Oleh Anak Permatang Padi

Sidang media Anwar Ibrahim (Bang Non) pada Rabu lalu tidak mengejutkan. Ketika Kabinet bermesyuarat, ‘bakal PM’ beberapa kali kata dia sudah ada “numbers” untuk tubuh kerajaan. Ramai peminat judi menunggu nombor itu. Tapi tak kesampaian. Ramai juga yang tak heran.

Bak kata calon Warisan, Din Ketapi ia hanya sandiwara ayam dan anjing. Ia adalah konspirasi tertinggi untuk ‘memanangkan’ calon PKR pada Pilihan Raya Negeri pada 26 September ini. PKR yang dah tak laku di Sabah.

Anwar dikatakan selalu meroyan pada bulan September dan ada pihak menyatakan sidang media kali ini untuk mengingatkan Perdana Menteri (PM) Muhyiddin Yassin atau nama popular sekarang, Abah Din.

Ia satu ingatan kepada Abah Din jangan lupa asal usulnya terutama kawan-kawan yang telah menobatkannya menjadi PM. Ini termasuk sokongan Bossku Najib Razak yang kini terus dianiaya tanpa pembelaan Abah Din atau nama manja, Midin atau Abang M.

Namun kenyataan Zahid Hamidi selepas sidang media Anwar atau Bang Non lebih menarik. Dia tak kata sokong Bang Non tetapi tak halang MP UMNO dan BN sokong Anwar. Itu dia, senang saja mesejnya, Abah Din.

Apa maksudnya? Berdasarkan kenyataan media Presiden UMNO semenjak PN ditubuhkan, nampaknya Pak Zahid konsisten dalam pendiriannya bahawa sokongan UMNO dan BN terhadap PN adalah berupa sokongan ahli-ahli Parlimen UMNO terhadap Abah Din sebagai PM utk membentuk kerajaannya, yakni bukannya sokongan/pendirian rasmi parti UMNO/BN terhadap Abah Din.

Ada pihak berpendapat bahawa dari segi undang-undang ternyata bahawa UMNO/BN bukan sebahagian dari kerajaan, sepertimana parti PAS.

Justeru, kenyataan Mat Hassan yang selalunya entah apa-apa dan juga kenyataan media oleh Anuar Musa bahawa UMNO dan BN menyokong kerajaan adalah sesuatu yang agak pelik yang bercanggah dengan fakta dan undang-undang.

Pendapat ini diperkukuhkan lagi dengan fakta bahawa UMNO/BN sendiri secara terang-terangan telah meminta supaya perlimen dibubarkan TANPA TERLEBIH DAHULU mendapat persetujuan daripada kerajaan Abah Din.

Ada pemerhati politik berpandangan biarpun ada yang melihat Pak Zahid seolah-olah gagal mengawal MP UMNO dan menuduhnya lemah, tetapi diteliti dengan lebih mendalam kenyataannya dilihat membela dan mengembalikan maruah UMNO BN. Ini semua orang kena faham dan hayati.

Hakikatnya yang ramai tidak tahu UMNO BN terus ditekan BERSATU yang memegang kuasa dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN). Apa yang berlaku di Sabah boleh dijadikan ukuran. PPBM mahu berkuasa, mereka tiada satu pun kerusi menang di Sabah, tetapi mahu letakkan dirinya lebih dari UMNO/BN. Pengumuman nama Ketua Menteri pun dikatakan akan ‘membunuh’ kerjaya politik Hajiji.

Bagaimana boleh ada calon bebas mesra Perikatan Nasional ?

Jika ini keadaanya, mungkin itu juga akan berlaku di Semenanjung. Lantas itu, kenyataan Zahid Hamidi adalah amaran kepada PPBM dan juga PAS, UMNO boleh lakukan apa saja demi maruahnnya.

Jangan Mempermainkan Dan Perkecilkan UMNO/BN

Mustahil Zahid Hamidi tidak boleh mengawal MP UMNO BN. Namun cuba kita fikir. Mungkinkah itu juga strategi untuk menyedarkan Abah Din dan Hadi bahawa jangan permainkan dan cuba perkecilkan UMNO/BN, dan mendesak agar serah semula mandat kepada rakyat untuk memilih semula kerajaan.

Bagi ramai pihak mereka menyifatkan Zahid Hamidi bukan calang-calang pemimpin. Beliau sudah matang dan biasa menghadapi cabaran dan ujian dalam pelbagai rupa.

Pak Zahid adalah pemimpin akar umbi dan sudah melalui dua episod yang tidak ramai pemimpin menghadapinya. Satu ditahan ISA oleh ketika pemerintahan Dr Mahathir Mohamad dan satu lagi dikenakan pendakwaan politik atas sifatnya memperjuangkan agama dan kebajikan rakyat. Semoga rakyat Abah Din buka mata.

Itulah citer Bang Non dalam sidang media nak menghadap Tuanku DYMM Agong, sikap Abah Din tak ingat nak bantu memperjuangkan kawan-kawan dan Pak Zahid yang konsisten dalam perjuangannya. – New Malaysia Herald.

Nota: Pandangan yang dilontarkan dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan ia tidak melambangkan pendirian pengurusan portal berita ini.

Facebook Comments