Negara Kita Tidak Akan Aman Selagi …

0
2530
Nabeel Naqie adalah seorang mahasiswa universiti di dalam jurusan kejuruteraan. Beliau juga adalah merupakan penulis dan penganalisis sosiopolitik di media sosial.

Oleh Nabeel Naqie

Dalam kemelut yang melanda negara kita sekarang, Nabeel perasan begitu ramai yang mengatakan bahawa semua ini adalah salah orang politik. Benarkah begitu?

Amat mudah sebenarnya meletakkan beban kesalahan ke atas orang lain. Sebenarnya salah siapa?

Penulisan Nabeel kali ini mungkin tidak akan menyenangkan ramai, tapi kebenaran perlu dinyatakan walau pahit. Eloklah kita menyorot kembali masa dan menilai kembali peristiwa yang berlaku.

Ketika zaman DSN, Malaysia aman dan makmur. Perpaduan negara subur di bawah konsep 1Malaysia, dan paling penting, ekonomi negara kita amat mantap. Ekonomi kita mencatat pertumbuhan GDP tertinggi di rantau ini malah menewaskan pertumbuhan GDP negara-negara Harimau Asia. Kita dipuji sebagai negara yang progresif dan berada pada landasan yang betul untuk menjadi negara maju oleh pelbagai institusi kewangan ternama dunia. Malah ekonomi kita diiktiraf hebat oleh Bank Dunia, World Economic Forum, Standard And Poors, Fitch Ratings dan Moody’s. Ekonomi kita diberi penarafan gred A. Bursa Saham Kuala Lumpur mencipta rekod sebagai Bursa Saham dengan trend paling lama menaik di dunia (longest bull run) selama 12 tahun berturut-turut, seperti yang Nabeel telah ceritakan di artikel pertama Nabeel di portal berita ini.

Oleh kerana rekod cemerlang tersebut, rakyat menerima pelbagai bantuan dari kerajaan BN. BR1M, subsidi-subsidi diberi dengan begitu pemurah kepada rakyat. Penjawat awam diberikan kenaikkan gaji berkali-kali dan tidak timbul isu mengecilkan saiz perkhidmatan awam.

Report Card’ Cemerlang

DSN tampil pada penghujung tahun 2017 ketika membentangkan Belanjawan tahun 2018 dengan begitu gah sambil membentangkan ‘report card’ beliau yang begitu cemerlang serta prestasi yang gilang gemilang untuk negara.

Kesemua ini adalah fakta. Tetapi majoriti rakyat tidak percaya. Mereka memilih untuk bersikap tamak. Mereka mahukan perubahan. Alasan mereka cukup mudah, apa salahnya cuba yang lain kerana BN sudah memerintah terlalu lama. Lalu PH mengambil kesempatan di atas kerakusan dan sifat tamak rakyat ini dengan memberikan janji bulan dan bintang. Tol percuma, lupus hutang PTPTN, pendidikan percuma, harga minyak RM 1.50, hapus hutang peneroka FELDA, naikkan gaji penjawat awam, mansuh GST serta pelbagai janji lain ditabur dengan begitu murah sedangkan ia mustahil untuk dilaksanakan. Rakyat yang tamak telah pergi mengerumuni PH dan memakan janji-janji yang ditabur PH ini umpama ayam yang mematuk dedak.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan pada ketika itu malah tampil mengatakan bahawa segala janji ini mustahil untuk dilaksanakan dan negara akan bankrap jika diteruskan. Kenyataan ini dipandang sinis oleh rakyat. PH telah berjaya membina persepsi bahawa segala apa yang dikatakan oleh kerajaan pada ketika itu adalah pembohongan. Nabeel masih ingat ketika PH membuat sidang media pada ketika itu, wartawan telah memberitahu kepada Atok: “Ketua Setiausaha Perbendaharaan kata adalah mustahil janji-janji manifesto PH boleh dilakukan.” Atok dengan wajah penuh sombong dan sarkastik berkata, “Apa bankrap? Kasi kami buat. Kami tahu macam mana nak buat. Mereka (BN) tak tahu.”

Lalu rakyat pun menyangka bahawa PH memang mempunyai formula dan solusi untuk merealisasikan segala janji mereka. Maka pergilah mereka ke peti undi dan memangkah berasaskan janji kosong dan harapan. Jatuhlah DSN dan kerajaan BN. Dan bermulalah malapetaka buat negara.

Kerajaan PH yang menang itu pun tidak mempunyai majoriti selesa dan hanya sibuk berpolitik 24 jam dari mula mereka berkuasa sehingga sekarang. Ekonomi kita musnah. Pelabur-pelabur lari. Bursa saham KL diisytihar sebagai bursa saham paling corot di dunia. Pembangunan negara terhenti. Hubungan diplomatik kita dengan kuasa-kuasa ekonomi dunia rosak. Kerajaan hanya tahu jual jual dan jual segala aset yang dibina di zaman Najib. Hutang negara semakin bertambah dan rakyat hidup sengsara. Rakyat disajikan sentiasa dengan kes 1MDB dan segala-galanya dipersalahkan kepada Najib. Penjawat awam dibatalkan kenaikkan gaji dan disuruh ikat perut. Malah beribu-ribu kontrak penjawat awam ditamatkan begitu saja atas alasan hendak merasionalisasikan perkhidmatan awam.

Rakyat Mengharapkan Perubahan

Rakyat mengharapkan perubahan dan akhirnya dapat: Menteri Kewangan seorang akauntan gagal yang boleh salah titik perpuluhan. Menteri Pertahanan yang merupakan tukang masak. Menteri Perpaduan seorang ekstremis Hindraf. Menteri Agama yang antara agenda paling awal dilakukannya setelah berkuasa adalah dengan menjemput dan mengiktiraf golongan LGBT di JAKIM. Menteri-menteri yang menggalakkan kemasukan pelancong China ke Malaysia walhal pada ketika itu China sendiri telah lockdown negara mereka. Barisan Menteri bodoh yang tipu sijil…dan banyak lagi.

Segala janji pilihanraya dimungkiri tanpa segan silu dan Mahathir tanpa malu boleh pula berkata selamba, “Kami janji macam-macam sebab tak sangka akan menang PRU. Sekarang kami dah menang kami terperangkap dengan janji sendiri.”

Nasib negara kita telah dimusnahkan oleh rakyat kita sendiri. Harapkan guruh di langit, air di tempayan dicurahkan. Dapat pula air kencing sebagai gantinya. Lalu turunlah mereka protes bila genap 100 hari PH jadi kerajaan.

Dengan majoriti yang tipis, sesebuah kerajaan itu sememangnya tidak stabil apatah lagi berlaku tikam menikam antara Mahathir, Anwar dan DAP. Kerajaan seperti ini amat mudah jatuh dan terbukti akhirnya ia jatuh setelah PPBM keluar dari PH.

Apa jadi selepas itu? Sekali lagi majoritinya lebih tipis dan kerajaan menjadi lebih lemah dari sebelumnya. Tidak ada semangat setiakawan pula apabila Muhyiddin mengenepikan UMNO dan mendahulukan agenda mengutamakan PPBM. Politik terus menjadi keutamaan dan agenda rakyat dan negara menjadi perkara nombor dua. Masing-masing berebut untuk berkuasa. Kini negara kita di ambang kehancuran.

Negara-negara lain cuma ada masalah COVID-19 dan masalah ekonomi. Tetapi kita ada masalah politik, Covid dan ekonomi. Apabila Nabeel tengok segenap masyarakat menyalahkan ahli politik, Nabeel hanya menggelengkan kepala. Ahli politik menjadi resah gelisah seperti itu kerana tangan-tangan celaka sebahagian rakyat yang mengundi untuk ‘perubahan’ tanpa sebab kukuh.

Ketamakan dan mimpi untuk berubah tanpa fakta ini adalah punca masalah kepada kesengsaraan rakyat. Libya yang makmur, musnah kerana kerakusan rakyatnya menjatuhkan Ghadafi. Uthmaniyyah yang gagah semula semasa Abdul Hamid II, tumbang kerana rakyat yang jahil dan senang memakan sisa bangkai fitnah.

Belajarlah dari sejarah. Kerana manusia boleh menipu, tetapi sejarah sesekali tidak mungkin menipu. – New Malaysia Herald

Facebook Comments