PILIHAN Raya Negeri Sabah 2020 (PRN Sabah) telah dijadikan medan untuk memaparkan apa yang berlaku ketika Shafie Afdal menjadi Menteri Persekutuan dan Ketua Menteri Sabah. Ini adalah nukilan Anak Sabah yang sedang mengikuti perkembangan kempen yang dijalankan oleh parti-parti dan ahli politik semasa.

Dalam masa dua, tiga minggu ini, rakyat Sabah telah didedahkan dengan maklumat bagaimana Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjalankan undang-undang rimba bukannya Rule of Law apabila menggugurkan kes Ahli Parlimen Semporna itu.

Semalam Ahli Parlimen Baling, Azeez Rahim mendedahkan bagaimana Shafie Apdal diamanahkan dana sebesar RM7.6 bilion untuk Sabah (RMK10) semasa menjadi Menteri Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) tetapi akhirnya gagal.

Beliau menjelaskan kegagalan itu antara lain disebabkan kelemahan dan kesilapan perancangan Shafie.

Menurut Azeez, daripada dana RM7.6 bilion tersebut, KKLW telah melaksanakan 350 projek di kawasan luar bandar Sabah iaitu 170 projek bekalan air, 163 projek jalan raya dan 17 projek bekalan elektrik.

Katanya jumlah itu banyak tetapi kenapa masalah kemudahan asas terus berlaku di negeri ini? Inilah cara tindakan Shafie.

Sebenarnya terdapat 70 projek bernilai RM1.5 bilion telah didapati bermasalah dan disiasat Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM). Ramai individu telah ditahan, termasuklah Shafie dan beberapa anggota keluarganya. Ini rakyat Sabah perlu tahu agar tidak memberikan sokongan membuta tuli semata-mata Shafie laungkan “Sabah for Sabahans”.

Antara projek yang disiasat SPRM ketika itu adalah pembinaan sebuah loji air di Semporna (kawasan Shafie sendiri). Projek yang bernilai RM45 juta ini gagal berfungsi kerana sungai terlibat cetek dan menjadikan bekalan air tidak mencukupi. Lebih memilukan, struktur loji tersebut dibina dua kali kerana binaan asal yang tidak mengikut spesifikasi.

Satu lagi projek pelik di Semporna adalah projek paip air dasar laut bagi membekalkan air bersih dari tanah besar ke Pulau Gaya. Projek ini amat penting kerana kebanyakan penduduk pulau terpaksa membeli air yang diangkut secara manual dari tanah besar dengan harga RM7 setong (200 liter).

Projek ini akhirnya disiapkan pada September 2015 dengan kos RM93 juta. Sepatutnya selesailah masalah penduduk. Rupa-rupanya tidak. Bekalan air mentah tidak dapat disalurkan kepada penduduk kerana tiada paip pengagihan ke setiap rumah. Air hanya sampai ke tangki besar di atas bukit sahaja.

Akhirnya masalah sama berulang. Penduduk Pulau Gaya yang kebanyakannya berpendapatan rendah terpaksa membelanjakan ratusan ringgit sebulan hanya untuk bekalan air yang terhad.

Apa yang berlaku kepada Shafie? Beliau akhirnya telah didakwa di mahkamah. Namun apabila PH berjaya mengambil alih kuasa Persekutuan pada Mei 2018, Peguam Negara lantikan PH telah memutuskan untuk mengugurkan kes. Inilah antara kerja Tommy Thomas untuk melepaskan tengkok pemimpin PH dan Parti Warisan.

Begitulah “Rule of law” pada zaman PH. Yang penting adalah nyawa politik, bukannya kebajikan rakyat.

Cukuplah lebih 22 bulan rakyat seluruh Sabah, Sarawak dan Semenanjung digula-gulakan dengan pelbagai janji manis yang tidak tertunai. Jika kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini dituduh rasuah dan penuh penyelewengan, kita lihat pula apa yang berlaku ketika PH menjadi kerajaan.

Ini terbukti apabila rakyat menghukum mereka dalam semua Pilihan Raya Kecil (PRK) yang ditandingi Barisan Nasional (BN). Apa erti kejayaan demi kejayaan ini, tidak lain kerana rakyat sudah muak dengan janji palsu mereka? PH menjanjikan bulan bintang dan kemudiaan mengaku gagal laksanakan manifesto mereka.

Untuk pada PRN Sabah ini, rakyat Sabah jangan lagi dibuai mimpi. Bangkitlah untuk generasi masa depan dan kemajuan menyeluruh anak negeri. Jika tersalah pilih lagi, Sabah akan terus tercicir dan yang menderita ialah rakyat sedangkan pemimpin Parti Warisan akan terus memainkan sentimen kenegerian yang akan menjadi barah kepada perpaduan rakyat. – New Malaysia Herald

Facebook Comments