Macam Tak Percaya Kami Sewa Rumah Tinggal

0
770
Taman permainan meriah di siang hari, tetapi menjadi seram bila malam menjelma dan keriangan diganti dengan kesunyian. Gambar Hiasan

Oleh Badrolhisham Bidin

Di dalam kerjaya saya sebagai wartawan The Malay Mail, dua kali berpindah ke biro. Kali pertama ke Klang dan keduanya ke Johor Baru. Suatu hari, saya dipanggil oleh editor MM yang bertanya sama ada saya sanggup berpindah ke JB kerana akhbar ini akan berkembang ke Selatan tanah air.

Tanpa berfikir panjang, saya menerima tawaran tersebut walaupun untuk setahun sebelum akhbar ini memulakan operasi secara rasmi, saya hanya diperlukan untuk membuat persediaan.

Jadi bermulalah kehidupan saya di Johor Baru berseorangan dan meninggalkan keluarga di Selangor.

Pada mulanya saya ditempatkan di sebuah hotel dan selepas dua minggu, berpindah pula ke sebuah rumah yang dipenuhi barang tuan punya rumah.

Oleh kerana tidak selesa tinggal di rumah itu, saya mengajak teman serumah saya Azlan Abu Bakar yang merupakan wartawan New Straits Times untuk mencari rumah lain.

Saya menghubungi seorang ejen rumah bernama John yang memperkenalkan kepada kami sebuah rumah tinggal di Taman Tampoi.

Selepas lawatan pertama, kami entah macam mana tertarik dan bersetuju walaupun keadaan rumah itu menunjukkan ia telah ditinggalkan bertahun lamanya sehinggakan ada pokok mula tumbuh di ruang tamu.

Dengan syarat, kami dibenarkan mengecat dan membaik pulih rumah dan kos ditanggung oleh tuan rumah.

Rumah tiga tingkat itu mempunyai tiga bilik tidur. Satu di tingkat dua dan lagi dua di tingkat atas. Tingkat paling atas pula ada sebuah kawasan rehat dan balkoni yang menghadap sebatang anak sungai.

Sementara bilik di tingkat dua juga mempunyai sebuah balkoni mengadap jalan besar.

Saya cop bilik di tingkat dua sementara Azlan yang berbadan besar menduduki tingkat tiga berseorangan.

Azlan ni rajin mengemas rumah dan kami pun sedikit demi sedikit mengecat rumah dan bilik masing-masing. Di antara kami berdua, dapatlah memiliki sebuah televisyen, set sofa dan meja makan, termasuk sebuah dapur gas dan peti ais yang diletak di dapur di sebelah pintu masuk utama.

Ada sebuah tingkap besar di dalam bilik saya yang mengadap ke dewan utama di tingkat bawah dan bilik saya juga diisi dengan sebuah katil Queen, almari baju, sebuah sofa dan televisyen bersaiz 16 inci.

Pada malam hari, kami jarang duduk di rumah. Jika tidak di pejabat, kami akan lepak sambil menikmati muzik di lounge hotel. Dah macam orang bujang pula.

Di hujung minggu, saya akan memandu seorang diri balik ke pangkuan keluarga dan memandu semula ke JB pada Ahad malam atau Isnin pagi.

Suatu malam, ketika sedang menonton tv di dalam bilik, saya terdengar orang mengemas di bawah. “Apa lagilah si Azlan ni, dah tengah malam pun sibuk mengemas,” rungut saya sambil menjeling ke arah jam yang menunjukkan waktu sudah tengah malam.

Saya pun menyelak langsir tingkap besar dan memandang ke bawah. Alangkah terkejutnya kerana dewan rehat itu gelap gelita.

Tidak lama kemudian terdengar pintu hadapan dibuka. Saya pun sekali lagi menjenguk dan melihat Azlan berjalan masuk.

Saya pun tanya Azlan dari mana. Katanya dia baru balik makan bersama kawan. Rupa2nya dia terus ke restoran dari pejabat.

Siapa pula yang mengemas tadi?

Ada juga masa-masa ketika Azlan pulang ke kampung dan saya tinggal seorang. Rasa berat nak balik ke rumah dan hanya pulang selepas pukul 1 atau 2 pagi, sama ada mencari berita atau berjumpa kawan di lounge hotel sambil mendengar live music.

Pinggan Mangkuk Berlaga

Sering kali terdengar bunyi orang berjalan-jalan di bawah dan terdengar pinggan mangkuk berlaga di dapur.

Biasanya saya buat tak tahu dan terus tidur.

Sesuatu yang pelik sering berlaku pada waktu malam ialah anjing-anjing liar sering menyalak sambil mengadap rumah. Orang-orang dulu kata bunyi salakan itu seolah-olah haiwan ini memanggil hantu.

<strong>Orang dulu dulu kata jika anjing melolong lolong di waktu malam bermakna dia nampak sesuatu yang mata manusia tak nampak<strong> Imej oleh <a href=httpspixabaycomuserslizzyliz 46925utm source=link attributionutm medium=referralutm campaign=imageutm content=183288>Liselotte Brunner<a> dari <a href=httpspixabaycomutm source=link attributionutm medium=referralutm campaign=imageutm content=183288>Pixabay<a>

Yang hairannya, anjing-anjing ini hanya duduk di tengah jalan mengadap rumah kami dan “menyalak hantu”.

Ada juga saya bertanya jiran-jiran berdekatan apa sejarah rumah itu. Salah seorang dari mereka berkata rumah itu kosong tidak berpenghuni lebih tiga tahun. Penyewa sebelum ini sering berpindah setelah tinggal di sana dua tiga bulan.

Selepas beberapa bulan, Malay Mail memulakan operasi secara rasmi dan saya dilantik sebagai ketua biro. Apabila anak-anak dan isteri berpindah ke JB, saya dapat menyewa sebuah rumah semi-D satu setengah tingkat di Taman Perling.

Jiran sebelah ialah sebuah keluarga Cina dan pada malam minggu sering bermain mahjong di anjung depan.

Sementara menunggu keluarga pindah ke JB, saya tinggal seorang diri di rumah itu.

Satu malam, kedengaran riuh rendah bunyi mahjong berlaga. Apabila dijenguk dari tingkap bilik utama, rumah itu gelap gelita.

Esok petang, ketika berbual dengan anak tuan rumah, saya berkata wah seronoknya berkumpul bersama keluarga main mahjong semalaman.

“Eh, mana pulak? Kami pergi ke Singapura dan tidur di sana semalam.”

“Kami baru sahaja pulang dari Singapura.” Terkedu saya ketika itu.

Ketika berseorangan, saya sering mendengar jiran sebelah mandi-manda di waktu tengah malam. Bilik air bilik utama terletak besebelahan dengan bilik air utama rumah sebelah.

Tetapi betapa terkejutnya saya apabila diberitahu jiran sebelah itu jarang balik ke rumahnya kerana bertugas luar kawasan.

Siapa pula yang mandi-manda di waktu malam? Tiada jawapan bagi soalan ini.

Yang menariknya, rumah kami berhadapan dengan taman permainan. Di waktu siang, ramai yang berehat atau berjogging di padang itu tetapi keadaan menjadi gelap gelita dan sunyi sepi apabila malam tiba.

Saya dan anak lelaki saya sering duduk di balkoni yang mengadap taman permainan. Kadang-kadang ternampak bayang-bayang orang sedang berjalan di dalam gelap.

Mungkin juga ada orang di situ. Apalah agaknya yang mereka buat di dalam gelap itu.

Kisah Malam Jumaat - Baca Koleksi Cerita Hantu Setiap Malam Jumaat Di New Malaysia Herald
Kegemaran Badrolhisham Bidin memang pelik. Beliau gemar menerokai bangunan tinggal, mencari ketenangan di sana, namun sebenarnya dia takut dengan hantu. Badrolhisham juga suka menulis di FB dan boleh dihubungi di badcute@gmail.com.

Facebook Comments