Politik Negara – Apabila Terlalu Ramai Bijak Cakap

0
470

Oleh Anak Permatang Padi

Ketika menuju ke hadapan pemimpin politik perlu selalu melihat kebelakang siapa yang membantu mereka selama ini Gambar penulis sendiri

Politik Malaysia semakin karut. Ini kerana ramai tukang karut dan tukang carut. Banyak berlaku dalam parti berpaksikan Melayu. Ini termasuklah dalam parti keramat UMNO dan parti picisan seperti PKR, PPBM atau Bunger. Juga parti PAS.

Masalahnya terlalu ramai yg mengaku pandai dan merasakan dirinya sahaja yg betul. Mereka ini menjaga tembolok sendiri. Keputusan bersama setelah perbincangan panjang lebar termasuk dirinya yang mencadangkannya telah disanggah oleh dirinya sendiri, sama ada dalam ucapan-ucapan atau dlm posting di sosial media. Ini amat pelik dan menjengkelkan.

Yang nampak buruk dan tiada halatuju seolah-olah ketua parti sahaja. Ketua parti mahu ditanam hidup-hidup agar mudah ketam memanjat untuk naik ke atas.

Ada pemimpin parti yang melompat ke parti lain untuk menyelamatkan diri. Kemudian diangkat memegang jawatan penting. Ada yang menghina bekas ketuanya dan memperkecilkan dia walaupun sudah puas mendapat habuan.

Ada pemimpin cuba lari daripada keputusan parti sedangkan dia turut bersetuju. Perkara ini berlaku banyak kali. Ia berulang dan ahli parti semakin memahami corak pendekatan buruknya. Apabila ditegur dalam mesyuarat terbuka dan tertutup terhadap sikapnya, tetap ada alasan nak hidup. Kata si polan atau si pulun ia hanya untuk ‘melambung’ isu. Lepas itu, minta maaf. Di luar sana, tidak ada orang akan tahu perangainya sebenar, kerana semata-mata mahu menjaga aib dan tidak mahu umum menanggapi parti mempunyai banyak nakhoda. Malang bagi sesebuah parti yang mempunyai pemimpin tempang seperti ini.

Macamlah Tangan Dia Bersih

Seorang pemimpin sebuah parti kini ditemplak kerana ia cuba-cuba menjadi jaguh selepas PRN Sabah. Dalam Muafakat Nasional (MN) orang yang sama mencadangkan Bunger atau Bersatu masuk MN. Namun di luar membuat kenyataan lain. Macam dia tidak terlibat. Macamlah tangannya bersih. Tetapi sebenarnya kotor dan berbau busuk. Inilah pemimpin yang ramai yang tak kenal, dan sesetengah pihak anggap dia hebat.

PAS juga digambarkan olehnya, agar jangan dipercayai. PAS dipaparkan sebagai parti yang tidak boleh ikut cakap. Dengar boleh, percaya jangan. Apa yang dilontarkan oleh pemimpin PAS semua bermotifkan politik. Tidak ikhlas dan ada agenda.

Soalnya, penyatuan parti-parti Melayu mestilah bersandarkan keikhlasan dan kejujuran pimpinan semua parti. Jangan ada agenda dalam agenda. Jika ada agenda peribadi, ia harus dicampak jauh-jauh sehingga ke Laut Mati. – New Malaysia Herald

Nota: Pandangan yang dilontarkan dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan ia tidak melambangkan pendirian pengurusan portal berita ini.

Facebook Comments