan yang berkaitan dengannya – boleh buat program bedah buku dan boleh juga jadi satu cara untuk lawan cetak rompak di mana di hub inilah tempat anak muda boleh jual produk original.

“Banyak cara dan banyak kebaikan sebenarnya yang lebih menguntungkan ramai. Ini yang saya maksudkan, kita kena berfikir di luar kotak dan sudah sampai masanya kita perlu berubah. Yang penting buang ideoloji ketua, politik dan rasuah,” katanya mengakhiri perbualan kami.

Bagaimana dasyat bukan idea pengarah berusia 66 tahun? Jelas sekali, sinematik imannya masih teguh. Ternyata dia masih hebat.  Semoga cadangan dan idea mantapnya ini menjadi kenyataan. Syabas bro! Orang Melaka sememangnya hebat! Terbaik Nasir Jani! – New Malaysia Herald

Facebook Comments