Pengundi yang bergejala seperti mempunyai suhu melebihi 37.5 darjah celsius, batuk, sakit tekak dan sesak nafas akan diasingkan daripada pengundi lain. Foto arkib NSTP. Ihsan dari BH Online.

KUALA LUMPUR: Pada mereka yang sedang berkempen di Sabah untuk Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah yang sedang dijalankan terkini, diharapkan bahawa mereka patuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi pilihanraya yang telah ditetapkan.

“Yang penting adalah memastikan penjarakan fizikal dan mengikut kapasiti tempat apabila ada ceramah dan perjumpaan,” Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakub, berkata dalam paparan mukabuku beliau.

Namun demikian, tinjauan New Malaysia Herald berpendapat perkara ini telah diabaikan oleh beberapa parti politik dan ini membawa kepada perasaan kebimbangan oleh warga yang tidak terlibat dengan aktiviti berkempen, termasuk juga warga Semenanjung Malaysia.

Mereka risau bahawa mereka yang dari Semenanjung Malaysia yang telah pergi ke Sabah untuk berkempen akan membawa risiko infeksi apabila mereka balik ke sini kelak. Apa lagi bila jumlah kes baru COVID-19 telah meningkat walaupun adakalanya angka tersebut turun, seperti hari ini di mana jumlah kes baru adalah 20, tetapi pada hari Jumaat (semalam), ia adalah 95.

Kami harap mereka yang berkempen dan yang akan turun mengundi pada 26 September ini akan mematuhi segala SOP dan tiada kejadian yang tidak diingini.

Mengikut Ismail Sabri lagi, bilik gerakan untuk semua parti politik bagi PRN Sabah dibenarkan beroperasi dengan syarat ia berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Pada hari mengundi, saringan suhu badan dan kawalan kehadiran pengundi dilaksanakan bagi memastikan penjarakan fizikal,” katanya mengenai prosedur operasi standard (SOP) bagi pilihan raya melalui poster yang diedarkan kepada umum.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan, berkata sebagai langkah keselamatan cecair pembasmi kuman juga akan disediakan di khemah saringan di pintu masuk saluran dan pintu keluar pusat mengundi.

Selain itu, katanya pengundi yang bergejala seperti mempunyai suhu melebihi 37.5 darjah celsius, batuk, sakit tekak dan sesak nafas akan diasingkan daripada pengundi lain serta akan menggunakan khemah khas yang disediakan.

“Pengundi berstatus positif COVID-19 tidak dibenarkan untuk keluar hospital bagi mengundi manakala pengundi berstatus Individu dalam Penyiasatan (PUI) dan Individu dalam Pengawasan (PUS) yang berhasrat mengundi perlu memohon kebenaran terlebih dahulu daripada Pegawai Kesihatan Daerah,” katanya.

Facebook Comments