Kenapa Politik Perpaduan Penting Untuk Kemakmuran Negara?

Oleh Dr Awang Azman Awang Pawi

Politik perpaduan sangat penting kepada negara untuk memastikan proses pembinaan negara dapat dilakukan dengan lebih baik tanpa hambatan dan gangguan sosial. Negara yang harmoni dapat memastikan pembangunan boleh dilaksanakan dan kemajuan yang diidamkan tercapai. Dalam konteks negara dan negeri, perpaduan yang utuh akan memberikan limpahan nikmat pembangunan kepada semua etnik yang ada di negara ini. 

Perkauman boleh tercetus akibat politik kebencian yang ditimbulkan oleh ahli politik dan ini menyebabkan  ancaman kepada perpaduan kaum. Isu nasional seharusnya dilihat dalam acuan dan agenda nasional, namun ada ahli politik dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang bersekutu menggunakan isu tersebut dan dikaitkan dengan perkauman. Hal ini dapat dilihat dengan ucapan-ucapan ahli politik dan pihak NGO sendiri.

Tujuannya adalah untuk mendapat sokongan bagi etnik tertentu. Sudah pasti ucapan yang diberikan berunsur provokatif, membakar semangat perpaduan, menyakiti hati  orang lain atau etnik tertentu. Inilah yang boleh menyebabkan konflik dan perpecahan dalam kalangan masyarakat.

Sekarang isu politik kebencian lebih kuat kedengarannya, kerana  sebelum ini terdapat Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menangani apa-apa yang dianggap menggugat keselamatan, keamanan dan  keharmonian dalam negara. ISA penting bagi membuat pencegahan sebelum apa-apa yang buruk berlaku.

Kelemahan orang politik dan NGO tertentu  terlalu obses dengan kuasa untuk meraih sokongan sehingga tidak sedar ucapan atau kenyataan mereka boleh menyebabkan keamanan tergugat.  Ucapan meruap-ruap menyebabkan semangat tinggi di kalangan penyokongnya dan tanpa terkawal amat berbahaya kepada perpaduan.

Pihak berkuasa baik di peringkat penguatkuasa seperti polis dan institusi undang-undang-undang  menentukan agar tindakan tegar dikenakan kepada sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan berkaitan tanpa mengira kedudukan.  Ketegasan ini akan memberikan mesej bahawa penguatkuasa dan proses undang-undang negara tegas dan serius dalam usaha membendung perkara seumpama ini. 

Perubahan Zaman

Kini perubahan zaman telah menyebabkan banyak perkara berlaku. ISA telah dimansuhkan. Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dikatakan hanya boleh mengambil tindakan selepas peristiwa buruk seperti kucar-cacir berlaku dan tidak bersifat mencegah daripada awal lagi.

Sedangkan ISA boleh menangkap  pihak belakang tabir atau dalang sebenar yang mencetuskan konflik, ketegangan dan rusuhan kaum. Untuk menghidupkan semula ISA dan mengekalkan Akta Hasutan 1948 perlu kelulusan dua pertiga parlimen dan ini sukar berlaku dalam kedudukan parlimen yang dilihat kurang bersatu dari segi suara ahli parlimen berkenaan isu ini.

Ketika ini, pada era zaman Pakatan Harapan (PH) memerintah isu berkaitan dengan isu sensitiviti etnik berlaku apabila hubungan kaum semakin longgar, interaksi kaum banyak diwarnakan oleh sikap dan tindakan politik. Di satu pihak apabila PH menang dan disokong lebih 90 peratus undi Cina, maka ramai pengundi Cina mengharapkan PH lebih mendengar suara mereka dan pada perspektif orang cina, PH kurang mendengar suara mereka seperti UEC, dan tulisan Jawi dalam buku teks.

Orang Melayu di Semenanjung khususnya pula melihat PH kurang sensitif dan kurang mendengar isu-isu Melayu seperti bahasa, agama, institusi raja dan budaya Melayu yang merupakan teras identiti orang Melayu. Orang Melayu mempertahankan kemasukan matrikulasi terdapat dalam perlembagaan negara di bawah hak keistimewaan Melayu, anak Negeri Sabah dan Sarawak serta orang asal.

Pola Perkauman

Kedua-dua naratif berkembang mengikut pola perkauman. Yang menambahkan masalah perpaduan ialah isu ini dijadikan bahan politik oleh ahli politik dan ini memburukkan lagi situasi politik negara hingga mencetuskan ketidakstabilan politik dan menjadi pola dalam mana-mana pilihan raya kecil.

Sebenarnya bagi rakyat bawahan mereka tidak ada masalah mengenai isu perkauman. Mereka hanya mahu mencari rezeki sesuap nasi untuk keluarga dan menjadi lebih baik daripada generasi sebelum ini. Orang Melayu dan bumiputera  ramai bekerja dengan orang Cina di kedai atau di syarikat-syarikat besar walaupun kononnya ada diskriminasi dari segi gaji dan penguasaan bahasa Cina. Orang Cina pula memerlukan orang Melayu dan bumiputera bagi menampung pekerjaan seperti pusat-pusat besar membeli-belah.

Kalau kita lihat di peringkat golongan elit Cina dan Melayu, hubungan mereka langsung tak ada masalah dalam soal perkauman. Ini dapat dilihat apabila terdapat banyak perkongsian atau usahasama dalam syarikat guaman, perundingan, perniagaan  yang dikongsi bersama. Malah mereka lebih banyak ditemui makan di hotel-hotel terkemuka, hadir majlis perkahwinan atau sebagainya.

Ternyata orang Cina atau Melayu mahupun bumiputera Sabah dan Sarawak  saling memerlukan antara satu sama lain. Apa-apa yang berlaku sekarang ialah isu perkauman sering dicetuskan golongan politik bagi kepentingan politik etnik dan survival politik mereka. Hapuskanlah politik perkauman, stereotaip dan prejudis sesama warga negara. Sebagai warga negara, kita perlu mempertahankan konsep kesederhanaan dan meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan individu.

Rukunegara perlulah sentiasa terpahat di hati nurani dan bukan sekadar diletak di belakang buku latihan sekolah anak-anak kita sahaja. Bersama-samalah kita menjunjung kedaulatan dan perlembagaan Negara kerana di mana bumi di pijak, di situlah langit dijunjung.

Mengenai penulis: Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.)

Facebook Comments

Latest articles

Related articles